Wednesday, February 15, 2012

Rakyat wajib luruskan aqidah Najib

Oleh RUHI HAYATI THANI

Ketika penjajah British dan Umno memerangi komunis yang dikatakan menolak agama itu, tiada bersarang di hati British niat membela ajaran Islam dan membela aqidah Tauhid Islamiyyah yang lama bertapak, berakar umbi di jiwa Melayu zaman-berzaman itu.

Tetapi Umno yang menjadi lidah perantara British tetap menyeru kempen pembantaian komunis kerana mahu Melayu seluruhnya tidak menyokong usaha komunis mengusir penjajahan British dengan angkatan persenjataan. Melayu itu tuan dan pemilik bumi Malaya ini. Apa akan terjadi kalau Melayu angkat tenaga dan mengusung senjata mengusir British?

Alamatnya kuasa British akan cepat tamat. Maka, jelas bahawa British mahu Melayu memerangi komunis kerana komunis sudah membunuh pesuruhjaya Henry Gurney yang berjasa besar menyerahkan Palestin kepada Israel.

Pada ketika itu (1948), sejak tegak berdirinya Israel, ada seorang anak Melayu yang berani membantah Israel, iaitu almarhum Dr Burhanuddin Al-Hulaimy di Singapura. Hatta, seorang warga saudagar Arab pun tiada terdetik di benak fikiran mereka untuk membantah Israel.

Maka Henry Gurney berjasa besar di Palestin, lalu dibawa ke Malaya untuk meneruskan era penjajahan kolonial baharu. Tetapi, komunis telah membunuh Henry secara revolusi.

Ringkasnya, protes awal ke atas Israel dilaksanakan Dr Burhanuddin lewat jalan penulisan. Protes kedua, dilaksana komunis lewat jalan pemberontakan.

Empayar British di London sangat menyedari bahaya penentangan melalui jalan penulisan dan pemberontakan. Oleh itu, suatu helah perlu disusun untuk mengelakkan Melayu menyertai lapangan penulisan sekali gus menghalang mereka menyertai angkatan bersenjata.

Salah satu cara yang paling sakti dan kempen paling ampuh ialah dengan mendengungkan seruan bahawa komunis menolak agama dan kebetulan hal itu memang wujud sebagai darah daging falsafah ajaran komunis. 

Maka jiwa Melayu diketuk bertalu-talu bahawa ideologi ini akan rosakkan aqidah Melayu. Tapi, British tidak boleh bercakap dalam nada ini kerana mereka bukan Melayu dan tidak Islam.

Maka, British mengharamkan Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (Melayu Kiri) dan PKM (Parti Komunis Malaya). Satu-satunya yang tidak diharamkan adalah Umno. Ini kerana penjajah British mahu Umno memerangi komunis sekali gus menundukkan Melayu.

Umno yang tidak diharamkan ini, dipilih British bagi menjaga ekonomi British selepas merdeka. Walaupun British sudah pergi, tapi cara tipu helah British masih menjadi aturan falsafah yang mendarah daging dalam batang tubuh Umno.

Hari ini, Melayu cuba dikelirukan Umno dengan kempen bahawa PAS adalah ajaran sesat dan ajaran songsang. Bahawa Hudud yang mahu dijalankan PAS adalah Hudud PAS dan bukannya Hudud Islam. 

Umno mengupah agamawan untuk membuat debat olok-olok untuk memperbaiki strategi debat mereka ini semata-mata untuk meyakinkan khalayak Melayu mengenai kekufuran ajaran PAS. Namun, Umno kalah sendiri dalam debat olok-olok itu.

Syahadan, hari ini kita mendengar orang-orang Umno pun riuh berbicara, "Pemecatan Hassan Ali sudah jelas membuktikan bahawa PAS tidak menyokong orang yang mahu perjuangkan aqidah Islamiyyah. Hassan Ali terlibat menganjurkan program HIMPUN ini... tapi dia dipecat."

Rasanya Umno bukan keliru, tetapi isu ini diperalatkan untuk memberitahu Melayu (seperti mana British memperbodohkan Melayu dengan menggunakan Umno) bahawa PAS bukannya perjuangkan Islam kerana sanggup memecat Hassan Ali, sebaliknya rela pula bersatu dengan Dap hari ini.

Sebenarnya, pemecatan Hassan Ali itu bukan disebabkan keterlibatannya dengan pro-Umno dalam HIMPUN yang mengaku kononnya mereka itu pembela aqidah Islam. 

Tapi, hal pemecatan itu dibuat setelah Hassan Ali menyatakan sikapnya yang menyeru umat agar tidak menyertai himpunan 901 berkaitan kes memfitnah Anwar Ibrahim, termasuklah beberapa kenyataannya yang tidak memihak kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

Arakian, baru-baru ini Mufti Perak Harussani Zakaria menegur aqidah Najib Razak yang menghadiri upacara keagamaan Hindu baru-baru ini. Jika betullah Hassan Ali ini memperjuang aqidah Islam, nescaya dia tidak memilih bulu, tidak bersikap 'double standard'. Dia pasti berani menegur Najib Razak.

Umat menjadi juri dan hakim ke atas Hassan Ali, apakah beliau akan menjadi seperti Umno yang dijadikan abdi oleh British dalam usaha menjajah fikiran dan merantai belenggu jiwa Melayu sejak dahulu, kini dan selamanya.

No comments: