Tuesday, September 14, 2010

'Kematian' Sosilawati dan Altantuya, imej PDRM makin merudum

Oleh H FANSURI

Ketika menulis ini, masih juga belum dapat disahkan di pihak forensik mengenai hal kematian jutawan kosmetik Sosilawati bersama tiga orang pengiring beliau itu.

Bagaimanapun, isunya di sini bukanlah soal mayat yang rentung hingga menjadi abu dan debu itu adalah Sosilawati dan rakan-rakannya atau pun tidak.

Isunya di sini ialah, keempat-empat mangsa itu dibunuh dengan kejam, mirip kejadian pembunuhan ke atas Altantuya. Bezanya ialah arwah 'Sosilawati' dan rakan-rakannya dibakar setelah dibunuh. Abunya pula dibuang ke air mengalir.

Sementara tubuh Altantuya yang malang itu diledakkan dengan bom C4. Abu si model wanita itu masih ada untuk dibawa pulang ke Mongolia.

Penjenayah mengemaskinikan maklumat

Yang didakwa terlibat dengan pembunuhan Altantuya tersebut adalah Sirrul Azhar dan Azilah Hadri, iaitu kalangan warga penguatkuasa undang-undang negara juga.

Kata pepatah, jika guru kencing berdiri maka anak murid kencing berlari. Para penjenayah di negara ini barangkali sudah belajar banyak perkara daripada pasukan polis sendiri.

Penjenayah ini baca berita dan akhbar. Mereka tahu bahawa Altantuya tidak hanya dibunuh, malah dia diledakkan dengan bom C4 di sebuah hutan. Para penjenayah ini pun mula belajar sesuatu.

Misalnya jika diletupkan dengan bom C4, mungkin bunyi yang kuat itu akan didengari oleh orang yang berada di sekitar. Walaupun, berkemungkinan besar bunyi bom C4 itu akan ditenggelami bunyi meriam buluh cucuhan anak-anak nakal di bulan Ramadhan, tapi penjenayah itu tetap tidak mahu ambil risiko.

Mungkin, letupan bom C4 itu akan lain pula kedengaran bunyinya berbanding bunyi dentuman meriam buluh itu, lalu mungkin menimbulkan syak wa sangka kalangan anak-anak muda nakal tadi. Jadi rahsia mereka akan cepat terbongkar

Lalu, keputusan pun diambil untuk tidak menggunakan bom sebaliknya bunuh dan kemudiannya bakar, manakala saki-baki abu dan debunya dibuang ke tempat air yang mengalir.

Kalau kita mahu menyiasat kes ini, kita mesti berfikir cara penjenayah itu berfikir juga.

Bukan sifat Melayu, tapi latihan PDRM membunuh Altantuya?

Selain itu ada juga desas-desus kedengaran bahawa penjenayah itu berkemungkinan berketurunan India dan sebab itulah juga keempat-empat mayat itu dibakar mengikut adat kebiasaan Hindu.

Orang-orang Melayu seperti Sirrul dan Azilah tidak terbiasa dan dibiasakan dengan membakar mayat, sebaliknya menguburkannya sahaja. Jadi, oleh kerana mereka sudah Islam dan Melayu pula, maka hal abu mayat Altantuya itu tiada mereka peduli, lalu mereka tinggalkan.

Tetapi latihan yang mereka dapati daripada dunia kepolisian, menyebabkan kedua-dua mereka berminat untuk meletupkan sahaja tubuh Altantuya itu sesuai dengan latihan yang mereka terima selama ini.

Jadi, dalam kes pembunuhan Altantuya itu, bukanlah kemelayuan yang mengundang peristiwa pilu dan sedih ke atas keluarga Mongolia itu, sebaliknya mungkin corak latihan yang mereka terima dalam polis yang menyebabkan mereka tergamak membunuh (tepatnya, meletupkan jasad) Altantuya itu.

Jadi atas nama Melayu, dan Umno itu parti Melayu yang berlambangkan keris dan Hishammuddin juga pernah julang keris dalam Perhimpunan Agung Umno, maka bunuh cara Melayu itu pasti dengan keris, ilmu santau, santet (dan ilmu hitam lain), bukan dengan C4. Mungkin Rosmah lebih maklum hal ini.

Menghukum secara Islam pula, jika sesuai dan bersabit dengan kesalahannya, maka ada yang dipotong tangannya, direjam dengan batu. Hal ini, patut kita ambil kira dalam usaha menyiasat cara berfikir para penjenayah itu. Penjenayah pun punya falsafah dalam membunuh juga.

Cara membunuh mangsa itu melambangkan identiti penjenayah, sama ada ia Muslim, Cina, India, Jawa atau Orang Asli yang membunuh dengan sumpit atau Kerinci dan lain-lain bangsa dan suku-suku kaum di negara ini.

Rakyat mesti mengemaskinikan ilmu mereka, meletakkan diri mereka ke tahap pegawai penyiasat serta pegawai forensik juga untuk menolong pasukan polis yang semakin lemah dalam pekerjaan mereka ini.

Imej PDRM perlu dipulihkan

Sama seperti Altantuya, motif pembunuhan 'Sosilawati' dan rakan-rakannya ini mungkin sekali terkait dengan perebutan harta, perkongsian wang atau hartanah. Komisen kapal selam Scorpene adalah suatu contoh yang terdekat dalam hal ini.

Apa pun yang berlaku, suatu usaha pembersihan dan penjernihan semula imej polis sedang dilakukan. Ia bermula dengan persaraan Musa Hassan daripada menjawat jawatan Ketua Polis Negara.

Memang kebetulan, pada 11 September lalu ialah tarikh persaraan Musa Hassan, juga merangkap tarikh 'Sosilawati' dan rakan kerja beliau yang baru disahkan menemui ajalnya dengan begitu tragis. Hanyalah selepas Musa Hassan bersara ini, barulah ternampak ada sedikit perkembangan.

Sedangkan sebelum ini, sejak beberapa minggu ketika isu Sosilawati didengungkan di dada akhbar ini, polis sudah menemui jalan buntu dalam usaha mengesan pembunuhan keempat-empat mangsa itu.

Sejak pembunuhan Mustakizah membawa kepada Altantuya dan kini kematian 'Sosilawati' serta rakan-rakannya, para penjenayah di negara ini masih juga sentiasa mengemaskinikan teknik pembunuhan dan mereka saling tiru-meniru antara satu sama lain.

Tiada jalan lain, tiada jalan keluar. Ini bermaksud petaka. Ini bererti, 27 juta rakyat Malaysia mestilah mengambil inisiatif untuk mengambil alih tugas dan peranan polis termasuk pegawai forensik.

No comments: