[Tulisan ini digalakkan (menghampiri wajib) untuk dicetak dan dibaca, sunat difailkan dalam ‘folder’ khas, dan harus dipanjangkan kepada orang-ramai.]
[Tulisan ini mungkin (berdasarkan tafsiran penulis) mempunyai unsur-unsur hasutan politik dan perkauman yang tidak keterlaluan, unsur seksual ringan dan lain-lain unsur yang juga boleh ditafsirkan sebagai tidak keterlaluan. Bagaimanapun, penulis tidak dapat bertanggungjawab di atas kecederaan fizikal, mental, rohani dan jasmani, akibat membaca tulisan ini.]
[Mana-mana pembaca yang mendapat kesakitan luar biasa - sakit jantung, kencing manis, gout dan lain-lain masalah selepas membacanya, adalah dinasihatkan segera bertemu dengan pakar perubatan untuk keselamatan.]
Sekian, terima kasih.
===================================================================
Oleh Ali Bukhari Amir
Ketika membuka siaran tv tadi, (10.30 p.m, 24 November, 3 Zulkaedah) secara kebetulan TV9 sedang memainkan sebuah filem Indonesia. Saya tak tahu apa tajuk filemnya. Cuma saya tahu, ia berkisarkan garis-garis kehidupan anak-anak yatim di Rumah Matahari. Mungkin mereka adalah anak-anak Aceh yang kematian ibu bapanya dan menjadi korban Tsunami dua tahun lalu.
Apa-apa saja yang terkait dengan Aceh dan Tsunami memang memancing perhatian saya. Saat itu, saya berada di tahun akhir di universiti. Berita Kampus (BK) dalam beberapa siri keluarannya selepas itu telah menyiarkan gambar-gambar dan laporan tentang insiden itu.
Antara daerah paling teruk dilanggar Tsunami ialah Persiaran Gurney, Pulau Pinang yang menerima kunjungan pelancong Barat paling ramai. Kerosakan di situ diurus dengan baik sekali. Hanya, kawasan perkampungan nelayan Melayu yang lambat mendapat bantuan.
Perlulah dicatitkan di sini, iaitu beberapa kawasan perkampungan nelayan di selatan Thai tidak mendapat bantuan pemerintah. Tapi, Phuket yang terletak kira-kira 6 jam perjalanan dari Satun (Setol, dalam bahasa Melayu) telah mendapat bantuan pemerintah dengan baik dan pantas juga. Sama statusnya dengan Persiaran Gurney; Phuket juga adalah kawasan pelancongan.
Ertinya, salah satu persamaan sifat dalam kalangan pemimpin Asean, (boleh jadi sifat ini turut dikongsi bersama pemimpin Non-Asean) ialah sifat lebih mengutamakan pelancong. Kerana pelancong inilah punca pendapatan negara. Selain itu, pelancong akan membawa nama baik kita di mata dunia, walaupun kita tahu mereka akan bawa nama baik negara kita setelah mereka melanggan wanita Asia di Bukit Bintang, Jalan Dolly Surabaya dan lain-lain tempat lagi.
Salah satu sebab lain, mengapa saya terkenangkan Tsunami, ialah pada waktu inilah saya dan teman-teman seperti ‘diserbu’ oleh rakan se‘Asean’. Mereka terdiri daripada gugusan pelajar dan wartawan luar Nusantara. Dan semua itu, saya kira hakikatnya adalah pertolongan Yang Maha Kuasa. Konflik antara BK – HEP pun berlalu dalam sela-sela masa itu juga. Hubungan itu masih terus erat dan mesra terjalin dalam lipatan kenangan.
Pada 26 Disember depan, maka genap dua tahun peristiwa menyayatkan hati itu berlaku. Gelombang di Acheh, turut melanggar tebing bumi Tanjung (nama asli Pulau Pinang). Beberapa hari selepas Tsunami, akhbar melaporkan kenyataan Perdana Menteri – kita tidak menyambut acara Tahun Baru seperti biasa. Sebaliknya kita sambut acara itu dengan doa dan tahlil ke atas arwah. Semua itu bagi menghormati perasaan keluarga mangsa.
Saya tidak tahu, adakah acara Tahun Baru 2007 nanti, Perdana Menteri masih teringatkan doa dan tahlil khusus buat korban Tsunami di Acheh? Tapi, yang paling mustahak adalah bagi mereka yang masih hidup – iaitu hal pendidikan dan keperluan asas anak-anak yatim Acheh. Saya tidak dengar apa-apa perbahasan di Muktamar Pakembar mengenainya.
Kita tidak tahu ke mana lesapnya sumber kewangan serta dana Pakembar yang dikatakan telah dihantar untuk membangunkan daerah Acheh itu? Ke mana hangus semua dana itu? Hal ini perlu dijawab. Apabila menyentuh soal Muktamar Pakembar, saya turut teringat satu wawancara yang saya lakukan bersama seorang pensyarah bahasa di Siasah dahulu.
Pensyarah itu berkata, beliau didatangi pimpinan Pakembar daripada Bahagian Seputeh yang meminta buah fikirannya untuk dimajukan dalam muktamar mereka tahun lalu. Dan pensyarah itu pun menunaikan tanggungjawabnya tanpa memilih bulu kepartaian lagi. Itulah sikap ahli akademik yang sangat ikhlas dengan ilmunya.
Tapi, dia rasa kecewa apabila dia mengetahui–Pakembar Seputeh telah memperkasamkan segala saranannya mengenai bahasa Melayu yang diharapkan dapat dilantunkan di dalam muktamar tahun lalu. Tahun ini bahtera muktamar tenggelam dalam lautan pidato Dato’ Mufti Shuib yang hebat. Kita harap Pakembar Seputeh dapatlah meminta bantuan orang-orang lama yang dihormati percakapannya jika mereka sendiri malu dan segan berucap lantaran risaukan survival politiknya yang mungkin tumbang ditelan zaman.
‘Masalah utama’ pendidikan anak-anak bangsa dan pendidikan kebangsaan tidak diutarakan dengan hebat dalam muktamar itu. Seolah-olahnya, sentiasa wujud usaha untuk menselatankan, membaratkan atau pun mentenggarakan isu pendidikan anak bangsa sendiri. Hal ini sangatlah mengecewakan.
Ini kerana, kita tahu bahawa medan muktamar itulah yang akan menatijahkan beberapa kebijakan rasmi yang terpakai dalam pembentukan pendidikan nasional nanti. ‘Masalah utama’ yang perlu diselesaikan ialah keputusan untuk mengembalikan semula bahasa Melayu sebagai alat pengucapan fikiran dan perkakas kepada penggalian ilmu Sains – Matematik.
Saya tidak tahu, apakah yang sedang diusahakan oleh pemimpin mahasiswa Persatuan Bahasa Melayu di seluruh universiti? Adakah mereka masih terlena setelah berembun dengan keputusan mesyuarat untuk menganjurkan pertandingan sajak dan cerpen?
Apa pula yang dibuat oleh persatuan mahasiswa lain? Adakah mereka sedang menyusun satu strategi baru untuk mengalahkan puak Gagasan atau seterunya, Aspirasi dan konco-konconya di HEP? Masalah pimpinan kebangsaan yang merogol, berzina dan bermukah dengan bahasa Melayu adalah jenayah terbesar dan perlu ditangani bersama oleh pelajar yang saling bercakaran itu. Lupakan sekejap sengketa lama.
Tahun depan, atau dua tahun depan kita akan merayakan kelahiran ‘anak-anak zina’ hasil pencabulan, perzinaan dan permukahan antara ‘petualang dan penguasa’ ke atas bahasa Melayu yang disaksikan dan dipersetujui oleh pemimpin IPT yang mandul pemikiran dan lumpuh bicara. Dosa berzina dengan bahasa Melayu ini tidak boleh didakwa di bawah Auku.
Ahli parti politik pembangkang termasuklah parti pemerintah kini telah sibuk menyusun jadual dan upacara ritual termasuk acara yang membabitkan keagamaan untuk mengisi program menjala budi memukat undi bersama rakyat jelata yang kais awal bulan, makan gaji akhir bulan, kalau tersilap kais, silap-silap diterajang tanpa notis pula.
Jadi, siapalah lagi yang mampu diharapkan untuk menghakimi petualang - penguasa yang telah bermukah secara sah dengan bahasa ibu pertiwi ini? Sudah tentulah golongan siswa dan mereka yang terkait dengan institusi pengajian rendah dan ‘industri’ pengajian tinggi.
Pimpinan tertinggi Pakembar pula kelihatan tidak handal memutar naluri rakyat. Jika dia bijak, tentu dia kembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sebagai strategi menyerang balas bekas Perdana Menteri. Sudah tentu ini taktik yang tak ikhlas dalam berpolitik, kerana dia berjaya memungut simpati rakyat dalam isu bahasa.
Dia mesti mewujudkan satu dialog suara-suara dalam parkepi (parlimen kedai kopi) yang berkata lebih kurang begini, “He, lihatlah Pak Lah itu. Walaupun teruk diserang Mahathir atas isu jambatan bengkok tapi ada juga jasanya. Iaitu dia berjaya mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa dalam pengajaran Sains & Matematik yang digubal Mahathir.
“Jadi, kita kenalah sokong dia balik kalau macam ni.” Dalam makna lain, Abdullah perlu berikhtiar menaikkan semula imejnya.
Perdana Menteri perlu meletakkan naluri orang Melayu dalam keadaan serba-salah untuk membuangnya atau tidak seperti yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri sebelum ini. Orang-ramai berasa serba salah untuk membuang Dr. M kerana ada benda baik dan buruk di atas rekod pentadbirannya selama 22 tahun.
Jika hal yang buruk daripada Dr. M dikekalkan, yang baik daripada Dr. M dipinggirkan, ditambah pula dengan keburukan Abdullah seperti yang wujud kini, maka dia tentu tidak lama dalam sistem pemerintahan Pakembar ini. Tapi, sehingga tulisan ini dirakam, masih belum berkembang bunga-bunga fikiran yang berkelopak tunasnya menuju saranan ini.
Semua pihak mungkin boleh menelan tafsiran ini, iaitu mereka menyatakan Abdullah dan rakan-rakan usrahnya di Tingkat 4, tidak ikhlas di dalam isu bahasa jika mereka bersetuju mengubah dasar bahasa itu di seluruh peringkat, cabangan, juzuk dan sendi pendidikan.
Tetapi, ketidakikhlasan itu masih boleh dimaafkan. Ini kerana, kebaikannya akan berbalik semula kepada umat seluruhnya. Nurul Asyiqin tersenyum riang gembira apabila gurunya Haiza dapat menyampaikan inti pengajaran Sains - Matematik dalam bahasa yang mereka fahami. Kadir tidak lagi malu ditertawakan pelajar-pelajarrnya dalam kalangan keluarga berada yang lebih baik penguasaan bahasa Inggeris mereka.
* * *
Oh! Barulah saya faham jalan ceritanya, ada seorang pemuda (hero) bernama Yudha. Dia telah meninggalkan Rena; anaknya sendiri di Rumah Matahari, rumah anak yatim. Dan, filem itu berjudul Untuk Rena. Saya temui judulnya di akhir filem tersebut.
Antara yang menarik perhatian saya dalam filem itu ialah dialog yang dipertuturkan oleh seorang ahli perniagaan Jepun yang menjadi bos kepada Yudha. Di dalam perbualannya bersama Yudha, dia tetap berbahasa Melayu Indonesia. Sebaliknya, dia berbahasa Jepun apabila berbicara dengan anaknya sendiri.
Situasi ini sama juga, saat saya membuat liputan tentang Gunung Merapi mengamuk dan marah-marah, terbatuk-batuk dan kadangkala terbersin, hingga mengeluarkan lendir lahar kahaknya di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) beberapa bulan lalu.
Kumpulan paramedik kami pernah berkunjungan ke sebuah gedung besar yang menjual tenda (khemah) di ibu kota. Pemilik gedung itu berbangsa Tionghua. Entah bagaimana, terkeluar loghat Jawa. Jamuliddin, salah seorang anggota paramedik daripada Yayasan Amal Pas yang bertimba-timba darah Jawa dalam jiwanya itu melompat gembira.
Cuba bayangkan bagaimana seorang Tionghua boleh mahir berbahasa Jawa? Sudah pasti dia juga mahir berbahasa Melayu. Jadi, jangan terperanjat apabila melihat Jepang (Jepun) dalam filem Untuk Rena tadi boleh berbicara dalam bahasa Melayu Indonesia yang masih tebal dengan telor kejepunannya.
Kalau tidak silap congakan saya, dalam beberapa masa lagi, Metrowealth akan terbitkan filem Tentang Bulan yang lebih kurang sama caranya iaitu dengan membawakan pelakon anak-anak. Cuma, saya tak pasti adakah ceritanya lebih kurang sama dengan filem tadi?
Cuma, kita harapkan janganlah ditunjukkan anak-anak itu dan keluarga mereka berbahasa dalam bahasa bukan ibunda seperti Sepet dan filem yang sama waktu dengannya. Apabila heroin dalam filem Sepet itu berkata, dia berasa bodoh jika berbual dalam bahasa Melayu saat dia mendapat anugerah sebagai pelakon terbaik, secara peribadi, saya tidaklah dapat menghumbankan terus kesalahan itu ke atas bahunya.
Saya terbayangkan jikalau saya berada dalam situasinya. Skrip-skrip itu saya hafal setiap saat. Ketika mandi, saya mengadap cermin dan berlakon mememekkan wajah saya dalam tandas hingga beberapa jam. Kemudian, dalam bilik saya menghafal lagi serta saya hayati watak itu berulangkali dalam bahasa Inggeris, tentu perjalanan hidup seperti itu memaksa saya menjadi seperti pelakon itu juga.
Barangkali, ketika di lokasi penggambaran, saya turut dimarahi kerana terlupakan dialog dalam bahasa Inggeris, lalu saya dimarahi director, “Stupid, you don’t speak like Malay okay? If you need to speak Malay also, you can speak it a little-little okay!?”
Dan, entah berapa bakul makian, nistaan yang berjebah, lalu menyinggah ke kepala saya pada waktu itu tidak terhitung lagi oleh saya. Akibatnya, saya akan terasa bodoh jika saya terbawa-bawa bercakap Melayu hatta berada di luar lokasi penggambaran sekalipun.
Badi kemarahan pengarah akan menghantui, lalu terbawa-bawa dalam setiap inci ingatan saya seperti badi mayat hulubalang mati beragan yang mengikut penggali kubur sehingga ke rumahnya. Tentulah menelan masa yang panjang untuk kebah daripada badi itu.
Mungkin, badi kemarahan director itu akan terus mengekori dan menghimpit saya hingga ke pentas sekali pun walaupun anugerah itu telah selamat berada dalam genggaman saya. Mungkin dua tiga bulan kemudian barulah badi kemarahan director mula letih mengekori dan dia pulang semula kepada tuan pemiliknya yang asal.
Kalau anda masih tidak percaya, bahawa badi yang melekat pada tubuh pelakon itu sudah lari, silahkan menonton program televisyen; Latido (TV9) sekitar jam 12 malam sebelum saluran itu dikhatamkan dengan lagu kebangsaan. Di situ, anda dapat melihat pelakon berdarah Arab itu tersenyum gembira setelah dia kebah daripada badi hantu Inggeris yang lama bergentayangan di lokasi penggambaran.
Lihatlah dia kelihatan tenang di samping kakaknya tatkala mengacarakan Latido di dalam BAHASA MELAYU!!! Atau, jika anda tidak percaya lagi, cubalah hitung berapa peratus dialog bahasa Inggeris yang digunakan dalam setiap ucapan pengacara Latido tersebut di dalam filem Cinta di pawagam dalam tempoh tayangan yang terdekat ini.
### TAMAT ###
4 Zulkaedah 1427 @ 25 November 2006,
3:47 pagi, Sekolah Pemikiran Kg. Baru.
2 comments:
Ni...apa nama...paper kita apa macam?
oh, cik pyan... apa khabar? paper kita Siasah ok je. Lay out ok ke?
Appaa gi, jom minummm ... sat gi tak dan nak tengok Inneke pulak!
Post a Comment