Monday, March 05, 2012

Debat Anwar-Najib, jangan sampai rakyat berdemo

Oleh RUHI HAYATI THANI

Debat itu hak rakyat untuk menilainya. Kenapa Dr Mahathir, selepas tinggalkan politik, masih diktator? Kenapa beliau fikir, suaranya akan tenggelamkan suara rakyat yang menuntut agar debat Anwar - Najib dilaksanakan? Adakah beliau mahu rakyat berdemonstrasi agar Najib sedia debat dengan Anwar?

Apabila Dr Mahathir menolak debat diadakan antara Anwar - Najib, lebih ramai rakyat berfikir. Adakah beliau takut Najib akan tergelincir lidah dan akan terbongkar lebih banyak salah laku kerajaan sejak era pemerintahannya?

Adakah Dr Mahathir yakin bahawa Najib memang lemah untuk mengendalikan Anwar ketika debat itu berlangsung nanti? Kenapa beliau tidak melarang Shabery ketika beliau berdebat dengan Anwar setelah Abdullah Ahmad Badawi menarik diri?

Banyak lagi yang rakyat ingin tanya kepada Dr Mahathir berhubung asas beliau menolak debat Anwar-Najib itu diadakan. Rakyat tertanya, kenapa beliau tidak menolak debat Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek? Jawapan yang pasti setakat ini, debat Lim-Chua mungkin tidak pecahkan rahsia besar Dr Mahathir.

Anwar, Musa, Daim, Tengku Razaleigh adalah antara watak yang pernah rapat dengan Dr Mahathir. Mereka ini pasti menyimpan rahsia besarnya. Tetapi, Lim dan Chua bukan temannya. Lalu, penolakan Dr Mahathir ke atas debat Anwar - Najib itu diulas tokoh akademik dengan jalur jawapan berbeza pula.

Misalnya, Prof Madya Sivamurugan Pandian di USM ketika mengulas keperluan debat itu, beliau seperti menyokong bersyarat. Iaitu ia tidak menyeleweng daripada landasan akademik dan tidak beremosi. Di samping itu, beliau usulkan agar ia dibuat secara bertahap di peringkat bawahan terlebih dahulu.

"...Kita lihat bagaimana situasi debat antara mereka (pemimpin bawahan), lepas itu baru kita buat keputusan sama ada perlu atau tidak debat antara pemimpin tertinggi ini diadakan," kata beliau.

Kini, selepas Lim dan Chua berdebat dalam bahasa Mandarin, umat tertanya-tanya adakah debat Najib dan Anwar akan terjadi? Jawapannya, debat tidak sesekali berlaku sebab Dr Mahathir dan Najib takutkan Anwar. Mereka tentu mengelakkan pertembungan dengan Anwar.

Ketakutan Najib tidak dijawab lewat lidah Najib, melainkan beliau terpaksa mengguna orang tertentu untuk membelanya. Walhal inilah masa yang paling sesuai untuk berdebat dengan Anwar ketika media ghairah memainkan isu Anwar menyokong pembentukan Negara Israel itu.

Tapi, dalam keadaan itu pun, sulit bagi rakyat hendak menemukan keberanian di hati Najib untuk berhujah dengan Anwar. Kini, Najib boleh menarik nafas lega ketika Dr Mahathir dan beberapa tokoh akademik menolak debat antara beliau dan Anwar. Walaupun tokoh akademik kerap sinonim dengan debat, namun tokoh akademik seperti Ibrahim Abu Shah jelas menolak debat yang bermanfaat kepada rakyat.

Anwar, menurut Ibrahim, sering memutarbelit fakta. Hal inilah yang menyebabkan debat Anwar dan Najib tidak perlu diadakan. Agak menakjubkan ketika Ibrahim berkata begitu. Walaupun ramai penganalisis politik melihat debat adalah kaedah terbaik agar rakyat menilai pemimpin, namun tokoh akademik yang satu ini melihat debat tetap tidak sesuai dalam konteks Anwar - Najib.

Pendirian ini agak melucukan kerana debat Anwar dan Shabery pernah dibuat sebelum ini dan Ibrahim tidak pernah mengulas begitu sebelum ini. Kenapa ketika berlangsungnya debat antara Anwar - Shabery dahulu, Ibrahim tidak berkata begitu?

Selain itu kata Ibrahim, Anwar adalah insan yang pandai memanipulasi keadaan. Oleh itu beliau sokong kenyataan Dr Mahathir bahawa debat membuang masa. Ini kerana, Najib patut memberi tumpuan ke atas usaha memperkukuh jentera BN khasnya ketika menjelang pilihan raya umum.

Dalam debat itu, kata Ibrahim, Anwar akan menutup kelemahan dirinya dengan melempar pelbagai tuduhan terhadap kerajaan. Sementara itu, pensyarah UPM, Prof Dr Jayum Jawan meletakkan syarat bahawa debat itu mesti matang atau tajuknya akan lari daripada tajuk asal debat itu diadakan.

Katanya, Dr Mahathir menolak debat itu kerana Anwar mungkin akan mengheret isu-isu yang tiada kaitan dalam usaha memperkasa bangsa dan negara. Sebaliknya, beliau yakin Najib akan terus menumpukan isu sebenar kerana PM adalah kerajaan yang melaksana dasar.

Biar apa pun yang dikatakan tokoh akademik Umno ini, suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah, menjadi hak rakyat untuk mendengar pandangan Anwar dan Najib dalam debat itu. Jangan sampai rakyat berdemonstrasi di jalan raya untuk menuntut debat itu diadakan.

No comments: