Thursday, February 14, 2013

Najib Razak khianati artis tempatan


Oleh H FANSURI

Kebudayaan seni hiburan Korea Selatan adalah produk Amerika Syarikat yang melalaikan anak-anak muda. Semua ini menunjukkan bahawa Najib Razak adalah saudara rapat kepada produk kapitalis Barat. Bukan sangat Najib Razak hendak menjalinkan hubungan dengan kebudayaan Korea Utara, sebuah negara sosialis, komunis itu. 

Dan, kini sekali lagi berlaku pengkhianatan ke atas Dasar Kebudayaan Negara apabila Najib Razak menghulurkan 'amal sedekah jariah' kepada Park Jae-sang (Psy) semata-mata persembahan percuma beliau bersempena perayaan Gong Xi Fa Chai. Sekitar RM1 juta diperuntukkan untuk artis luar. Ini pengkhianatan ke atas artis tempatan Cina itu sendiri. 

cintanya Najib ke atas K-Pop ini jelas tergambar melalui sikap kerajaan menjemput Psy. Kita jemput kebudayaan liar Korea ini dua kali. Sekali di Putrajaya, kemudian di Pulau Pinang. Mungkinkah ini cara Najib menarik undi pemuda Cina Pulau Pinang yang diisytihar negeri pembangkang?

Sikap Najib ternyata berbeza sekali dengan sikap ayahnya Abdul Razak yang mengangkat Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) sebagai panduan pembinaan kebudayaan negara. Berjaya atau tidak DKK sudah tidak penting kerana kita sedia maklum bahawa kekalahan bangsa kita dalam perang budaya bermuara daripada sikap pemimpin Umno khususnya Najib sendiri. 

Memang kita kerap salahkan pelakon dan penyanyi sebagai kelompok yang melalaikan umat. Tapi, liar si Psy itu menjemput rasa cemas golongan pencerah dua kali gamat. Rakyat berfikir - adalah lebih baik diagih wang itu buat artis tempatan Cina untuk hari raya Cina. 

Artis Cina tempatan yang tidak mendapat tempat dalam perusahaan hiburan di bawah tadbiran BN selama ini seharusnya bangkit menyatakan bantahan terhadap sikap Najib. Satu undi kaum Cina kepada Najib adalah undi bagi menindas artis tempatan Cina Malaysia yang tidak mendapat tempat dalam perusahaan hiburan tanahair. 

Jutaan ringgit untuk Psy ini turut menganiayai artis Melayu. Najib tidak patut utamakan artis luar ketika isteri pelakon Edika Yusuf sedang lumpuh dan Maimon Mutalib pula menderita kanser. Kaitkan juga dengan kematian beragan Bob Kuman di hujung nyawanya tanpa pembelaan Najib. 

Barangkali, kaum penghibur perlu belajar pengalaman demonstrasi jalanan kelolaan P Ramlee dan rakan-rakannya di Jalan Ampas dahulu di Singapura. Keterlibatan gerakan kesatuan sekerja artis Jalan Ampas dengan Barisan Sosialis adalah kemuncak unggul gerakan artis yang paling dinamik dalam sejarahnya. Mereka berjuang menuntut kehidupan yang lebih baik.

Hal ini patut ditelaah Zed Zaidi selaku kepala persatuan Seniman. Pada zaman pemurnian semula kebudayaan kebangsaan, seni berontak kaum penghibur sepatutnya dirancakkan. Bukan aneh jika kaum penghibur mengadakan demonstrasi di pejabat Finas Hulu Kelang atas sikap Najib yang meminggirkan mereka selama ini. 

Umat tertanya-tanya, sihir apakah yang terkena ke atas Najib hingga beliau tergamak membazir duit negara dengan mengundang Psy? Ada satu sebab yang mungkin wujud jika beliau tergamak menerapkan nilai-nilai kebudayaan liar Korea itu. Mungkinkah Najib 'jatuh cinta' kepada penari Korea tempoh hari di Putrajaya? 

Lagi pun, perawakan Korea dan Mongolia itu lebih kurang sama juga. Jika ini benar, mungkin akan ada lagi undangan ke atas artis luar dari Korea Selatan itu. Zed Zaidi, percayalah! Semua ini akan kekal berterusan selagi kaum penghibur belum berhasrat berdemonstrasi di studio Hulu Kelang!

No comments: