Monday, August 09, 2010

Kenapa Ibrahim Abu Shah baca surat siswa yang tidak matang?

Oleh H FANSURI

Pada akhir debat antara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah bersama bekas Naib Canselor UiTM Shah Alam Tan Sri Ibrahim Abu Shah, sepucuk surat seorang pemimpin mahasiswa telah dibaca.
"Biarlah kami terus belajar dan jangan diganggu dengan parti politik," demikian lebih kurang bunyi isi petikan surat tersebut yang tersiar di sebuah akhbar arus perdana. Ibrahim membaca isi surat itu kononnya itulah pengharapan sebenar mahasiswa satu Malaysia.

Lalu, isi surat yang dibacakan itu disanggah oleh Saifuddin dengan berkata, "Hal itu mengingatkan saya mengenai cadangan agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) tidak dipinda, tapi akhirnya ia dipinda juga."

Saya boleh ketawa sendirian apabila babak terakhir itu terjadi di depan mata. Pertama, ketawa oleh kerana sinisnya Saifuddin ke atas sikap Ibrahim yang tergamak membaca surat mahasiswa yang beliau sifatkan tidak matang secara umum itu.

Namun, sebenarnya ketawa itu lebih kuat menjurus kepada kecelaruan Ibrahim ke atas fikiran dan kata-katanya sendiri sebelum ini. Misalnya, Ibrahim tidak mahu mahasiswa berpolitik kepartian kerana mereka belum matang lagi.

Ya, sekali lagi jika pelajar itu belum matang, kenapakah dengan tiba-tiba tergamak Ibrahim membacakan surat yang belum matang itu? Adakah Ibrahim ingin beritahu satu dunia bahawa kenyataan siswa itu tiba-tiba sudah matang kembali apabila beliau tidak mahu menceburi politik?

Kalau mahasiswa yang menulis surat itu belum matang, kenapa Ibrahim tergamak menyifatkan kenyataan mahasiswa belum matang itu sebagai suatu 'wahyu' dan mengangkat kenyataan itu sebagai tanda bahawa, itulah yang sebenarnya yang diinginkan oleh pelajar kita (yang belum matang) di seluruh Malaysia?

Sama ada Ibrahim tidak tahu atau berpura-pura tidak tahu dengan cara mahasiswa Aspirasi berfikir sebelum ini. Ibrahim tentu tahu bahawa pasukan HEP akan menaikkan mahasiswa yang sealiran dengan kehendak mereka.

Jadi, 'tugas' Aspirasi sekarang ialah melihat terlebih dahulu cara dan gaya berfikir HEP terlebih dahulu sebelum menteri atau timbalan menteri. HEP menjadi keutamaan Aspirasi dan bukanlah menteri kerana HEP yang mengangkat mereka sebelum ini.

Atau, kalau berlaku pertembungan antara menteri atau timbalan menteri, kepada siapakah Aspirasi akan memihak? Sudah tentulah kepada menteri yang berkuasa dan bukan kepada timbalan menteri yang tiada apa-apa kuasa.

Kalau kebetulan Khaled Nordin, menteri pengajian tinggi sendiri yang mahukan pelajar berpolitik kepartian, maka masalah akan selesai. Siapa yang berani melawan kenyataan menteri? Maka, tindakan memihak di sini ialah disebabkan kuasa berada di pihak yang mana? Bukan lagi kebenaran berpihak kepada yang mana.

KONGRES MAHASISWA PERLU WUJUD UNTUK KUMPULKAN PENDAPAT

Apabila kita mahu membawa suatu buah fikiran yang benar-benar besar seperti kepemimpinan atau keterlibatan mahasiswa di dalam politik kepartian, maka kita tidak boleh bersendirian memberikan buah fikiran kita.

Adalah suatu langkah yang tidak wajar apabila kita menyatakan bahawa pendirian kita itu mewakili pandangan semua orang. Misalnya jika kita sebagai pemimpin mahasiswa menyatakan bahawa mahasiswa tidak perlu berpolitik secara kepartian, maka adalah tidak adil untuk dinyatakan bahawa pendirian kita itu sebagai mewakili pendirian puluhan ribu mahasiswa di kampus kita.

Al-Quran meminta kita merumuskan pendirian setelah kita bermesyuarat sesama ahli warga masyarakat. Maka, dalam konteks siswa, hal yang sedimikian sangatlah diperlukan. Wa amruhum syura bainahum - dan perintahkanlah bermesyuarat sesama mereka.

Kita dapat melihat bagaimana pentingnya amalan bermesyuarat ini sehinggakan Ratu Balqis yang bukan pengikut ajaran Tauhid itu pun bermesyuarat ketika mahu membuat keputusan berhubung sebuah surat yang dikirim oleh Raja Sulaiman a.s.

Dalam amalan berpolitik, maka setiap keputusan itu memerlukan pertemuan di meja rundingan. Membuat keputusan secara peribadi itu adalah melambangkan ciri-ciri seorang diktator; mengenepikan pandangan orang lain, menganggap pandangan dirinya sahaja yang benar sekali gus tertolaklah pandangan yang lain.

Demokrasi ala Amerika demikianlah juga. Kononnya, negara polis itu jaguh demokrasi, tapi sebaliknya dengan kedudukannya dalam Majlis Keselamatan PBB, dengan kuasa veto yang dimiliki, maka tertolaklah segala keputusan sebulat suara yang sudah pun dicapai oleh negara-negara yang lain.

Bangsa kita masih perlu belajar makna demokrasi, negara kita mesti terus belajar untuk tidak menghakimi sesuatu melainkan setelah dilaksanakan rundingan demi rundingan, perbincangan demi perbincangan dan amalan mesyuarat membentuk muafakat kata itu sangat perlu. Rakyat mesti terus diajak agar selalu mendebatkan setiap perkara yang mereka kelirukan selama ini.

Oleh yang demikian, sebuah kongres mahasiswa perlu diwujudkan segera bagi membincangkan keperluan dan kewajaran untuk merumuskan pendirian baharu, sama ada mahasiswa hari ini wajar atau tidak untuk berpolitik. Dapatkan pungutan suara, buatlah bancian, lakukan undian secara maya (online).

Dalam pertemuan di kongres itu, rincikanlah setiap perkara mengenai bagaimana mahu membentuk muafakat antara semua pihak. Belajarlah berpolitik secara bijak dengan mengambilkira pandangan semua agar tidak dijenamakan sebagai pemimpin diktator yang wujud bagai bidalan Melayu, 'Beraja di mata bersultan di hati...'

No comments: