Saturday, April 28, 2012

Lawan samseng perlu kekerasan juga

Oleh RUHI HAYATI THANI

Dalam congakan hitungan peribadi saya, samseng ini sudah mengganas dua kali. Kali pertama di Jalan Kebun. Keduanya di Dataran Merdeka itu. Tetapi, setakat ini, belum terdapat tanda gejala bahawa 'samseng' PR akan menuntut balas.

Agaknya, polis dan samseng Umno itu pun sedar bahawa 'samseng' PR tidak akan membuat apa-apa ke atas mereka itu.

Apa pun yang berlaku, kejadian yang sudah menimpa para peserta Occupy pada awal dinihari 19 April lalu itu, akhirnya membuatkan ramai penyokong Pakatan Rakyat tiba mengimarahkan semula kawasan itu dan memenuhi dataran tersebut dengan kegiatan pencerahan pada keesokan malamnya pula.

Maknanya, daripada suatu segi - percubaan samseng Umno yang mahu menakut-nakutkan revolusioner itu tidak berjaya! Rakyat semakin berani apabila mereka sedang berjuang menolak amalan penindasan.

Di suatu sudut lain pula, Unit Amal telah menyatakan tekadnya - bahawa mereka akan 'berkampung' di Dataran Merdeka sehingga acara himpunan Bersih 3.0 dijadualkan pada 28 April ini. Jikalau hal ini berlaku, maka semua ini petanda baik.

Mereka, Umno dan BN itu merancang, tapi Allah s.w.t juga ada rencananya. Perancangan Allah itu yang sempurna pada akhirnya. Mungkin, jika tiada perlanggaran oleh samseng itu, maka tidak ramai yang hadir memenuhi dataran menjelang tarikh 28 April ini.

Ya, itu hanya harapan. Untuk malam-malam berikutnya, kita belum tahu lagi, apakah kesudahannya?

"Dengar kata, Unit Amal dah dapat elaun," kata seorang teman. Saya geleng kepala. Memang saya tidak tahu apa-apa.

Lalu, dia menambah kata-kata, bagi tujuan mengukuhkan pandangannya sendiri tadi, "Bagus juga bila ada elaun tu.. Dah lama Unit Amal tu menumpahkan khidmat setia bakti kepada parti. Mereka mesti mendapat ganjarannya."

Rakan-rakan yang hadir bersama di Dataran Merdeka itu sudah pun membuktikan bahawa, kekentalan semangat waja itu sudah berjaya menepis usaha samseng Umno itu.

Pada malam kejadian itu juga, saya dapat menyerap rasa ketakutan yang menjalar terseludup ke dalam hati dan perasaan sekawanan jerung-jerung samseng itu. Mereka lebih banyak menjerit, "Kamera! Kamera..."

Agaknya, sekawanan samseng itu pun sedar mengenai bahaya yang mungkin mengintai mereka apabila gambar aksi serta wajah mereka terpampang secara terbuka di internet nanti. Maka, sebab itulah kamera yang lebih awal mereka cari.

Lojiknya, kalau gejala kesamsengan Umno ini tidak dibalas, maka samseng Umno ini akan bertindak buas pada kejadian yang lain pula. Hal ini kerana, mereka berasa bahawa mereka ini memang kuat dan dilindungi oleh polis.

Dalam serbuan polis nanti, sekawanan samseng Umno ini, akan terlepas begitu sahaja, dengan begitu mudahnya. Mereka ini akan menjadi lebih sombong dan berasa diri mereka berkuasa melakukan apa sahaja sehingga mengganggu tugas kita sebagai pendakwah yang menyeru ke arah usaha mengguling penindasan dan membuang penindasan Umno, BN.

Bukanlah tiada laporan polis dibuat dan bukannya tidak pernah kita melihat nombor pendaftaran motor kereta mereka di internet. Pihak polis pun memang lebih memaklumi segala perkara yang terkait dengan maklumat peribadi mereka ini.

Tapi, pihak polis seperti mendiamkan diri. Hal inilah yang menyebabkan kepercayaan rakyat kepada polis sudah terhakis. Jika hal seperti ini didiamkan, maka pihak polis akan berdepan dengan perkara yang lebih besar.

Iaitu, bagaimana jika rakyat nantinya akan bertindak sendiri, memburu samseng ini dengan bertindak memukulnya? Saat itu akan tiba apabila setiap laporan itu tidak diendahkan oleh polis, lalu sekumpulan rakyat yang sedar ini akan bertindak semula memukul samseng Umno ini?

Ketika ini apakah tindakan polis? Polis perlu sedar bahawa tindakan rakyat memburu samseng Umno ini adalah berawal daripada sikap berat sebelah polis juga. Atau, bagi 'menyelesaikan masalah', apa kata, kalau polis jangan masuk campur langsung dalam pergelutan antara rakyat dan samseng Umno pada kemudian hari nanti?

Ya, rasanya setelah rakyat mendepani banyak kejadian ditimpa musibah yang didatangkan oleh samseng Umno ini, maka tiada lain lagi. Cuma ada satu jawapan yang pasti ketika polis sudah tolak segala aduan kita ke atas samseng Umno ini.

Iaitu, lawanlah kesamsengan Umno dengan kekerasan juga!

No comments: