Tuesday, March 06, 2012

Pencemaran Lynas penting dibahas dibanding khalwat

Oleh RUHI HAYATI THANI

Musibah itu melanda kira-kira hampirnya himpunan kilang Lynas akan diadakan di Kuantan. Ustaz Badrulamin memimpin satu angkatan ke Kuantan untuk menghadiri satu mesyuarat yang melibatkan temu rapat antara pimpinan PKR di seluruh negara.

Tiba-tiba, langkah sedikit sumbang. Dengan itu, timbul isu khalwat. Sebenarnya, laporan akhbar masih awal dan berada di tahap yang masih meragukan. Jadi, tidak perlu ditumpukan kepada sesuatu yang meragukan. Yang diyakini benar adalah kilang Lynas yang beroperasi untuk menjahanamkan Malaysia.

Tapi, yang diyakini wujud itu tidak pula dibangkang oleh Umno. Sebaliknya yang was-was, syak, waham dan meragukan itu pula yang sudah dihebah dan dihebohkan ke serata alam. Sebaiknya, kita berbicara hal yang jelas dan terang ini.

Mungkin juga media cuba mengalihkan perhatian umat daripada meneropong Lynas dengan membesarkan isu khalwat ini. Hal ini pun, satu kemungkinan juga memandangkan laporan itu bersandarkan maklumat daripada Pisau.net dan penulis blog Papagomo.

Berkemungkinan juga, pemimpin PKR beramai-ramai berada di Kuantan itu kerana hendak mengadakan perarakan membantah kilang Lynas. Mereka fikir, setelah tamatnya mesyuarat dan rapat umum di Balok itu, maka mereka boleh berkunjungan ke tapak Lynas itu.

Lalu, dengan tidak semena-mena, hadir seorang wanita sebatas usia 28 tahun dan anaknya menemuinya di hotel itu. Penjelasan sudah pun diberi, tetapi orang-orang Umno tetap enggan menerima penjelasan itu. Di mana-mana tempat pun, sindiran sinis masih berleluasa termasuk di internet.

Kosmo! misalnya terus membuat laporan tanpa meletakkan tanda soal(?) yang berbunyi, "Ustaz khalwat dengan isteri orang". Tapi, laporan itu sudah pun melaporkan bahawa Dr Badrulamin berada di sebuah hotel sempena mesyuarat para pemimpin PKR selama tiga hari yang berakhir Ahad (26 Februari).

Bagaimanapun, beliau tidak berdiam diri. Beliau terus menjawab, bahawa sekitar jam 2 pagi pada 25 Februari lalu, wanita itu telah menghubunginya dan memaklumkan bahawa beliau dan anaknya sudah tiba di hotel yang menjadi tempat acara Temurapat Pemimpin PKR baru-baru ini.

Badrulamin tiada pilihan melainkan terpaksa membawa wanita itu bersama anaknya mendapatkan bilik penginapan. Lalu, sekitar 2.30 pagi suami wanita itu bersama puluhan rakannya telah menyerang beliau. Isteri anaknya dibawa pergi secara paksa.

Dengan penjelasan itu, maka kenyataan Timbalan Pengarah Jaip (Jabatan Agama Islam Pahang) bahawa beliau ditahan pegawai-pegawai penguat kuasa jabatan itu atas tuduhan berkhalwat adalah meragukan. Maka, sudah pun timbul keraguan di sini.

Kerana itulah kita katakan tadi, betapa pentingnya kita mengutamakan keyakinan daripada keraguan, was-was, syak, waham dan zhan. Badrulamin sedia bertemu pihak Jaip untuk membantu siasatan pada 27 Februari bersama peguam dan memberi kerjasama kepada pihak berkenaan.

Maka, sikap tidak melarikan diri ini, menunjukkan bahawa - pada aras pertama, beliau berani kerana benar, dan tidak pula beliau melarikan diri. Oleh itu, jika
mahu membincangkan hal ini, maka hendaklah beberapa perkara di bawah ini diambil kira.

Pertamanya, wanita itu hadir bersama anaknya. Jika kes khalwat itu bersangkutan dengan perlakuan sumbang dan zina, lazimnya anak-anak tidak dibawa bersama. Anak-anak bagi kedua-dua pasangan itu akan ditinggalkan di tempat lain agar tidak mengganggu kedua-dua pasangan itu.

Kedua, lazimnya salah laku khalwat tidak dilakukan dalam keadaan pasangan hendak berbuat serong di tempat yang diketahui umum. Sepertimana kes di sebuah hotel di Balok itu, media-media yang pro BN, pro Pakatan Rakyat, malah yang berkecuali sekali pun telah melaporkan bahawa kejadian itu terjadi ketika temu rapat antara pemimpin PKR.

Maka, mustahil juga 'khalwat' (jika benar) itu berlaku di celah hiruk-pikuk orang-ramai bermesyuarat di hotel itu. Ini kerana, dalam fikiran sesiapa sahaja yang mahu berbuat jahat, mereka akan memilih tempat terlindung agar kelibat mereka tidak diketahui dan dihidu oleh manusia lain.

Kesimpulannya oleh kerana kes 'khalwat' ini masih di tahap meragukan, maka janganlah kita menuduh dengan penuh keyakinan. Yang paling diutamakan hari ini adalah, kilang Lynas yang sah-sah dan terang-terang akan mengganggu keselamatan jiwa manusia 1Malaysia.

No comments: