Thursday, September 16, 2010

Akibat Islamophobia, muslimah tertindas di Perancis

Susunan H FANSURI

Selepas sebulan umat Islam berpuasa bagi meraikan penurunan Al-Quran dalam Ramadan, kita dikejutkan dengan ura-ura pembakaran kitab suci umat Islam itu di Amerika. Tapi, bantahan umat Islam ke atas sikap para penganut Kristian itu masih dingin.

Barah Islamophobia di Amerika itu kini merayap ke Perancis apabila negara itu mula bertindak mengeraskan larangan ke atas kaum Muslimah di negara itu yang mahu mengenakan pakaian berniqab.

Kenza Drider, 31, ibu kepada empat orang anak itu sudah pun mengenakan niqab di khalayak umum lebih 10 tahun lalu. Dia antara ribuan muslimah yang dilahirkan di negara itu yang turut terkena tempias daripada draf undang-undang tersebut. Lebih 'malang' lagi, kebetulan pula Drider berketurunan Morocco dan Perancis menilainya sebagai keturunan pendatang asing.

Perancis adalah antara beberapa negara Eropah yang mengeraskan larangan berniqab dan berjilbab, dan sikap keras ke atas niqab mula akan berubah kepada bentuk undang-undang tidak lama lagi.

"Kenapa kembali kepada tradisi zaman pertengahan? Pada saya, pemakaian berkerudung lengkap, menutup wajah, itu seperti wanita dalam keranda," kata ahli parlimen beraliran Komunis, Andre Gerin. Beliau mempengerusikan jawatankuasa parlimen berhubung hal itu.

Selepas setahun, debat pemakaian niqab ini muncul semula menjadikan ia sebagai perbahasan utama yang mengundang ketegangan yang melibatkan persoalan 'merapatkan jurang' antara golongan kecil muslim itu terhadap rakyat Perancis.

Jawatankuasa parlimen itu juga sebelum ini telah mencadangkan supaya penutup muka dihalang penggunaannya apabila pemakainya berada di tempat awam seperti pejabat, hospital dan pengangkutan awam.

Dan walaupun kerajaan diingatkan supaya pengharaman penuh itu bukan dibuat secara perundangan, nampaknya ada rancangan untuk menjadikannya sebagai undang-undang dalam tempoh terdekat ini.

Halangan ke atas wanita berniqab itu kononnya akan menyulitkan usaha merapatkan jurang antara setiap ahli masyarakat, khasnya dalam kalangan 'muslimah pendatang' di negara berkenaan.

Tetapi, Kenza berani membantah kenyataan itu. Dia dengan tegas akan berniqab seperti biasa, sekali gus mencabar perundangan mengenai pemakaian niqab itu kelak.

Bukan menyulitkan

Kata beliau, hal pemakaian purdah dalam kalangan masyarakat pendatang ini tidaklah boleh disifatkan sebagai menyulitkan usaha merapatkan jurang antara kaum di negara itu.

"Kaum pendatang bukan tidak mahu bergaul," kata Drider. "Isu yang sebenarnya adalah negara yang tidak mahu bergaul dengan kaum pendatang itu. ada beza besar di sini."

Tambah Drider lagi, bagi wanita yang mengenakan niqab di Perancis, kebanyakannya adalah kelahiran Perancis yang kemudiannya bertukar agama kepada Islam.

"Tindakan berniqab itu pilihan mereka sendiri. Pemakaian niqab adalah kebebasan agar mereka dapat melakukan sesuatu mengikut apa yang mereka inginkan," kata beliau.

Pemakaian niqab mencabar nilai-nilai negara
Namun, kini pemakaian niqab sudah bertukar menjadi ancaman terbesar ke atas nilai-nilai Perancis yang mereka junjung selama ini.

Ahli falsafah feminis Elizabeth Badinter berkata, pemakaian niqab secara keseluruhannya bercanggah dengan tiga dasar Perancis sebagai sebuah negara.

Antara prinsip itu ialah - kebebasan, kesamaan, persaudaraan - yang boleh dilihat terpahat dan tertulis di depan setiap dewan kota di Perancis.

Badinter selanjutnya menjelaskan mengenai bagaimana niqab menyalahi ketiga-tiga falsafah negara republik berkenaan.

Dengan menutup wajah, kata beliau, seseorang itu akan melanggar pinsip 'persamaan'.

"Wanita yang menutup wajahnya berada di kedudukan lebih tinggi pada pandangan saya," kata Badinter. "Wanita berniqab dapat melihat saya, tetapi dia menolak untuk dilihat wajahnya."

Drider, seperti kebanyakan muslim lain, mempunyai pesan kepada ahli-ahli parlimen yang mahu beliau hentikan pemakaian niqab di khalayak umum.

"Ahli-ahli parlimen yang bercakap mengenai hal kebebasan, kesamaan dan persaudaraan itu sebenarnya tidak faham makna republik Perancis," katanya ketika membidas tafsiran ahli-ahli parlimen yang menolak pemakaian niqab itu.

"Kebebasan itu bermakna bebas melontarkan suara hati untuk majukan pandangan,"
katanya. "Kesamaan itu bererti tidak menghukum masyarakat pendatang dan persaudaraan itu bermaksud bantuan daripada rakyat Perancis ke atas warganegara Perancis sendiri."

Drider berkata demikian untuk meluruskan fikiran dan cara ahli-ahli parlimen itu menilai ketiga-tiga prinsip Perancis itu.

Bicaranya itu terus mangalun sebagai petanda bahawa akan lahir cabaran baharu ke atas pengertian sebenar prinsip dan amalan di Perancis itu.

Isu pemakaian niqab itu hanya lambang zahir berhubung usaha-usaha untuk mentafsirkan semula apakah makna sebenarnya, kalimat persaudaraan - kebebasan - kesamaan buat negara tersebut.

No comments: