Tuesday, August 17, 2010

Adakah kebebasan akhbar boleh diselamatkan oleh mahkamah?

Oleh H FANSURI

Ketika kali terakhir Kane, seorang taikun media menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat menyebutkan 'Rosebud'. Perkataan itu mengundang teka-teki dan misteri yang berterusan dalam kalangan wartawan.
Charles Foster Kane (filem Citizen Kane, 1941), asalnya adalah seorang budak lelaki miskin, tapi akhirnya dengan peninggalan harta ibunya yang kaya, beliau telah menapak ke puncak kemasyhuran tanpa disangka sesiapa.

"Apa yang akan kamu lakukan dengan wang peninggalan ibu anda yang banyak itu?" rakan-rakannya bertanya.

"Saya akan membuka sebuah akhbar," balas beliau. Pendapat beliau itu tidak disukai rakan-rakannya. Tiadalah yang yakin bahawa akhbar akan membawa keuntungan yang banyak, ditambah dengan risiko yang pelbagai. Tapi, tidak hanya akhbar, Kane rupa-rupanya membuka jaringan empayar radio di Amerika.

Oleh kerana kemasyhurannya itu, Kane akhirnya berkahwin dengan anak saudara Presiden Amerika. Tetapi nama besarnya mula jatuh merudum apabila beliau ingin 'menceroboh' ke dalam gerbang politik kepartian.

Selain isterinya, Kane mempunyai seorang perempuan simpanan. Sebenarnya, hal itu bukan suatu masalah besar bagi Kane, kerana masyarakat Barat tidak mempedulikan gaya hidup bebas seperti itu.

Masalahnya, selain kedudukan Kane sebagai kapitalis, beliau juga bernafsu besar mahu menceburi lapangan politik kepartian. Dalam lapangan inilah, Kane bertembung dengan seteru-seteru politiknya.

Maka, Kane dijatuhkan dalam lapangan politik dengan menjadikan perempuan simpanan sebagai isunya. Kali ini, Kane tidak dapat lagi memperbaiki imej dan reputasinya. Beliau terjerat.

Sehebat-hebat Kane sebagai taikun media yang memiliki jaringan akhbar dan empayar radio, namun imej beliau akhirnya rebah di tangan dosa-dosanya sendiri.

MEDIA DAN POLITIKUS PERLU DIASINGKAN

Filem itu menghebahkan kepada kita suatu perkara, iaitu Kane sebetulnya selamat kalau beliau terus masuk berkecimpung dalam bidang media dan tidak berhajat apa pun kepada politik kepartian.

Sebenarnya, jikalau Kane tidak memiliki perempuan simpanan sekali pun, beliau tidak perlu memasuki politik kerana pengamal media itu dikhuatiri akan menggunakan media yang dikuasainya untuk keperluan meluaskan propaganda politiknya.

Demikian juga, ahli politik tidak boleh mencampuri atau mempengaruhi urusan bagaimana akhbar serta media itu mahu menentukan agenda dan berita pada akhirnya.

Sebab itulah, akhbar dan media itu seringkali disebut sebagai the 'fourth estate' atau kuasa keempat, selain kuasa kehakiman (judiciary), kuasa pemerintahan (kerajaan eksekutif), dan kuasa perundangan di parlimen (legislatif).

Konsep ini diperkenalkan dengan tujuan mewujudkan semak dan seimbang dalam kehidupan bernegara. Contohnya, jika eksekutif itu (kerajaan dan eksekutif) bertindak liar, maka peranan mahkamahlah untuk menjadi saingan kepada kuasa kerajaan itu.

Hal-hal ini mungkin mudah difahami kalau kita memahami Teori Pengasingan Kuasa. Dalam sengeketa antara Kane (media) dan kalangan politikus Amerika (eksekutif), akhirnya media direbahkan oleh sikap liar politikus di negara itu sendiri.

Kekayaan Kane itu pun tidak menjamin bahawa dia menang. Kane sepatutnya terus mengambil fungsi dan peranannya sebagai orang media yang berjuang setiap masa untuk mendedahkan kesalahan orang-orang yang tidak jujur di dunia politik.

Tetapi, di Amerika ada suatu perkembangan menarik kerana media-media yang ingin menjadi pemantau itu, akan dilindungi oleh salah satu kuasa daripada ketiga-tiga kuasa tadi, iaitu kuasa kehakiman.

Menoleh kepada realiti dalam negara hari ini, agak sulit dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) melalui kuasa legislatif (Parlimen). Ini kerana, suara ahli parlimen Pakatan Rakyat belum lagi mencapai suara majoriti 2/3 daripada suara-suara ahli parlimen.

Maka, suatu pertanyaan yang wajar diapungkan di sini ialah, apakah ada kemungkinan mahkamah kita boleh bertindak seperti mana kedudukan mahkamah Amerika yang menyelamatkan akhbar di negara itu?

Selain itu, adakah suara ketiga dalam kalangan rakyat kita boleh melobi ahli parlimen masing-masing? Iaitu, dengan memanggil mereka daripada semasa ke semasa, menyeru kepada dialog perbahasan dan berterusan membuat tekanan dan desakan demi menanggalkan akta ini di parlimen?

Apakah hakim-hakim juga boleh diajak berunding bicara bersama untuk sama-sama memikirkan ruang untuk menyelamatkan nasib-nasib akhbar yang berterusan ditindas akta tersebut?

Apa pun yang berlaku, Kane sang taikun media boleh hadir dalam watak apa sahaja. Dia boleh menjadi seperti Umno yang kaya dan bermodalkan kekayaan itulah dia cuba membeli media. Atau, dia boleh menjadi taikun media yang akhirnya cuba membeli politikus atau cuba menceburi dunia politik, tetapi akhirnya mereka rebah.

Ternyata, politik dan kekuasaan mesti dipisahkan daripada akhbar dan media. Pendek kata kedua-keduanya tidak boleh disatukan.

No comments: