Mon | Jan 05, 09 | 5:33:28 am MYT
Perjalanan kami adalah kembara rohani dan kelana akliah. Petang 9 Disember, bandaraya Phnom Penh sedang mendaratkan ketibaan rombongan ketiga daripada Malaysia. Mereka adalah kumpulan anak-anak muda daripada UKM dan kumpulan nasyid Devotees.
Saya, Faizul dan Encik Allan mengambil suatu ruang yang agak sunyi sambil menantikan ketibaan pesawat yang kerap tertunda di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh itu.
Angin petang yang berhembus petang itu membawa langkah kami ke sebuah warung yang menawarkan Western Food yang mahal, tapi menyelerakan.
Bualan petang itu sarat terisi dengan kisah-kisah pengalaman lalu mereka di Xian, China. Faizul dan Encik Allan, seorang pengarah dan seorang penerbit di Astro Oasis untuk rancangan Rasa Halal Orient berjaya mencuit perhatian saya terhadap beberapa perkara.
Ia mengenai Raja Qin, juga dikenali sebagai Shih Huang Ti yang telah menyatukan China yang asalnya terhitung sebagai kaum-kaum yang berpecah-belah sebelum itu.
"Raja Qin ini mahu membina tentera dan dia mahu memerintah selepas kematiannya," itu yang disebutkan Faizul. Saya mungkin tersilap banyak fakta. Tapi, tiada masalahnya bagi sesiapa pun untuk mencuba menelah, menyusun andaian, menelaah sejarah yang lalu.
"Ini agaknya, raja yang diriwayatkan kisahnya dalam filem lakonan Jet Li; The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor?" pintas saya semula.
"Ya betul.." kata pengarah dokumentari muda itu. Usianya sekitar pertengahan 30-an.
Saya terdiam lalu memikirkan sesuatu. Dari mana Raja Qin mendapat tahu bahawa akan wujudnya hari kebangkitan, kehidupan selepas mati di mana dia akan hidup semula?
Adakah dia terpaut dengan ajaran falsafah atau memang dalam faham nenek moyangnya, telah ada kepercayaan sebegitu? Dalam filem itu telah ditunjukkan bagaimana Raja Qin bangkit semula lalu bersama para tentera Terracotta yang dipimpinnya, dia pun membuat kacau-bilau semula di dunia moden hari ini.
Ada juga kita dengar satu ungkapan (atau mungkin hadis) berbunyi, 'Tuntutlah ilmu hatta ke negeri China.' Walaupun ada kalangan ulama' mendebatkan kesahihan hadis ini, tetapi adakah kerana hal ini, maka Laluan Sutera terbuka merentang dari Istanbul ke Xian?
"Dialah yang telah menghapuskan semua kitab-kitab lama ini dan mewujudkan Mandarin sebagai bahasa untuk menyatukan semua kaum Cina di bawah kekuasaannya. Jadi, semua orang akan menyatu di bawah bumbung bahasa," kata Encik Allan.
Suku kaum atau 'Bani' Qin
Qin Shi Huang adalah Maharaja Dinasti 'Bani' Qin yang pertama setelah baginda berjaya menyerang, memerangi dan menggempur sekalian puak untuk tunduk menyatu di bawah kekuasaannya. Menurut catatan, kekuasaan baginda bermula seawal 221 sehinggalah 210 sebelum Masihi.
Qin Shi Huang adalah Maharaja Dinasti 'Bani' Qin yang pertama setelah baginda berjaya menyerang, memerangi dan menggempur sekalian puak untuk tunduk menyatu di bawah kekuasaannya. Menurut catatan, kekuasaan baginda bermula seawal 221 sehinggalah 210 sebelum Masihi.
Setelah menyatukan China, beliau membina Tembok Besar China. Juga dibinanya sebuah makam kota yang dijaga patung-patung Tentera Terracotta bersaiz manusia. Melihatkan semua ini, kita barangkali terfikir, apakah yang sebenarnya ingin dicapai Raja Qin?
Laluan Sutera itu yang berpenghujung di Xian itu sendiri menyebabkan kita semua berasa terpanggil berfikir; bahawa hubungan Islam dan Tamadun China itu sangat rapi dan rapat sekali. Ertinya, Islam telah mara untuk menjalin hubungan dengan dunia Timur melalui dinasti kemaharajaan yang agung itu.
Sementara itu, Selat Bosporus yang berhampiran Turki adalah selat yang memisahkan di antara Benua Eropah dan Benua Asia. Kita tahu bahawa Benua Eropah itu adalah warisan daripada Tamadun Rom. Mungkinkah berlaku pertembungan yang istimewa antara Rom dan China pada suatu ketika dahulu?
Dan, hal inilah yang saya utarakan kepada Encik Allan. "Ada dokumentari yang sebutkan hubungan hal ini, tetapi hubungan itu mungkin terjalin dalam bentuk ketenteraan."
Mereka mendengar penuh minat. Suasana hiruk-pikuk di lapangan terbang lewat petang itu tak pernah menghentikan bualan kami. Penantian itu suatu penyeksaan. Sementara menunggu orang yang tidak kunjung tiba, kami bertukar-tukar pandangan.
Tentera Rom dan China pernah bersatu?
Menurut dokumentari itu, hubungan antara Rom serta China itu mungkin terjalin dalam bentuk ketenteraan. Andaian yang terbit dalam dokumentari itu ialah, ada kemungkinan Gladiators itu sebenarnya melibatkan tentera Rom dan pasukan tentera China.
Menurut dokumentari itu, hubungan antara Rom serta China itu mungkin terjalin dalam bentuk ketenteraan. Andaian yang terbit dalam dokumentari itu ialah, ada kemungkinan Gladiators itu sebenarnya melibatkan tentera Rom dan pasukan tentera China.
Ini kerana, ada satu puak di Cina yang meraikan satu hari di mana mereka berpakaian ala tentera Rom. Namun, menurut dokumentari tersebut, pakar genetik setakat ini belum lagi dapat mengesahkan persamaan genetik kaum itu dengan genetik bangsa Eropah.
"Pernah dengar Hikayat Merong Mahawangsa?" saya bertanya rakan teman perbincangan itu. Mereka pernah mendengar, cuma kami sendiri tidak mendalami isi butirannya.
"Ada disebutkan juga cerita perkahwinan Putera Rom dan Puteri China," kata saya. "Dan perkahwinan mereka cuba digagalkan oleh burung garuda." Walaupun, hal seperti ini ada unsur dongeng, namun saya cuba meneliti dari sudut hubungan Rom dan China daripada sudut perkahwinan kedua-dua mempelai tersebut.
Bagaimanakah pengarang hikayat tersebut boleh bercerita mengenai hal perkahwinan itu dan daripada manakah beliau mendapat maklumat tersebut? Jadi, hubungan Rom, China ini diperihalkan dalam bentuk kewujudan suatu puak di Cina yang mengaku diri mereka punya pertalian darah dengan tentera Rom.
Keduanya, Hikayat Merong Mahawangsa juga membawa kisah hal sedemikian. Saya pun terus berteori dan menyusun andaian sendiri.. Jika ada hubungan Rom, China yang selalu diganggu serangan liar, ada kemungkinankah wujud gabungan ketenteraan antara kedua-dua tamadun itu seperti Nato dan lain-lain pakatan ketenteraan misalnya pada era ini?
Ada kemungkinankah wujud seperti perjanjian persefahaman antara Gladiator dan tentera warisan Terracotta itu? Ini cuma andaian yang mungkin salah juga. Tapi kita tak bersalah untuk membuat telahan dan andaian awal demi membangunkan ilmu.
Mengenangkan semua ini, menyebabkan akal terus berputar sebagai radar untuk mencari kebenaran yang tiada penghujungnya. Itu tidak termasuk lagi cerita tentang Melayu yang membawa masuk ajaran Buddha ke China, kisah bangsa Dayar dan Banjar yang berasal daripada titisan darah Monggolia.
Mutakhir ini, peranan warga Monggolia tidak kalah pentingnya di dalam ketenteraan kita, sehinga dikorbankan oleh letupan bom C4 dalam urusan jual-beli kapal selam kita.
Jejak sejarah yang hilang
"Di Xian dan beberapa tempat," kata En. Allan, "wajah penduduk di situ sudah tidak lagi seperti kaum China kerana mereka ada darah campuran Arab."
"Di Xian dan beberapa tempat," kata En. Allan, "wajah penduduk di situ sudah tidak lagi seperti kaum China kerana mereka ada darah campuran Arab."
Kami mengangguk setuju. Semua ini kesan daripada perkahwinan campur dengan warga tempatan. Banyak sungguh ilmu, catatan dan sumber pengetahuan yang hilang untuk kita kesan semula jejaknya. Tapi, ini memerlukan ketekunan, wang dan minat mendalam.
Baghdad pernah dilanggar Monggolia dan akibatnya, beberapa gedung pustaka hangus, rentung terbakar. Kita pernah mendengar segala naskhah khazanah pengetahuan Melayu yang terbakar di atas kapal penjajah dalam perjalanan mereka mahu membawa khazanah itu ke negara mereka. Ini suatu kerugian.
Raja Qin juga turut mengharamkan ajaran falsafah agar rakyatnya tidak berpecah-belah kepada beberapa aliran. Dia mengebumikan ramai pengikut ajaran itu hidup-hidup, lalu membakar semua buku ajaran lainnya.
Walhal, antara catatan yang boleh dirujuk untuk mengkaji Melayu ini boleh kita temukan catatannya dalam lembaran gedung pustaka tamadun China juga.
Dan bualan petang bersulam angin dingin, nyaman dan menyegarkan itu akhirnya mati dibunuh senja tatkala kumpulan nasyid yang ditunggu-tunggu telah tiba. Malam nanti, kami akan terus berkelana, masing-masing menyambung tugasan yang tersendiri.
Saya pulang dari lapangan terbang petang itu dengan perasaan puas. Ilmu Allah sangatlah luas. Makin diteroka, makin kita dapat membangunkan kekerdilan diri kepadaNya!
5:14 a.m, 5 Januari
Sekolah Pemikiran Pendang
Sekolah Pemikiran Pendang
3 comments:
Salam,
Mungkin laman blog ini berguna kepada saudara: http://sejarahnagarakedah.blogspot.com
terima kasih... dan salam kenal..
info yg menarik. terima kasih sudi berkongsi ilmu.
Post a Comment