Saturday, August 21, 2010

Yusuf Rawa penegak kepada asas pemansuhan AMCP?

Oleh H FANSURI

Sulit dipastikan dengan tepat bilakah kejadian itu berlaku, tapi ceramah mantan Mursyidul Am PAS itu, tetap kekal di dalam ingatan. Sekali peristiwa, Almarhum Haji Yusuf Rawa pernah berceramah tentang Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) secara tidak langsung.

Mungkin, era itu juga adalah zaman yang penuh dengan huru-hara ketika kerajaan asyik menimbulkan isu mengenai tauliah mengajar. Maka, hal itu menjadi polemik yang berterusan di dalam PAS.

Mana-mana ustaz-ustaz PAS yang mahu mengadakan ceramah politik, maka mereka dipersoalkan hal tauliah mereka, persis seperti yang terjadi mutakhir ini ketika ada agamawan dikatakan wahabi salafi (mereka mengakui sebagai pengamal sunnah) mahu mengajar, maka isu tauliah pun dibangkitkan juga.

Kembali kepada ceramah politik Haji Yusuf Rawa tersebut, maka ada satu nas Al-Quran yang langsung dipetik dari ceramah beliau itu. Ia tentang kisah ahli-ahli sihir Fir'aun yang mula beriman kepada Allah.

Ada kebijaksanaan di sini ketika Haji Yusuf Rawa menceramahkan dalil-dalil yang dipetik daripada nas al-Qur'an berhubung sengketa Musa – Fir'aun – ahli sihir itu lalu dipertalikan hubungannya dengan hal tauliah dan keizinan berceramah dan permit penerbitan akhbar hari ini.

Kisah Musa melawan ahli-ahli sihir Fir'aun

Kisah yang disebutkan oleh Yusuf Rawa ini berhubung dengan perkataan terawal Nabi Musa a.s ketika baginda menyeru Fir'aun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

“Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu kepada Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepadau dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhanmu. Oleh itu, bebaskan Bani Israil menyertai aku.” – (al-A'raaf: 105)

Seruan pembebasan Bani Israel daripada perhambaan ini tiba bersama pakej faham Tauhid, penegasan kepada faham monotheisme, satu Tuhan sekali gus mencabar 'ketuhanan' Fir'aun selama ini.

Maka, disebabkan itulah Fir'aun terus mencabar kewibawaan Musa a.s ini. Katanya, sebagaimana yang difirmankan oleh Tuhan;-

Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar.” (Al-A'raaf: 106)

Seketika itu juga, Nabi Musa mencampakkan tongkatnya, dan tongkatnya itu menjadi seekor ular. Juga, tangan baginda yang putih bersinar, lalu baginda ditohmah sebagai ahli sihir.

Kata Yusuf Rawa, ekoran itu permainan 'sihir' Musa ini mahu dilagakan kekuatan dan kemahirannya dengan ahli sihir tajaan Fir'aun. Ahli sihir ini juga diupah oleh Fir'aun.

Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan dapat upah, kalau kami dapat mengalahkannya?” Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku).” (Al-A'raaf: 113 – 114)

Maka, terjadilah sengketa dan cabar-mencabar antara 'bala tentera' Fir'aun dalam kalangan ahli sihir itu dengan mukjizat Nabi Musa a.s. Peraduan dan sayembara antara ahli sihir dengan Musa a.s ini asalnya merupakan usul-usul dan cadangan yang timbul dalam mesyuarat para pembesar Fir'aun sebelum ini.

Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?” Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan. Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.” (Al-A'raaf: 115 – 119)

Dalam babak pertarungan itulah, Haji Yusuf Rawa menyebutkan perihal ahli-ahli sihir yang tunduk dan akhirnya beriman kepada Allah s.w.t; Tuhan Nabi Musa dan Harun.

“Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam. (Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku MEMBERI IZIN kepada kamu Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya).” (Al-A'raaf: 120 – 123)

Perhatikan juga bagaimana bijaknya Haji Yusuf Rawa mempertalikan ungkapan yang disebutkan oleh Fir'aun ini...

“Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu...”

Ucapan Fir'aun kepada ahli-ahli sihir yang telah beriman kepada Allah yang seolah-olah mewajibkan mereka meminta keizinan kepadanya sebelum beriman itu telah dilambangkan oleh Haji Yusuf Rawa sebagai 'asas' awal kepada kezaliman Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) hari ini.

Pandangan Yusuf Rawa berhubung AMCP

Mungkin pendapat beliau tidak disuarakan dengan begitu jelas tentang AMCP ini, tapi setidak-tidaknya memberikan gambaran kepada kita bahawa sosok ini pernah melontarkan pendapat yang jitu berhubung AMCP dengan mempertalikan falsafahnya kepada kisah larangan beriman ahli-ahli sihir kepada Allah.

Penggunaan perkataan Fir'aun, “Apakah kamu semua (ahli-ahli sihir) akan beriman sebelum mendapat KEIZINAN daripadaku?” itu dipertalikan oleh Yusuf Rawa dengan bijak dan kemasnya kepada isu hak mendapatkan keizinan permit penerbitan bahan-bahan percetakan PAS pada saat itu.

No comments: