Thursday, April 25, 2013

Dian, menyalakan api ‘Politik Sunnah’

Oleh H FANSURI

“Tidak dapat diragukan, orang Muslim diharamkan berbai’at kepada penguasa mana pun yang tidak komited terhadap Islam. Baiat yang membebaskannya daripada dosa adalah baiat terhadap orang yang berhukum dengan apa yang diturunkan Allah.

“Jika tidak ada, maka semua orang Muslim berdosa hingga ada penerapan hukum Islam, sehingga ada pula baiat yang dituntut itu.” - (Dr Yusuf al-Qardhawi, Fiqh ad-Daulah dalam perspektif al-Quran dan as-Sunnah), halaman 29.

Fakta dan catatan ini, tertuang dalam lembaran majalah Dian. Majalah bilangan kali ke-13 ini telah terbit dengan kupasannya bersesuaian terhadap keadaan politik hari ini.

Misalnya, pada halaman 73, turut dimuat kisah nabi mendoakan balasan ke atas penjahat. Diriwayatkan Nabi s.a.w berdoa, “Ya Allah! Kenakanlah balasan atas orang Quraisy (diulang baginda hingga tiga kali)”.

“Kemudian, Nabi s.a.w menamakan mereka yang didoakan itu dengan katanya: “Ya Allah! Kenakanlah balasan ke atas Abu Jahal, ke atas ‘Utbah bin Rabi’ah, ke atas Syaibah bin Rabi’ah, ke atas al-Walid bin ‘Utbah, ke atas Umaiyah bin Khalaf, ke atas ‘Uqbah bin Abi Mu’ayt.”

Nabi s.a.w menamakan dalam doa baginda tujuh orang, namun seorang lagi tidak diingati namanya oleh perawi (Abdullah bin Mas’ud) dan berkata, “demi Allah, sesungguhnya orang yang dinamakan dalam doa baginda itu semuanya terbunuh dalam Perang Badar dan yang ketujuhnya ialah ‘Imarah bin al-Walid.”

Pengetahuan dasar seperti ini mungkin wajar disebar ketika polemik haram berdoa terhadap BN sedang rancak dibualkan orang pada zaman sekarang ini.

Sementara itu di halaman 40 pula, majalah ini membawakan tajuk ‘Jangan silap pilih pemimpin’. Catatan yang baik direnung adalah petikan tulisan Abd Zaman @ Bakri Mohamed tentang politik Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya; ‘Mausuu’atu Nadhrati an-Na’im.

“Bahawa Allah akan menolong daulah yang adil meski pun pemerintahnya kafir. Sebaliknya, Allah tidak akan menolong daulah yang zalim meskipun pemerintahnya mukmin,” pendapat Ibnu Taimiyyah dipetik.

Di perenggan ini, mungkin kita dapat menyedari kenapa penguasa DAP di Pulau Pinang tidak bermasalah sangat kecualilah di pihak Umno Pulau Pinang (kerana peluang mengaut kekayaan sudah tiada lagi).

Manakala di laman 74, dalam wawancara bersama Bob Lokman berjudul “Saya ambil ilmu ‘menjaga hulu sungai’, pelakon dan penulis lirik itu berkongsi pengalaman hijrahnya ke dalam PAS untuk perubahan.

“(Bagi saya) masuk PAS ni umpama menjaga sebuah lautan. Tapi, menjaga di hulu sungai. Air daripada hulu sungai, masuk ke laut. Kalau kita jaga di muara, alik atas (hulu) nu orang tebang pokok, air (sungai) kuning, kita tak boleh buat apa-apa, belanja (puliharanya) besar. Laut (pun jadi) kotor.

“Jadi (begitulah ibaratnya) nak jaga Islam ni, kena jaga ‘hulu sungai’. Sebab tu saya masuk PAS, duduk pun di hulu sungai. Umno ni duduknya di muara, sebab tu dia banyak bisnes – dia nak cuci (sungai) kotor, dia nak tangkap siakap, dia nak besarkan muka kuala, bot nak masuk, bot nak keluar… banyak bisnes.

“Di hulu tak banyak bisnes. Cuma (perlu) beritahu kat orang, “jangan tebang pohon, jangan tebang pohon”, itu saja. “Jangan musnahkan alam”. Untung (segera) tak ada. Untungnya apa? Untungnya, laut menjadi cerah (bersih). Pasal suatu hari kita ni nak belayar pergi ke laut. Sampai ke laut (waktu itu kita akan seronok), “Allah, bersihnya laut!”

“Laut itulah perjuangan. Inilah fahamannya. Inilah yang orang tak faham kenapa saya masuk PAS ni,” kata Bob Lokman panjang lebar ketika ditanya niat dan tujuannya menyertai PAS.

Di samping itu ada catatan penting di halaman 30; Bicara Utama berjudul ‘Transformasi, Pastikan Rakyat Dapat Mandat’, di mana Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menyentuh hal keterbukaan BN dalam melaksanakan transformasi Najib Razak itu sangat mencurigakan rakyat.

“Jadi jika rakyat yang terbabit dalam proses tuntutan demokrasi, transformasi politik ini tidak puas hati, kerajaan tidak seharusnya melabelkan ini sebagai satu tindakan pihak pembangkang yang sengaja nak mencari helah untuk tidak mengakui perubahan yang dilakukan oleh kerajaan.

“Bagi saya, kerajaan harus terbuka…” katanya saat merumuskan kegagalan  transformasi Najib Razak itu.

Sementara itu di halaman 36 pula, dengan judul Tranformasi Sosial Pengalaman Indonesia, penulis M. A. Jawahir pula menulis pengalaman transformasi di negara seberang.

Kata beliau, memang tersisa kepura-puraan Sukarno, dengan menyebut Perlembagaan Negara rohnya adalah Piagam Jakarta, yang jelas menyebut kewajiban menjalankan syariat Islam bagi para pemeluknya.

“Namun sampai hari ini, syariat tidak dijalankan. Ada saja alasan pemerintah untuk menolak apabila diajak kembali kepada syariat Islam,” tulisan beliau dipetik ketika mengulas transformasi Sukarno.

Demikianlah Dian. Ia bermula daripada sebuah majalah kecil, ringan serta mudah dibawa ke mana-mana dan sehingga kini sesudah 30 tahun, ternyata ia masih bertahan dengan pengisiannya yang sarat dengan sentuhan faham siasah sunnah dan politik asuhan nabi-nabi.

Dahulu, saiznya seakan-akan Readers Digest. Namun, dengan saiz majalah hari ini, ia masih meletakkan dirinya dalam wajah peta kemasyhuran yang sama. Majalah ini terhenti penerbitannya sekitar 20 tahun lalu. Manakala pengasasnya pula, Yusoff Zaky Yacob telah ke rahmatullah.

Di celah  bahang kegemparan pilihan raya ini, dengan gubahan serta sentuhan isinya, bolehlah dikatakan bahawa Dian sedang menyalakan api pengetahuan ke atas politik sunah yang lama ditinggalkan ummat. Dan dengan kehadirannya, ia cuba menebar kesedaran bangsa dengan cara gayanya yang tersendiri.

No comments: