Thursday, August 12, 2010

Sudut Pidato, tempat cerap pendapat tentang politik kepartian mahasiswa

Oleh H FANSURI

Cadangan untuk menjadikan mahasiswa itu bebas berpolitik secara kepartian itu ternyata bukan mudah apabila pemimpin mahasiswa sendiri (tentunya Aspirasi) yang tidak mahu berpolitik secara kepartian.
Oleh itu, polemik ini masih akan terus berlanjutan sehingga ke suatu tempoh yang tidak kita tahu bila ia akan tamat. Sebagai termaklum, sudah wujud pendapat dalam aliran perdana yang meminta agar siswa itu tidak berpolitik secara kepartian.

Hal itu termuat dalam surat pembaca di sebuah akhbar perdana. Tetapi ia masih belum cukup untuk kita gambarkan sebagai hajat seluruh cita-cita mahasiswa.

Hanya kerana pendapat yang termuat di dalam sepucuk surat seorang pemimpin mahasiswa, itu tidak boleh dijadikan sebagai asas untuk menyatakan bahawa semua mahasiswa berpandangan sedemikian.

KISAH BANTAHAN PPSMI DI USM

Ketika dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mahu diperkenalkan, seorang pemimpin mahasiswa telah menulis sepucuk surat berhubung bantahan ke atas dasar itu di sebuah akhbar.

Lalu beliau dipanggil oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar BHEPP berhubung isi kandungan suratnya itu yang tersiar di sebuah akhbar.

Dalam perbincangan antara mereka berdua, TNC mengeluarkan hujah bahawa pendapat siswa itu tidak mewakili pendirian keseluruhan mahasiswa USM yang berjumlah kira-kira 20,000 orang itu.

Ertinya, TNC itu (penyokong kuat Umno) telah mengguna hujah bahawa pendirian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang termuat atas nama Presiden MPP itu ketika membantah PPSMI bukanlah mewakili pandangan kebanyakan mahasiswa.

Saya kurang pasti apakah hujah balas pelajar itu. Dia pun sebenarnya menceritakan hal ini tidak dengan maksud ingin menceritakan kesudahan perlawanan hujah itu.

Sebaliknya bualan kami terarah kepada sikap TNC itu yang suka marah-marah kepada mahasiswa yang tidak sealiran pandangan dengannya dan tidak sehaluan dengan pendirian Umno ketika itu.

Kalau saya berada di tempat beliau, berkemungkinan saya akan mencabar TNC itu semula supaya kita adakah pungutan suara untuk mendapatkan pendapat mahasiswa secara keseluruhan ke atas isu PPSMI itu. Pungutan suara mungkin boleh melambangkan suara sebenar kebanyakan mahasiswa.

BAGAIMANA MAHU DILAKUKAN PUNGUTAN SUARA?

Setakat hal ini ditulis, kita mengetahui bahawa sudut pidato sudah disahkan kewujudannya. Dan, harus juga kita bertanya apakah Sudut Pidato yang sudah disahkan dan dikembangkan di universiti itu boleh menjadi alat guna mengumpulkan pandangan dan perkakas untuk memungut suara kebanyakan siswa?

Sebab itu saya ingin cadangkan kepada mahasiswa supaya mereka menjadikan Sudut Pidato ini sebagai tempat untuk mereka luahkan pandangan mereka berhubung kewajaran berpolitik secara kepartian.

Akan tetapi, bersediakan Hal Ehwal Pelajar memberikan kebenaran kepada mahasiswa memungut serta mencerap suara-suara mahasiswa menerusi sudut pidato itu?

Jika Hal Ehwal Pelajar bersetuju, maka berikut adalah cara-caranya yang boleh dibahas kemudiannya.

Pertama, hendaklah diputuskan tempoh membuat pungutan suara mahasiswa di universiti-universiti itu dalam tempoh tertentu, misalnya tiga bulan sebagai contohnya.

Dalam tempoh itu, setiap mahasiswa sama ada yang mahu menyokong kewajaran mahasiswa berpolitik kepartian atau yang mahu menolaknya, boleh berkreatif dengan cara, teknik dan penyampaiannya.

Mungkin, ada yang mahu merakamkan pandangannya ketika berpidato itu di dalam YouTube sendiri.

Inilah suatu kaedah mudah agar rakan-rakan mahasiswa itu berkongsi pandangan, meneliti idea, fikiran rakan-rakannya sendiri. Biarkanlah proses debat di Sudut Pidato ini menjadi kegiatan harian mahasiswa dan kegiatan ini berlanjutan dalam tempoh dua bulan misalnya.

Sesiapa pun berhak naik ke pentas pidato dan sesiapa pun berhak memperbaiki cara berfikir dan berhak menyuluh fikiran gelap rakan-rakan mahasiswa untuk membuat kegiatan pencerahan akliah ini.

Dan, kemudian pada bulan terakhir, maka kita masih ada tempoh sebulan untuk mengumpulkan nama-nama mahasiswa yang menyokong idea ini atau pun yang menolaknya.

Golongan pensyarah dan HEP tidaklah boleh mencampuri urusan ini walau sedikit pun. Tidaklah boleh mereka katakan tidak kepada mahasiswa yang ingin berpidato di Sudut Pidato itu.

Cuma sekadar pesanan kepada mereka agar tidak terbabas daripada tajuk pidato sehingga terkeluar pula ungkapan yang menyinggung hati orang lain seperti mencela peribadi seseorang, atau pertubuhan lain.

Pihak pengawal keselamatan misalnya berhak memberi amaran jika siswa itu didapati sudah melanggar batasan pidatonya itu seperti memfitnah, mencela, mengaibkan dan merendahkan maruah orang lain.

Perjuangan untuk mengembalikan demokrasi ini sangat panjang. Cuma mereka yang sabar, berani serta jujur ikhlas sahaja yang dapat menggalas cita-cita mereka ini sehingga ke puncaknya.

No comments: