Saturday, February 04, 2012

WSJ cuma tidak siar penuh, bukannya fitnah


Oleh RUHI HAYATI THANI

Aswad (bukan nama sebenar) dahulunya seorang bekas pimpinan pelajar, kini memihak Umno dan Perkasa telah pun menyelar Anwar Ibrahim berhubung kenyataan Ketua Pembangkang itu yang dikatakan memihak kepada keselamatan Israel.

Sebagai ahli politik, tidak hanya Anwar, malah sesiapa pun akan menyusun kata-katanya untuk disesuaikan dengan golongan tertentu. Kalau Najib Razak terkenal di peringkat antarabangsa, maka beliau tentu terpaksa melakukan hal yang sama.

Tetapi, Aswad, sama ada beliau faham atau tidak realiti ini ataupun sengaja menunjukkan dirinya tidak memahami keadaan ini, maka beliau menyatakan bahawa Anwar perlu menyaman The Wall Street Journal. Ini kerana, Anwar beralasan bahawa akhbar itu tidak melaporkan dengan tepat kenyataan beliau yang turut mempertahan rakyat Palestin sebelum ini.

"The Wall Street Journal hanya lapor kenyataan Anwar yang menyokong penuh segala usaha menjaga keselamatan Israel," kata Aswad lagi. Memang WSJ melaporkan sebegitu dan akhbar itu juga tidak melaporkan keseluruhan kenyataan Anwar itu.

"I support all efforts to protect the security of the state of Israel," said Mr. Anwar. Begitu Ketua Pembangkang dipetik sebagai berkata. Ada sebab kenapa akhbar-akhbar tidak melapor kesemuanya. Pertama, akhbar kesuntukan ruang. Maka, cuma kenyataan yang dianggap penting sahaja yang dimuatkan.

Kedua, akhbar itu memang mempunyai agendanya sendiri. Jadi, dalam wawancara ke atas seseorang tokoh itu, akhbar hanya menyiarkan kenyataan yang menyokong pendirian akhbar itu sahaja. Sidang pengarangnya tentu tidak akan menyiarkan kenyataan yang bercanggah dengan falsafah akhbar itu.

Ambil sahaja contoh laporan WSJ dengan Anwar . Ketika Anwar menyentuh hal Palestin, maka hal itu didiamkan. Tetapi, walau ada secalit kata pemimpin Islam yang juga kelihatan seolah-olah memihak kepada keselamatan Israel, maka kata-kata itulah yang akan diangkat sebagai 'lead story'.

'Lead story' itu pula akan dijadikan bahan berita sebagai 'intro' berita lalu kelihatanlah seolah-olah Anwar sepenuhnya memihak kepada Israel itu. Maka, laporan berita seperti ini menguntungkan sesetengah pihak, sekali gus mengelirukan umat Islam dan dalam masa yang sama.

Tetapi akhirnya tidak timbul isu WSJ memfitnah sesiapa, kerana akhbar itu hanya menyembunyikan beberapa kenyataan Anwar sahaja. Inilah beza antara fitnah Utusan dan usaha menyembunyikan kebenaran yang dibuat WSJ. Hal menyembunyi kebenaran atau menyiar separuh ini bukanlah hal baharu.

Sejak dahulu pendeta Yahudi mengubah dan mengolah kitab suci mereka sekali gus menyembunyikan kebenaran fakta mengenai Nabi Muhammad s.a.w.

Sikap akhbar dan media Barat hari ini diwarisi daripada sikap nenek-moyang mereka dahulu dalam pemberitaan. Jadi, tidak perlu disaman WSJ itu kerana akhbar itu bukannya memfitnah. Dan, tindakan menyembunyikan kebenaran itu bukannya jenayah. Cuma ia tidak bermoral atau tidak beretika sahaja.

Sikap tidak bermoral tidak perlu dihukum kerana ia bukan jenayah. Sikap menyiarkan hal yang mereka ingin siar itu adalah hak WSJ pula. WSJ tidak mahu siar keprihatian Anwar kepada Palestin lalu disiarkan sikapnya kepada Israel saja. 

Rakyat sedar bahawa sikap Umno mencari salah Anwar ini wujud gara-gara saman jutaan ringgit ke atas Utusan Malaysia. Marahlah pemimpin Umno ini kerana duit mereka akan banyak habis menjelang pilihan raya ini.

Aswad mungkin terlupa bahawa Najib juga menyokong penuh Israel dengan pembayaran puluhan juta ringgit kepada Apco Israel ketika membuat kempen 1Malaysia itu.

"Tetapi, persoalannya apakah wajar kita menyokong segala usaha menjaga keselamatan Israel yang dilaknat Allah ini?" tanya Aswad yang berkedudukan agak tinggi dan ternama dalam politik kepartian Umno.

Bagi menjawab persoalan ini, Aswad dan orang-orang Umno hanya perlu muhasabah diri betapa Yahudi pun manusia juga. Bukankah jelas dalam Sahifah Madinah itu, telah pun tertuang bait keramat mengenai fasal-fasal yang melindungi setiap ahli masyarakat Madinah. Begitu juga kalau ditakdir Muslimin akan memerintah Palestin semula.

Kalau Muslimin sudah boleh mentadbir Palestin pada suatu masa nanti, sudah tentu sebuah perlembagaan baharu mirip Sahifah Madinah akan terbentuk dengan menjamin hak-hak dan kebebasan setiap penganut agama, setiap rakyat termasuk keselamatan Bani Israel itu. Wallahu'alam.

No comments: