Sunday, February 05, 2012

Debat budaya Islam, bukan budaya Umno


Oleh BOESTAMAM SARI

"... dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; ...," (An-Nahl: 125)

Rakyat kesal ketika Najib Razak enggan menyahut seruan Anwar Ibrahim untuk berdebat. Walhal debat bukan menyentuh isu Rosmah berbelanja mewah di luar negara, sebaliknya menyentuh isu politik, ekonomi dan kebajikan rakyat. Insan yang enggan berhujah memberi tanggapan buruk - bahawa mereka tidak jujur.

Seperti ada rahsia penting yang mahu Najib sorok daeipada rakyat. Yang bangkitkan syor itu bukan Anwar atau pimpinan Pakatan Rakyat, tapi ia rumusan badan penyelidikan bebas seperti Merdeka Centre.

Merdeka Centre menjalankan penyelidikan bebas ke atas rakyat yang tiada kepentingan dalam politik kepartian. Lalu, pendirian Merdeka Centre dan hati nurani rakyat yang tiada kepentingan itu wajar diambil peduli oleh Najib.

Ketika rakyat dan Merdeka Centre mencadangkan debat Anwar dan Najib, ia bukan menjulang Anwar sebaliknya demi kepentingan rakyat. Najib tak perlu meminjam wang besar dari luar negara yang kemudian diberi jenama BR1M demi menunjukkan beliau peka ke atas rakyat.

Memadai Najib menyahut seruan rakyat melalui kajian Merdeka Centre itu sebagai cara menunjukkan beliau peka kepada umat. Tindakan Najib menabur wang RM500 demi memukat undi adalah penghinaan besar kepada rakyat sebenarnya jika ditinjau dari satu sudut. Adakah umat diumpamakan ayam dan wang itu seumpama dedak?

Menyentuh hal debat, Anwar memang berminat. Ketua Pembangkang itu berkata, beliau bersedia diberi masa pendek dibanding Najib. Kata Anwar, Najib boleh diberi masa berhujah selama 20 minit, manakala beliau diberi masa 10 minit.

"... (kemudian) dia (Najib) balas (hujah) 20 minit dan saya jawab 10 minit," kata Anwar, ketika memancing minat Najib untuk berdebat dengannya. Tapi di atas semua bentuk tawaran yang menawan sebegitu pun, Najib enggan menyahutnya.

Hingga kini, yang berlegar di ruang udara adalah kenyataan Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno yang bertugas secara tuntas menjawab bagi pihak Najib, dengan tujuan menyelamatkan maruah Najib daripada dipermalukan di depan rakyat.

Kata Ahmad Maslan, Najib tidak perlu menerima tawaran debat itu kerana ia adalah budaya Barat. Kata-kata ini menimbulkan bahaya dari banyak sudut. Pertama, imej pendekatan Islam ala Najib dipandang hina oleh masyarakat sedunia.

Walaupun Najib berbicara mengenai Maqasid Syar'iyyah dan pandai menasihatkan para pendakwah agar mengguna pendekatan Wasatiyyah, tapi apalah ertinya segala seruan itu jika Najib takut berdebat? Imej Islam tajaan Najib itu sudah punah ranah!

Kedua, rakyat antarabangsa, khasnya Barat akan memandang serong kepada Malaysia kerana Ketua Penerangan Umno berkata, debat tidak perlu kerana ia adalah budaya Barat yang belum boleh diterima oleh masyarakat kita.

Tambah memenatkan, apabila Najib menyokong pendapat Ahmad Maslan itu. Di laman sosial, Najib menyetujui kata-kata Ahmad Maslan bahawa debat adalah amalan Barat. Kata Najib, walau Anwar sedia memberi lebih masa kepadanya untuk berhujah, beliau tetap enggan kerana debat itu budaya Barat dan masyarakat Malaysia belum dapat menerima amalan debat itu.

Inilah pendirian Umno, walhal mereka pernah berdebat di Parlimen. Mungkin setinggi-tinggi debat dalam Umno adalah debat olok-olok berkaitan Hudud. Sebenarnya budaya debat selaras dengan tuntutan al-Quran dan menjadi warisan silam tamadun dunia, seperti yang tertuang dalam Surah an-Nahl: 125.

Dengan semua ini, maka jelaslah bahawa debat itu sebenarnya bukan budaya Umno, tetapi budaya Islam. Maka, rakyat semakin jelas bahawa Umno kini bukan parti yang menegakkan syiar Islam dalam erti kata yang sebenarnya.

No comments: