Sejak dahulu, wartawan dan sasterawan sebenarnya bagai isi dan kuku, aur dan tebing. Hidup saling menyatu dan bekerjasama dalam membela kebenaran.
Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya 'Zaman Ini' tidak lupa kedudukan dua kelompok ini. Beliau bermadah kata...
Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya 'Zaman Ini' tidak lupa kedudukan dua kelompok ini. Beliau bermadah kata...
"Engkau penyair akan menulis segala cerita
Penamu tajam boleh mengiris segala derita
Zaman ini mengajarmu hidup berpura-pura
Atau sekadar menyelamatkan diri menganggukkan kepala."
"Engkau wartawan kutip berita antara manusia
Penamu tajam dapat mencungkil keburukan mereka
Engkau diam mengikat tangan di bawah meja
Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka."
Arenawati, Keris Mas, Pak Sako, Usman Awang, A Samad Said, dan A Samad Ismail bolehlah dikumpulkan sebagai wartawan sasterawan dan/atau sasterawan berjiwa wartawan.
Arenawati paling jelas bertugas sebagai wartawan, Keris Mas termasuk juga Pak Sako. Semuanya berhaluan kiri pada awal pembabitan mereka dalam kewartawanan.
Cerpen-cerpen Arenawati pula, misalnya bukan sedikit yang memperihal seputar kegelisahan wartawan pada zaman gelap Malaya.
Di dalam novel Hujan Pagi misalnya, A Samad Said memperihal peristiwa suram akhbar pada zaman gila perang penjajahan British.
Dengan melukis watak wartawan Lokman dan Rusli, A Samad menulis kisah tentang rencana mereka yang menimbulkan kecurigaan pihak penguasa.
Akibatnya akhbar Hujan Pagi disekat daripada diedarkan. Pengiriman Hujan Pagi melalui keretapi pun turut disekat.
Dalam peristiwa lain pula, pihak penjajah membuat siasatan serta tangkapan ke atas kumpulan wartawan itu. Wartawan Lokman kecewa, lalu mengasingkan diri di sebuah pulau terpencil.
Ada beberapa tempat di dalam Hujan Pagi, Pak Samad cuba melahirkan kata tanya dalam wajah persoalan berhubung falsafah akhbar dan kewartawanan.
"Apakah peranan akhbar saudara itu 'pengghairah', 'pelapor', 'pendakwah', atau 'pengekor'?" (Hujan Pagi)
Sebenarnya, inilah empat tema yang menjadi bahan fikiran pengamal media sejak dahulu sehinggalah ke hari ini.
Akhirnya, Samad tampil sendiri menawarkan jawapan, "Akhbar kita suara rakyat. Hujan Pagi suara keadilan," (Hujan Pagi). Samad dengan jiwa kesasterawanannya menyalakan api fikir rakyat mengenai sikap akhbar yang paling jernih - iaitu membela keadilan.
Kini, seolah-olah segelintir wartawan cuba membela kebenaran, tapi kebenaran seolah-olah gagal tampil membela mereka sendiri.
Lalu akhbar tidak lagi menjalankan peranan sebagai suara keadilan, sebaliknya menjadi juara yang menaja kelucahan dan pornografi di muka depan akhbar itu.
Arenawati berkata dalam Busa Hati, "Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah."
Inilah dekadnya di mana akhbar menjadi juara menaja kelucahan. Usman Awang, A Samad Said dan Arenawati adalah sasterawan masa lalu yang bingkas dan tangkas membela wartawan, kewartawanan dan akhbar yang ditindas British dan warisnya; Umno.
Di sana, ada juga suara wartawan membela sasterawan tertindas. Ketika Shahnon Ahmad didera jiwanya oleh Umno gara-gara novel Shit, ada wartawan membelanya. Di sana, tidak sedikit wartawan yang tampil membela mogok seni A Samad Said.
Syahadan, pada 12 Mei lalu, ada Konvensyen Akses Media menjelang PRU-13. Ada banyak soalan juga. Namun, dalam diam-diam, saya menarik nafas lega. Mujurlah rakyat masih tidak sedar, belum dicerahkan lagi akal fikir untuk bertanya...
"Di mana suara sasterawan hari ini yang akan tampil membela akhbar, wartawan dan kewartawanan yang ditindas Umno dan penjajahan BN?"
Fuh! Lega! Kalau tidak, jenuh berpeluh juga mahu menjawabnya. Phew!
No comments:
Post a Comment