The Wonderful Wizard of Oz adalah novel klasik kanak-kanak yang ditulis oleh L. Frank Baum. Cerita ini kemudiannya difilemkan pada tahun 1939. Ia mengisahkan kembara rohani seorang gadis ladang di Kansas, Dorothy Gale, berusia 12 tahun yang pengsan dalam suatu kejadian taufan di rumahnya.
Dalam tidurnya dia 'terperangkap' di Land of Oz, di mana dia diminta oleh Glinda seorang 'wanita sihir' yang baik untuk meneruskan kembaranya menuju bandar Emerald. Di sana, dia menemui 'lelaki sihir' baik yang akan membawa beliau pulang ke Kansas.
Dalam kembaranya Dorothy bertemu jerami, tin dan singa yang menjadi teman perjalanannya. Kebetulan pula, rakan kembaranya itu inginkan akal, jantung, keberanian dan kehormatan diri daripada lelaki sihir yang baik itu. Dalam kembara rohani itu, mereka terpaksa berdepan dengan perempuan sihir jahat.
Dalam filem itu, ada suatu dialog yang memuatkan kritikan seorang watak Kristian yang tidak sukakan pengamal sihir. Zaman berubah tapi watak-watak penyihir kekal wujud dalam novel Harry Porter, Lord of the Rings yang akhirnya difilemkan.
Apakah ada persamaan atau perbezaan antara 'witch' dan 'wizard'? Berdasarkan Cambridge Advanced Learner's Dictionary 2nd edition, 'witch' dan 'wizard' adalah sama. Bezanya hanya jantina. 'Witch' itu wanita sementara 'wizard' itu lelaki yang boleh membantu dan merosakkan orang dengan amalan sihir mereka.
Witch itu, 'A woman who is believed to have magical powers and who uses them to harm or help other people'. Maka, 'wizard' itu adalah 'a man' (seorang lelaki) yang sama peranannya dengan 'witch' (wanita penyihir) tadi.
Kedudukan ahli sihir buruk dalam Islam
Dalam Islam ahli sihir ini dilihat buruk. Antara syarat yang dikenakan malaikat Harut Marut ke atas orang yang ingin belajar ilmu sihir itu ialah, manusia itu 'jangan kufur' dengan mengamalkan sihir tersebut. (Al-Baqarah: 102)
Bagaimanapun, novel yang diangkat menjadi filem yang diberikan judul sebagai The Wizard of Oz itu bolehlah juga dilihat sisi kebaikannya juga.
Iaitu, kisahnya mirip kembara rohani Musa a.s – Khidhir a.s (Surah Al-Kahfi), kembara rohani Muhammad s.a.w-Jibril a.s dalam Isra' Mi'raj, juga ia mirip kembara kerohanian Mr Scrooge (Kristian) di dalam novel A Christmas Carol (karya Charles Dickens) dan juga 'Journey to the West'; yang mengisahkan kembara seorang sami Buddha yang mencari kitab di Barat bersama rakan-rakan kembaranya.
Di Alam Melayu kita menemui watak Nenek Kebayan, seorang perempuan pengamal sihir, yang boleh menyamar bertukar wajah menjadi wanita jelita lalu menggoda raja-raja bertujuan memperkudakannya termasuk merosakkan kerajaan raja-raja tersebut, sekali gus memperhambakan rakyatnya. Salah satu contoh, hal ini boleh dilihat dalam filem Pancha Delima, arahan P Ramlee.
Diriwayatkan juga Nyai Roro Kidul di Laut Selatan, Tanah Jawa pernah mengahwini raja-raja Jawa dan dia kekal muda jelita. Apakah Putri Gunung Ledang juga memiliki watak yang lebih kurang sama? Wallahu'alam...
Selain The Wizard of Oz, ada juga novel yang mungkin bagus diterbitkan kalau-kalau ada yang berani menulis mengenainya, iaitu kisah perbicaraan lima pelajar. Kes mereka itu dikenali sebagai 'Bini Puaka' yang kononnya terkait dengan amalan sihir isteri seorang pembesar di negara yang lebih kurang 'Oz'.
Banyak kejadian aneh, ganjil dan lucu berlaku selain sihir seperti seorang 'perasuah' didakwa membunuh diri dengan mencekik lehernya sendiri. Sebelum itu, ada kejadian tahanan politik yang didakwa menumbuk matanya sendiri sehingga lebam.
Drama 'Bini Puaka' itu khabarnya kini sedang hangat 'dipentaskan' di mahkamah Jalan Duta. Sama-samalah kita saksikan tayangan percuma ini. Saat menulis ini, khabarnya isteri pembesar itu sedang asyik mahsyuk serta menyibuk mengikut suaminya ke Amerika syarikat sambil membeli-belah sekali gus membazirkan wang negara adanya.
No comments:
Post a Comment