Tuesday, February 14, 2012

Mawar merah, puisi Februari (Valentine)

Oleh H FANSURI

Sekuntum mawar merah sebuah puisi
untuk gadis pilihan oh.. di bulan Februari
mulanya cinta bersemi dan kehadiran
ribuan mimpi-mimpi oh di bulan Februari.

Kemesraanmu dan cintaku

berlagu dalam irama nan syahdu
tapi mengapa hanya sementara
cinta yang menyala padam tiba-tiba.


Lagu dan lirik 'Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi' (Alleycats) memang hangat romantis pada suatu masa dahulu. Mawar merah, selembar kertas yang tertuang kata puitis bersulam titipan rasa cinta, adalah perlambangan romantis menjelang Februari, tanggal 14 hari bulan, ketika menjelang Valentine.

Tiada sesiapa yang tampil mempersoal kenapa lirik dan lagu ini hadir, malah menjadi siulan anak-anak muda saat itu. Salah satu puncanya, (mungkin) ia tiada langsung ungkapan Valentine di balik lirik lagu itu.

Sebagai muslim, kita mesti ada daya ciuman yang kuat untuk menghidu segala bentuk dan rupa paras faham cinta yang dipersembahkan di dalam acuan Kebudayaan Barat. Rome gedung Kebudayaan Barat yang melahirkan falsafah cinta, melahirkan kata 'Romance', lalu dimelayukan menjadi 'romen'.

'Romen' apabila dimelayukan menjadi suatu kata tidak senonoh; perlakuan di ranjang, lazimnya zina. Di kota Pompei, Rome misalnya, telah dimusnahkan Tuhan lalu penduduknya menjadi batu dalam keadaan melakukan senggama. Akibat keterlaluan dalam kegiatan seksual, akhirnya mereka pudar rasa cinta terhadap lawan jenis, lalu berlakulah pula rangsangan cinta ke atas sesama jenis.

Ketika kita menyebut bahawa daripada semangat akar kata 'Rome' itulah yang membentuk nilai dan makna 'Romance', maka kita bermaksud 'ibu' Barat (iaitu budaya cinta Rome) itu sendiri sudah jadi tempat tenggelam, hancur dan luluh binasa oleh sebab keterlaluan rakyatnya dalam aksi cinta berahi.

Terkini, ada filem 'remake' Azura yang bakal dibuat penggambarannya di Paris. Dahulu, penggambarannya berlegar di Malaysia. Kini, oleh mekarnya daya tarik kita ke atas cinta bersalut berahi tajaan Barat itu, maka para penggiat filem mula terikut-ikut sehingga membikin plot cerita di Paris!

Khabarnya ia menelan belanja sebanyak RM2 juta. Tetapi, ia belum melawan belanja boros Rosmah Mansor dan penerbangan Najib Razak ke luar negeri. Apa pun, inilah punca kenapa wang mengalir ke tempat yang tidak sepatutnya. Cinta adunan Barat (keberahian) akhirnya membuat umat makin rugi.

Akhirnya, seperti dendangan Alleycats, cinta Valentine di Februari ini tidaklah kekal lama. Tidak kekal cinta itu bertambah apabila cinta dikembar dengan keghairahan dan kesyahwatan. Barat bertanggungjawab penuh kerana mengundang syahwat yang diadun dengan ramuan cinta yang asalnya suci itu.

Cinta tidak berkat inilah yang membuatkan pasangan bercinta, kemudiannya menyimbah asid ke wajah kekasih, dan ada membunuh pasangannya. Paling tragis adalah pembunuhan yang melibatkan letupan bom C4! Nau'zubillah min zalik!

No comments: