Monday, May 28, 2012

Nong Chik kalah di Lembah Pantai?

Nong Chik kalah di Lembah Pantai?   Oleh RUHI HAYATI THANI   Sebenarnya, tidak boleh meramalkan Raja Nong Chik kalah di Parlimen Lembah Pantai. Hal ini kerana, belum dinamakan lagi namanya sebagai calon Parlimen di kawasan itu.   Bagaimanapun, sebelum ceramah PKR dibaling batu dan telur busuk di Lembah Pantai, sudah ada acara ceramah TIBAI (Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim) di sana juga.   Salah seorang tenaga penceramahnya adalah lelaki India yang dikatakan pernah bekerja bersama Anwar Ibrahim sebelum ini. Setelah memburuk-burukkan Anwar, beliau sudah 'isytiharkan' kepada para pendengar supaya menyokong dan mengundi Raja Nong Chik.   Lelaki India ini bukan Perdana Menteri Najib Razak yang boleh bubarkan Parlimen dan isytiharkan tarikh pilihan raya. Beliau bukan Presiden Umno, Pengerusi BN yang boleh mencalonkan nama Raja Nong Chik sebagai calon di kawasan itu.   Tapi, di atas pentas ceramah TIBAI, lelaki India ini boleh menyeru orang-ramai supaya mengundi Raja Nong Chik pula. Dia mungkin sudah diberitahu bahawa Raja Nong Chik akan bertanding. Justeru, dia menyeru penduduk di situ agar mengundi Raja Nong Chik.   Sebenarnya, cerita bahawa Raja Nong Chik akan pergi ke Lembah Pantai sudah berlegar dari mulut ke mulut orang-orang Umno, telah meniti juga daripada lidah ke lidah.   Perihal Raja Nong Chik akan bertanding di situ telah berubah menjadi suatu keyakinan yang teguh dan utuh sehingga ia menjadi tunjang keyakinan iman Umno bawahan.   Bagi memenangkan Raja Nong Chik di Lembah Pantai hanya dua cara. Pertama, rakyat Lembah Pantai itu mesti diperbodohkan dan kedua, undi-undi berkati-berkati yang entah datang dari laluan mana mestilah dibawa masuk ke pusat pengundian Lembah Pantai itu.   Apabila rakyat bodoh, maka isu penyelewengan wang yang dilakukan Raja Nong Chik, bersama anaknya sebanyak RM30 juta itu sudah diketepikan rakyat hanya bermodalkan duit ringgit sebanyak RM500 untuk setiap seorang.   Penduduk di Lembah Pantai mesti dicerahkan pemikiran dan kesedaran mereka terhadap isu kronisme yang melingkari Raja Nong Chik dan anaknya. Rakyat mesti sedar bahawa kontrak bernilai RM30 juta ini sudah diberi kepada Istijuara Sdn Bhd yang dimiliki oleh Raja Nong Chik Zainal Abidin juga melalui anaknya.   Fakta ini, dan lain-lain fakta lagi sepatutnya membuatkan Raja Nong Chik rebah sendiri di mana-mana tempat yang dia mahu bertanding sekali pun. Pada tahap ini, kita panggil keadaan ini sebagai 'kalah moral', tetapi belum tentu beliau akan kalah undi nanti.   Seperti yang disebut di atas, kemenangan Raja Nong Chik boleh jadi berpunca daripada pemikiran rakyat yang belum dicerahkan, dan tipu daya undi yang entah datang di celah mana. Apa pun, adakah fakta kronisme sejumlah RM30 ini sudah diserak sepenuhnya?   Walau kita hidup pada zaman teknologi maklumat, kita masih berdepan dengan dua hal utama. Pertama, anak muda remaja yang tidak pedulikan politik. Kedua, orang tua yang ketandusan maklumat walaupun mereka hidup pada zaman teknologi maklumat ini.   Anak muda remaja hari ini yang mahir dengan segala macam perkakasan IT, mereka ini mengenali Twitter, Facebook, Blog, Yahoo Messenger, Youtube, tetapi tidak cenderung untuk menelaah dan menghadam isu-isu politik di internet, sebaliknya menggunakannya ke arah hal-hal yang tidak berfaedah seperti hal mengejar keseronokan dan hiburan.   Seterusnya, orang tua yang memang ingin mengikuti isu-isu politik. Namun, malangnya, mereka ini tiada kemahiran dalam menggunakan perkakasan IT seperti yang disebutkan di atas tadi. Jika golongan tua yang suka mendengar isu politik ini mengetahui cara-cara mengendalikan perkakasan internet, maka politik mereka boleh dicerahkan.   Akhirnya, kita terpaksa juga mengguna kaedah warisan zaman-berzaman untuk jatuhkan Raja Nong Chik di Lembah Pantai itu. Sebagai termaklum, dosa dan jenayah Raja Nong Chik sudah tersohor di Kg Baru. Ramai penduduk Kg Baru anti Raja Nong Chik kerana hajat beliau ingin 'menjual dan menggadai' tanah Melayu satu-satunya di ibu kota itu.   Jika berhajat benar menjatuhkan Raja Nong Chik di Lembah Pantai, bawa penduduk Kg Baru berbondong-bondong ke Lembah Pantai untuk ceramahkan kebejatan moralnya di Kg Baru itu. Ya, jangan lupa juga untuk ceramah kuliahkan hal kontrak RM30 juta itu!

Saturday, May 26, 2012

KAMI perlukan dokongan muda

Oleh ALI BUKHARI AMIR

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) merintis jalan baru selepas selesai mengadakan Konvensyen Akses Media menjelang pilihan raya umum ke-13.

Anjakan acara susulan daripada konvensyen itu semestinya dilaksanakan dalam beberapa segera, memandangkan tarikh pilihan raya dan pembubaran Parlimen itu hanya berada di hujung lidah Perdana Menteri Najib Razak sahaja.

Bagaimanapun, sebelum itu, sudah pun ada kata-kata yang seolah-olah 'jernih' berkaitan corak perjalanan media sepanjang tempoh pilihan raya itu.

Contohnya, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar berkata, "Berkemungkinan SPR akan memberi tempoh berkempen selama 15, 16 atau 17 hari."

Kenyataan awal SPR itu disambut KAMI dengan baik awalnya. Namun, badan yang memperjuang kebebasan akhbar itu masih kekal berpegang kepada tempoh kempen selama 21 hari, mirip tuntutan Bersih selama ini.

Wan Ahmad Wan Omar dan lain-lain Pesuruhjaya SPR mungkin belum lagi menyerap sepenuhnya idea-idea pengamal media mengenai perjalanan media yang sepatutnya menjelang pilihan raya nanti.

Kita perlu menyemak selalu, adakah Wan Ahmad menyedari bahawa betapa perlunya media di negara ini seperti Bernama, RTM dan Jabatan Penerangan diletakkan di dalam wadah khas sebaik sahaja tarikh pembubaran Parlimen itu diumumkan?

Rakyat perlu menyemak sentiasa, adakah pesuruhjaya SPR sedar bahawa Bernama, RTM dan Jabatan Penerangan itu sepatutnya tidak perlu lagi mendengar arahan daripada Menteri Penerangan sepanjang tempoh berkempen selama 21 hari?

Jangan-jangan, rakyat sendiri tidak memahami keperluan ini. Boleh jadi, tiada yang menyedari bahawa pengamal media, seperti NUJ dan KAMI misalnya sudah pun bersetuju bahawa menteri penerangan tidak perlu berperanan dalam PRU nanti.

Kita perlu melaksanakan kempen kesedaran ke atas rakyat dan dalam masa sama, turut sesekali menyemak selalu pandangan pesuruhjaya mengenai tuntutan ini.

Tahap kesedaran rakyat mengenai peritnya wartawan, editor akhbar yang didera Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu masih di tahap membimbangkan.

Boleh dikatakan hampir tiada golongan yang terjun ke jalan raya semata-mata membuat ulang desakan agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan.

Agak aneh apabila direnungkan betapa 'mudahnya' menghimpunkan rakyat ke jalan raya bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

Hasilnya, berlaku pembebasan Mat Sah Satray, suami kepada Norlaila Othman dan berlaku pula pengumuman Perdana Menteri Najib Razak untuk membubarkan ISA.

Walaupun ISA akan digantikan dengan dua akta lain yang diperhitungkan sebagai lebih dahsyat selepas terjadinya demonstrasi pemansuhan ISA itu, tapi paling penting di sini adalah, wujudnya demonstrasi untuk memansuhkan akta tersebut.

Hingga kini, kesedaran untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu belum dapat dicurahkan lewat jalan raya, walhal kempen kesedaran dan hasutan agar rakyat turun ke jalanan itu boleh disimbah di hujung pena wartawan juga.

Syahadan, baru-baru ini, saya sempat berbual dengan Ahmad Lutfi berhubung hal hendak memajukan langkah KAMI, sekali gus memanjangkan kempen kesedaran media terhadap orang-ramai. Yang terlintas di fikiran cuma tenaga anak-anak muda.

"Kalau dapat kumpul balik mahasiswa ini, boleh buat banyak acara KAMI," kata Ahmad Lutfi, sambil menyentuh gerakan mahasiswa dalam Malaysia Bangkit itu.

Di dalam konvensyen akses media anjuran KAMI tanggal 14 Mei lalu, memang ada siswi yang tampil menyatakan kesediaan mereka dalam acara anjuran media ini.

Saya juga menyimpan harapan yang positif ke atas kesediaan mereka. Yang perlu hari ini adalah cuma sedikit waktu dalam beberapa pertemuan.

Dan dalam pertemuan itu nanti akan terkembanglah fikiran sesama sendiri untuk memperhalusi rancangan kempen media masa depan sebelum pilihan raya menjelang tiba.

Monday, May 21, 2012

Hubungan The Lady dan Bersih 4.0

Oleh BOESTAMAM SARI

Aung San Suu Kyi tersepit antara negara dan suaminya yang sedang sakit. Suami beliau Dr Michael Aris sedang tenat menanggung beban kesakitan di London oleh sebab kanser prostat.

Pihak junta tentera telah mengirim wakilnya kepada Suu Kyi untuk memilih sama ada Suu Kyi mahu meninggalkan negara ini atau pun tidak bagi menziarahi suami beliau yang sedang sakit tenat itu.

Friday, May 18, 2012

Kenapa wartawan, akhbar kurang dibela sasterawan?

Oleh H FANSURI

Sejak dahulu, wartawan dan sasterawan sebenarnya bagai isi dan kuku, aur dan tebing. Hidup saling menyatu dan bekerjasama dalam membela kebenaran.

Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya 'Zaman Ini' tidak lupa kedudukan dua kelompok ini. Beliau bermadah kata...