Oleh H FANSURI
27 Februari, 2012 | malam 'deadline'
Saya mengenali Zahari Hasib sejak 2005 saat mula bekerja di Siasah. Pada suatu pagi, dia hadir ke pejabat untuk mengirim hadiah gula-gila buat Ahmad Lutfi Othman yang mentadbir akhbar itu.
27 Februari, 2012 | malam 'deadline'
Saya mengenali Zahari Hasib sejak 2005 saat mula bekerja di Siasah. Pada suatu pagi, dia hadir ke pejabat untuk mengirim hadiah gula-gila buat Ahmad Lutfi Othman yang mentadbir akhbar itu.
Kebetulan, Ahmad Lutfi tiada lalu dia pulang begitu saja. Sejak itu, saya fikir, dia hadir ke ibu kota, semata-mata ingin mengirim hadiah kepada beberapa orang akhbar.
Dahulu, Harakah ada ruangan sastera di bawah kelolaan Taufek. Ketika itulah Zahari telah mula kirim puisinya di akhbar ini, kata Taufek. Pada suatu hari, ketika berlegar di ibu kota, Taufek terserempak dengan Zahari yang sedang melilau di suatu tempat.
Zahari sedar kelibatnya. Dengan lantang di celah hiruk-pikuk orang lalu-lalang, lelaki Teluk Intan itu, tanpa segan-silu dan malu-malu, memekik dari jauh, "Majulah Harakah!"
Zahari tidak peduli dengan kedudukan akhbar ini yang dicela orang sebagai akhbar pembangkang. Sesetengah penyair yang ingin pelihara nama baiknya, tidak mengirim karya ke akhbar haluan kiri. Mungkin ada yang ingin jaga nama agar namanya dapat memburu anugerah tinggi dalam sastera tanah air.
Zahari tidak peduli semua itu. Sajak adalah denyut nadi jantungnya yang selalu berdetak mengirim degup zarah darah yang bernama kebenaran ke ruang fikiran rakyat! Dia benar-benar memahami makna dan tujuan hidup ini, lalu tidak menghiraukan cercaan orang ke atas pembangkang dan Harakah.
Ketika penyair Shamsuddin Othman menitip pesan di Facebook, baru saya tahu berita pemergiannya. Saya terima sms Ahmad Lutfi petang ini dan rasanya sudah ramai yang mengetahuinya. Pada 23 Februari lalu, ketika berada di kampung, Zahari mengelui telefon bimbit saya buat kali terakhir.
"Saya kirim buah lai, makanlah, nanti busuk buah itu," begitu pesannya dalam suara tuanya yang serak garau itu. Buah lai 6 biji dan gula-gula. Itu hadiah terakhir. Telah saya makan sebiji, petang Sabtu lalu. Bakinya, saya mahu habiskan bersama teman 'lay-out' revolusioner di pejabat malam ini.
Banyak juga helaian puisinya yang singgah ke meja ini. Tetapi, kumpulan puisinya hanya empat; Kuntum Harapan (1992), Debu di Kaca (1995), Menyorot Kisah, Ilham (1987) dan Bunga-bunga Terbuang (1989). Apa pun, yang terpenting adalah kata perjuangan yang mahu diledakkan dari lubuk fikirannya.
Rupanya hadiah istimewa itulah kiriman tanda isyarat bahawa kami akan berpisah di dunia fana ini. Tiadalah erti lagi kehidupan dunia kepenyairan tanpa penyair yang jujur seperti Zahari.
Malam ini, saat bermesyuarat dengan teman-teman dengan buah lai itu, saya mahu apungkan satu usul, "Apakah boleh dibuat Anugerah Zahari Hasib bagi meraikan karya penyair revolusioner nanti?"
No comments:
Post a Comment