Wednesday, October 27, 2010

Busana Muslimah Rosmah gagal di Barat?

Oleh H FANSURI

Kita bersyukur kepada Tuhan kerana Dia Maha Adil. Kita wajib bersyukur. Jika Rosmah dengan kekayaannya dapat membeli malaikat dan meraih syafaat nabi, alamat kelamlah nasib kita orang miskin di akhirat. Sekali lagi, dengan sebab ini kita wajib syukur!

Tuhan maha adil dan nabi bukan mengambilkira persoalan miskin kaya dalam hal menuju ke syurga. Bukan sikit 'pelaburan pahala' Rosmah untuk akhiratnya. Hal ini menambahkan cinta kasih kita terhadap Rosmah ini. Sebelum ini, Rosmah pernah menemui wanita pertama Amerika Michelle Obama untuk memperagakan busana muslimah di Amerika.

Khabarnya, acara busana musliman itu telah diperagakan di Monte Carlo, pada Ogos lalu. Pihak Pemuda PAS membantah Rosmah atas alasan menghina Islam ketika nama baginda Rasulullah s.a.w terpahat pada salah satu rekaan fesyen yang mendedahkan sebahagian besar aurat kalangan peragawati itu.

Baju kurung, mengurung aurat tubuh kaum wanita

Dalam faham Kebudayaan Timur, kita sudah menciptakan 'baju kurung' yang mengurung dan mamasung dan memenjarakan aurat wanita. Maka, kita sepatutnya berbangga dengan kehadiran falsafah sebegini walaupun baju itu mula dikebarungkan untuk kelihatan lebih tampil anggun dan seksi. Tapi, tidak mengapalah. Kita bukan mahu bicara hal kurung kebarung melainkan Rosmah juga adanya.

Syahadan, ada dua peranan berpakaian di sini. Pertama, selain pakaian itu disesuaikan dengan keadaan iklim cuaca di sesebuah tempat, maka pakaian juga bertujuan memelihara aurat. Itu yang utama.

Jatuh ke tempat kedua - pakaian untuk berfesyen yang dinamakan busana. Antara tujuan berpakaian untuk menutup aurat dan juga untuk berbusana, manakah yang lebih utama? Sudah tentulah berpakaian untuk menutup aurat, kerana itu hal yang wajib.

Sedangkan untuk berfesyen, berbusana itu hukumnya harus dan malah boleh terjebak ke dalam hal haram jikalau menarik perhatian lelaki yang halal dinikahi. Sepatutnya, falsafah sebegini yang perlu ada dalam diri Rosmah. Najib Razak perlu menegur isteri beliau dalam hal ini atau pun kalangan warga agamawan Umno Wahabi wajib bertegas dalam hal ini.

Pakaian atas nama 'keagamaan' (menutup aurat) perlu diutamakan berbanding 'kebudayaan' (berbusana, berfesyen, peragaan). Dan, dalam hal inilah gabungan Najib-Rosmah (Malaysia) sepatutnya perlu bertemu gabungan Nicholas Sarcozy - Carla Bruni (Perancis) untuk membincangkan masalah yang sedang dihadapi oleh Kenza Drider, seorang muslimah yang ditekan mahkamah Perancis.

Kalau Drider masih setia mengenakan niqab burqa, maka beliau bakal dihukum oleh mahkaman Perancis. Sepatutnya, Rosmah perlu temui Carla Bruni, wanita pertama Perancis untuk membincangkan hal Drider ini. Tetapi, Rosmah melebihkan kebudayaan (busana fesyen) berbanding keagamaan (perihal menutup aurat). Jadi, falsafah Rosmah dalam adab adat berpakaian sudah rosak dan silap.

Awlawiyyat atau 'priority' (keutamaan) agar Rosmah mendahulukan yang wajib (menutup aurat) berbanding yang harus (berbusana) tidak diperjelaskan oleh agamawan Umno Wahabi. Kita hanya mampu membangun kesedaran, hanya menunggu agamawan Umno Wahabi akan bertindak menegur Rosmah dan Najib.

Beza Lady Godiva dan Rosmah

Sememangnya, pendedahan aurat sangat buruk di sisi insan Timur jikalau dibandingkan insan Barat. Semua kerosakan ini berpunca sejak zaman Renaissance yang mengagungkan keindahan rupa paras, acuan bentuk tubuh wanita.

Kaum wanita rela berbogel untuk dirakam lukis keindahan tubuhnya. Dan faham itu wujud sampai ke hari ini. Tanpa seurat benang hal 'keindahan' diperhatikan dan jikalau berpakaian sekali pun, maka hal 'keindahan' itu juga yang diperhatikan. Yang penting 'keindahan', bukannya menutup aurat.

Jadi, kini sudah rosak fikiran ramai pihak. Sebenarnya, bukan tiada wanita bangsawan Barat yang berbogel, tetapi ia bertujuan murni. Lady Godiva misalnya berbogel untuk memaksa suaminya menurunkan cukai. Tapi, Rosmah bebankan negara dengan Belanjawan Seluar Dalam melalui Najib.

Itulah beza antara Rosmah dan Lady Godiva yang cantik rupawan itu. Sebenarnya Rosmah bukannya tidak boleh meniru aksi berani Lady Godiva untuk menukar semua Belanjawan Seluar Dalam itu. Tapi kita terpaksa berdepan dengan kenyataan oleh 28 juta rakyat di negara ini yang akan bertanya...

"Alahai... Kalaulah si dia itu mahu meniru aksi penentangan ala Lady Godiva itu, siapa sangatlah yang nak tengok?"

Tidak terlayanlah Najib Razak untuk menjawab sedemikian banyaknya deratan timbunan pertanyaan yang bertindak-tindan ini.

No comments: