Sunday, April 22, 2012

Khemah Mogok Utusan lambang 'Occupy'?

Oleh H FANSURI

Baru-baru ini, dalam mahasiswa sudah mula keluar berontak di jalan raya utama di Kuala Lumpur. Mereka meresapkan suara yang disambut bingit deruan kenderaan di Dataran Merdeka. Himpunan itu dinamai 'Occupy Dataran Merdeka'.

"Ada 4 buah khemah," saya melaporkan kepada Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman yang ingin melihat siswa ini dari jarak dekat. Tiba-tiba, malam itu juga, ada 6 buah khemah. Untuk esok lusa, tidak tahulah berapa buah khemah lagi.

Semua ini mengheret ingatan ke atas sajak 'Duri dan Api'. Sasterawan Negara Usman Awang mengolah luahan rasa dan luapan batinnya lewat sajak. Antara rangkaian bait madahnya adalah berikut:-

"Kawan-kawanku yang dikasihi
semalam kita bertemu kembali memadu
ketika matari tersangkut di bumbung Utusan
kita tidak menerima apa yang ada
yang dinyanyikan dari hati berani
dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.

Kawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi."


Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Mogok Utusan, 1961 adalah 'Occupy' pertama dalam sejarah persuratkhabaran atau yang pertama dilakukan dalam sejarah permogokan di jalan raya.

Kenapa Mogok Utusan 1961 itu boleh juga diangkat sebagai 'Occupy'? Salah satu cirinya berdasar ukuran pemerhatian saya adalah - khemah-khemah yang dibangunkan untuk tempoh lama sebagai ikhtiar menekan kerajaan.

Selain itu, ada sajak 'Malam Penghabisan' (Untuk pemogok Utusan Melayu) gubahan Usman Awang yang juga bercerita tentang 'khemah'.

"Aku tau besok kami berpisah
kawan-kawan sedang lena ketika khemah mulai basah
malam penghabisan, esok kita ke mana
arus membawa hidup dalam api yang tetap menyala."


...Keliling sepi. Khemah yang suram menanti
pengawal keliling kami. Kereta hitam terdiri...

...Malam penghabisan di bawah khemah usang
bisikkan selamat tinggal, bisikkan perlahan
kawan Tionghua dan India yang memberikan tunjangan
buruh Utusan yang sedar bangun berjuang."


Dalam sajak di atas, khemah yang terpasang itu persis pemasangan khemah mahasiswa 'Occupy' itu. Ya, dulu, ada siswa yang merakam detik-detik bersejarah mahasiswa memberontak, kini di mana suara mereka? Dan ketiadaan penyair turun memberi sokongan turut membangun teka-teki yang sama juga.

Jika Usman masih hidup, saat dia melihat semua khemah di Occupy Dataran Merdeka dibangunkan menjelang himpunan rakyat Bersih 3.0, mungkin beliau akan menggubah sajaknya untuk para mahasiswa ini.

Usman mungkin menggubah puisi ini kerana terkenang kisah lama saat dia bermogok di bawah bumbung Utusan dengan segala khemah yang dibangunkan dengan jerih lelah dan air mata!

No comments: