Wednesday, April 25, 2012

Kuliah 'Occupy' dilanggar garuda samseng Umno?

Oleh H FANSURI

Konon diceritakan orang pada zaman dulu, ada garuda yang menyerang perkampungan Melayu. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, turut dikisahkan garuda menyerang bahtera yang membawa Putera Rom yang dinikahkan dengan Puteri China.

Kisah ini bermula dengan cabar-mencabar antara garuda dan Nabi Sulaiman a.s yang kerajaannya sungguh besar pada masa itu. Sumpah sang garuda kepada nabi Allah itu, "Kalau gagal, aku keluar dari bumi Tuhan ini!"

Ditakdirkan Tuhan, garuda gagal. Sebelum itu, datanglah jentayu yang menyerang garuda. Ternyata kesaktian si garuda melebihi batas kesanggupan burung jentayu. Jentayu alah sebagai perwira dalam kesaktiannya.

Di celah-celah itu, kerajaan Merong Mahawangsa muncul, hadir tiba di Langkasuka!

Jentayu alah tapi, garuda tetap gagal dalam misi jahatnya. Kononnya, garuda hilang, terus ghaib hingga hari ini. Masa pun berputar. Kerajaan Sulaiman lemah selepas baginda wafat. Kerajaan itu pecah dua; Utara dan Selatan.

Sebelum Sulaiman a.s naik takhta, ia didahului Daud a.s. Tapi, Daud asalnya adalah tentera Talut. Talut sulit jua hendak menewaskan Jalut. Namun, Daud yang masih muda menumbangkannya dengan seketul batu, dengan izin Tuhan. Garuda dan Jalut boleh tumbangkan Jentayu dan Talut, tapi akhirnya Merong dan Daud mendapat kuasa!

###

Maghrib ke Isyak, 18 April, 2012, saya hadiri 'kuliah' kartunis Zunar di Universiti Dataran Merdeka (Occupy Dataran Merdeka). Saat itu persatuan silat, silambam, wushu sedang mengadakan latihan untuk konsert diraja 21 April. Memang terganggu kuliah itu.

Kemudian, saya ke KLIA menghantar keluarga mengerjakan umrah, ziarah. Ketika pulang, hati tergerak untuk singgah sebentar mengambil gambar sekitar jam 1 pagi lebih. Rencana singgah sebentar itu tergendala.

Ini kerana, siswa UPM yang kenal saya terus mengajak berbual hingga lebih kurang 2:30 pagi. Samseng Umno berjalan dan pura-pura berjoging mula kelihatan. Semua orang mula menghidu bahaya yang akan berlaku.

Tiba-tiba samseng mula berpecah dan menjerit. Lalu mereka mulakan serangan dari arah gelap, dari arah padang. Segalanya berlaku dengan pantas! Mereka bagai garuda yang menggempur kampung zaman dahulu!

Habis perkampungan ilmiah di Universiti Dataran Merdeka, Occupy itu dirobohkan garuda samseng Umno! Yang tersisa di sini hanyalah catatan yang melantunkan pertanyaan, "Siswa itukah si Merong dan Daud yang bakal menewaskan garuda BN dan Jalut itu, seandainya sang jentayu PR Talut akan alah pula nantinya?"

No comments: