Saturday, March 17, 2012

'Usrah' PPSMI - mingguan atau bulanan?

Oleh H FANSURI

Sekitar 2005, ketika bekerja sebagai wartawan di Siasah, saya menemani Ahmad Lutfi Othman ke Kolej Era Baru di Kajang. Ketika itu sudah ada ura-ura di pihak kerajaan hendak melaksanakan dasar PPSMI ini secara menyeluruh ke atas semua jenis sekolah termasuk aliran Cina dan Tamil juga.

Langkah kerajaan untuk meng'PPSMI'kan sekolah bukan aliran kebangsaan ini dibantah keras oleh kumpulan Dong Jiao Zhong (DJZ). DJZ adalah perkumpulan NGO Cina yang aktif dalam mengangkat wacana berhubung usaha memartabatkan pendidikan kaum Cina. Ekoran itu, DJZ bertindak memanggil kumpulan NGO Melayu dan India juga.

Kumpulan pendidik Cina ini barangkali tidak tahu hendak menjemput siapa daripada wakil orang Melayu. Tiba-tiba, pada saat akhir, hanya wakil Melayu satu-satunya yang hadir adalah Ahmad Lutfi Othman. Jumlah orang Melayu yang hadir di padang kolej itu boleh dihitung dengan mudah. Tidak ramai.

Masa terus berlalu. Sehinggalah pada 2007 atau 2008, saya dijemput menghadiri dialog anjuran Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya. Pada suatu ketika, saya tertarik kepada ucapan seorang ahli akademik Gapena yang mengancam akan membuat laporan polis terhadap Hishammudin Hussein yang ketika itu adalah Menteri Pelajaran.

Alasan beliau, dasar PPSMI itu memang menjadi 'jenayah' dan menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Saya fikir, idea menyaman dan mengheret Menteri Pelajaran ke mahkamah itu memang memiliki nilai berita tinggi. Apatah lagi yang mahu saman Hishammuddin itu adalah Gapena yang selama ini dilihat sebagai tiang seri Umno.

Berita yang saya kirim itu naik ke Harakah Daily. Esoknya, saya lihat berita itu naik ke bahagian atas. Suara hati mengagak - mungkin ketua pengarang yang pindahkan 'berita panas' itu ke atas!

Berita Gapena ingin saman Hishammuddin adalah kisah yang tidak pernah terlintas di benak fikiran. Akademikus Gapena memang benar-benar menyatakan pendiriannya. Hishammuddin tidak endahkan ancaman Gapena. Akhirnya, laporan polis diteruskan.

Semangat Gapena memulakan ancaman ke atas Hishammuddin itu saya puji dalam satu bab. Tapi dari sudut lain, selepas umat turun ke jalanan bersama GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI), saya secara peribadi mencela Gapena selepas ketuanya mencela umat turun ke jalanan untuk membantah PPSMI.

Syahadan, baru-baru ini ada sebuah pertemuan antara pejuang bahasa di Kg Banda Dalam, Gombak. Khabarnya, jumlah yang hadir, di bawah 20 orang. Khabarnya, ada sebuah pustaka di situ. Saya menaruh anganan untuk adakan 'usrah' PPSMI di situ. Cuma, tak pasti suatu hal - adakah 'usrah' itu berkala mingguan atau bulanan?

No comments: