Oleh H FANSURI
Dalam persembahan filem dan karya-karya Islam, sudah wujud penjenamaan seperti pop Islami. Sehingga kini, masih sulit diisytihar mana satu filem dan karya Islam yang benar-benar tulin itu.
Tetapi, apa yang pasti, sudah terbit kecenderungan untuk menghasilkan filem-filem berciri Islam itu. Semua ini perlu disambut baik, tanpa perlu kita mempertikai niat pembikin karya tersebut.
Hal ini kerana, kita penonton dan pembaca bukanlah Tuhan untuk menghakimi niat seseorang itu dalam urusan amal ibadat masing-masing. Apakah pembikin karya itu benar-benar mahu dakwah atau filem Islam mahu dijadikan bahan keuntungan, maka kita perlu berlepas diri daripadanya.
Yang boleh dipertikaikan adalah ciri, unsur luaran yang nampak jelas di penglihatan kita. Jikalau ditinjau kepada perlakuan serta jalan cerita yang tidak selari dengan kehendak Islam, maka ruang untuk membuat teguran itu akan selalu ada.
Antara kritik serta teguran yang kerap berlegar adalah hal sentuhan tangan antara pelakon wanita dan lelaki di dalam filem, drama berkenaan termasuk hal penutupan aurat. Nampaknya semua ini sedang berada dalam alam fikiran sutradara kita pada hari ini.
Kebanyakan sutradara sudah seakan-akan tahu bahawa filem Islam itu pasti melibatkan larangan ke atas pembukaan aurat dan pasti juga perihal sentuhan tangan antara lelaki dan wanita amatlah dititikberatkan. ‘Undang-undang tak tertulis’ ini wujud tercetus hasil pergolakan masyarakat.
Tiba-tiba, di celah-celah keghairahan itu, ada pula sedikit kesilapan berlaku dalam drama Sahara. Maka, berombaklah buat sementara badai kritikan orang berhubung drama tersebut. Oleh kerana saya belum mengikutinya dengan betul-betul lurus dan mendalam, maka sulit dibuat pengesahan.
Bagaimanapun, yang sampai di pendengaran kita adalah babak-babak yang tidak menyenangkan seperti hal sentuhan tangan yang terhitung sebagai babak yang tidak sesuai dipertontonkan. Lalu, ada pihak yang menyifatkan babak itu sebagai sesuatu sikap yang menghina Islam.
Menurut hemat saya, apa yang kerap terjadi mutakhir ini adalah sikap keliru ke atas agama Islam itu sendiri. Kekeliruan boleh terjadi di mana-mana dan bila-bila, tidak cuma dalam drama sahaja. Kejahilan boleh terjadi lewat beberapa babak dalam novel Islami di tangan seorang pengarang.
Lalu, hal kekeliruan pelakon dan pengarah drama Islam itu dianggap sebagai sesuatu yang sudah hina Islam pula. Jadi kita perlu jelas dalam hal ini. Apakah bezanya antara ‘keliru’ dan ‘hina’. Di dalam sebuah filem arahan Sam Bacile memang ada babak yang menghina Rasulullah s.a.w.
Babak itu dipertontonkan dengan niat yang jelas, iaitu untuk menghina sosok keperibadian rasul, sekali gus menghina Islam. Sudah pasti mereka ini, pada awalnya keliru ke atas Islam juga. Oleh kerana kekeliruan itu, mereka juga terdorong menghina pula dengan babak-babak kelucahan.
Sedangkan dalam babak-babak yang disutradarai pembikin filem, drama kita, hal demikian tidak pernah wujud. Apa yang berlaku seperti hal sentuhan tangan dan tidak menutup aurat adalah satu lumrah yang pernah terjadi di sekeliling kita pada hari ini.
Pelakon dan pengarah mungkin juga pernah bersentuhan tangan, lalu kebiasaan itu terbawa-bawa di dalam filem, drama. Mereka ini mungkin sudah menonton Ayat-Ayat Cinta dari Indonesia lalu dengan mudah menyangka bahawa Islam itu terbatas kepada niqab dan jilbab sahaja.
Dalam Ayat-Ayat Cinta juga ada sedikit ditonjolkan babak bercium antara suami isteri. Jadi, hal yang sedemikian mungkin menjadi bahan rujukan pengkarya kita pada hari ini. Ini adalah keliru yang masih boleh diselamatkan. Mereka ini tiada niat menghina Islam seperti Sam Bacile itu.
Setelah kita lama mencemuh pembikin karya filem dan drama Islami ini, maka rasanya perlu ada juga semacam suatu sidang muhasabah bagi memperbaiki mutu karya hingga wujud peningkatan baru di dalam filem dan drama Islam pada masa akan datang.
Arakian, Akademi P Ramlee (Akademi Jalan Ampas) menyeru penonton, pengulas filem, drama supaya menyokong usaha kami dalam menemukan pelakon pengarah dalam ‘sidang muhasabah karya Islam’ yang bakal diadakan pada zaman penggulingan Najib Razak di Putrajaya kali ini.
No comments:
Post a Comment