Tuesday, September 07, 2010

Menyuntik semangat patriotik siswa melalui novel-novel

Oleh H FANSURI

Apabila Dato' A Samad Said mendedahkan bahawa beliau membaca novel Doctor Zhivago setiap tahun saya antara orang yang terpinga-pinga. Pelbagai persoalan singgah di kepala.

Siapakah gerangannya Doctor Zhivago ini? Untuk sesetengah pencinta sastera, hal itu mungkin perkara biasa. Mereka mungkin telah mengenalinya sejak sekian lama. Pendidikan sastera zaman dahulu sangat kuat menekankan kepentingan membaca karya-karya berat.

Namun, masyarakat kita hari ini bukanlah masyarakat yang hidup berteraskan sastera dan budaya tinggi sejak dua dekad belakangan ini khasnya pada zaman Tun Dr Mahathir yang menekankan soal kemajuan dalam lapangan sains dan bidang teknologi.

Hidup berteraskan kemajuan sains dan teknologi telah menyingkirkan peranan sastera dalam kehidupan kita. Oleh itu, lahirlah masyarakat 'buta nilai'; buta sikap dan buta budaya dan buta sastera.

Mereka tidak lagi hidup bermodalkan kehalusan jiwa untuk memimpin zamannya. Mereka tidak peka ke atas suasana pincang dan tidak cekap dalam meneliti garis penyimpangan dalam hidup bernegara.

Barangkali juga, masyarakat kita sangat kurang mencintai karya berat kerana terlalu kerap dihadapkan dan disebatikan dengan gaya hidup mewah dan diresapkan dengan faham kebendaan dalam masa agak lama.

GENERASI BUTA POLITIK

Sebab itu, penekanan yang kurang terhadap sastera ini mengundang krisis kejiwaan yang sangat parah. Hasilnya, kita telah mencetak suatu generasi yang buta politik.

Sikap pelajar Aspirasi yang sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mahu menceburi politik kepartian mutakhir ini sangat memualkan.

Sebenarnya, sudah ramai pihak yang sudah pun mencium bau pergerakan rahsia Aspirasi dan Umno ini. Ramai pihak yang tahu betapa ramainya pemimpin universiti hari ini yang secara senyap-senyap sudah lama mengendong pelajar Aspirasi menemui pemimpin Umno menjelang pilihan raya kampus.

Tetapi, dalam masa yang sama, Aspirasi dan pemimpin universiti pula yang tidak memberikan keizinan kepada pelajar (pro mahasiswa) untuk berpolitik apabila mereka mahu memihak kepada haluan kiri.

Sikap ini lebih memualkan dan meloyakan kerana bau pekung politik busuk ini telah pun dihidu rakyat.

POLITIK PERLU DISEMAI SEJAK KECIL

Dr Zhivago adalah seorang doktor perubatan dan juga seorang penyajak. Tulisannya yang kritis dan hal ini tentu sahaja menikam perasaan penguasa. Dan, beliau juga turut melayani pertanyaan dan pendapat seorang kanak-kanak seperti yang digambarkan lewat filem tersebut.

"Tsar adalah musuh rakyat..." begitu kata anak gadis kecil yang datang ke pangkuannya. Dr Zhivago melayannya dengan baik, tidak mengherdik dan tidak meminta anak itu menghentikan pendirian politik yang baru diimani dan dianutinya itu.

Dalam dialog lain, anak gadis itu juga berkata, "... rugi tidak belajar sivik, anak awak tak ke sekolah?"

Nampaknya, arus kesedaran berhubung kepentingan pendidikan telah mula memuncak dengan menilai kepada dialog tersebut.

Hal ini tentu sahaja melambangkan kemajuan berfikir seorang anak kecil. Doktor itu terdiam apabila mendengarkan soalan daripada anak gadis itu. Beliau tidak marah.

Masih saya ingat, sekitar 1997, pelajar USM dibekalkan dengan novel Inggeris Little Lord Fauntleroy, yang mana teladan dari novel itu menunjukkan tahap kematangan berpolitik seorang anak kecil. Nama anak itu; Cedric dan beliau sudah mengenal perbezaan antara matlamat parti Democrat dan Republican.

Lalu bersama Mr Hobbs yang gemar membaca akhbar, Cedric diajar selok-belok perkembangan politik semasa, sehinggakan anak kecil itu tidak gentar membuat perisytiharan berhubung kecenderungan parti politiknya sendiri.

"I am Republican," kata Cedric tanpa takut apa-apa. Cedric kemudian diberi gelaran sebagai Little Lord Fauntleroy apabila dinobatkan kedudukannya di Britain oleh datuknya yang berdarah bangsawan itu.

Baru-baru ini sudah diadakan Pidato 1Malaysia yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah, di mana mereka sudah pun diberi ruang untuk menyampaikan pidato mengenai hal-hal kenegaraan.

Tapi, berbeza dengan Cedric, gadis kecil dalam filem Dr. Zhivago dan pelajar di sekolah menengah itu, nampaknya di universiti, mahasiswa kita ini bukan sahaja dihalang dalam urusan menentukan pendirian politiknya oleh menteri dan para pemimpin universiti, malah oleh kalangan mahasiswa (Aspirasi) juga!

Novel-novel berat termasuklah karya-karya agung mestilah diajarkan semula di kampus universiti bagi tujuan membenihkan semula semangat politik kepartian dalam kalangan mahasiswa kita sendiri.

Terima kasih kepada Pak Samad Said yang memperkenal kepentingan novel dan filem Doctor Zhivago kepada kami. Kepada pemimpin universiti dan pelajar Aspirasi kita ingin bertanya, sampai bilakah kita mahu menipu dan bersikap tidak jujur terhadap masyarakat termasuk jujur terhadap diri sendiri?

Alangkah buruknya jikalau menipu, bersikap curang, berselingkuh dan tidak bersikap jujur pada zaman Facebook, Wordpress, Blog dan YouTube hari ini. Kini, maklumat boleh diperolehi dengan cepat.

Dan, kalau pun tidak takutkan Tuhan, takutlah kepada kemungkinan; tembelang kita yang mudah pecah gara-gara kebanjiran tsunami maklumat yang mudah dicurahkan dari empangan Facebook dan lain-lain perkakasan internet hari ini. Nak lari ke mana lagi? Mahu ditipu siapa lagi?

No comments: