Tuesday, October 26, 2010

Pemikir Umno KJ perlu teliti, Zahid sindir Najib, Abu Lahab Umnokah?

Oleh H FANSURI

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam Perhimpunan Agung baru-baru ini mencadangkan agar diwujudkan pasukan Pemikir Umno. Baik buruknya cadangan itu bolehlah didebatkan kemudian.

Ada yang bertanya, "Bukankah sebelum ini sudah wujud bermacam-macam jawatankuasa pemikir?"

Ya, menyentuh hal pemikir, barangkali tiada yang sedar bahawa bendera dan logo Umno itu direka Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, iaitu seseorang yang punya hubungan darah yang akrab dengan Onn Jaafar; pendiri dan penegak Umno itu sendiri.

Walaupun ramai yang sudah tidak menyimpan harapan ke atas perubahan yang mahu dibuat oleh Umno ini, tapi saya ingin juga bertanya kepada Pemikir Umno ini, bersandarkan sebuah karya titipan Prof Al-Attas bertajuk Risalah Untuk Kaum Muslimin itu.

Tersebut di dalamnya sebuah tajuk; Faham Perubahan, Pembangunan, dan Kemajuan di Perenggan 31, halaman 84 hingga 92. Tetapi di dalam ruangan terbatas ini, tidak dapat diceritakan semuanya kerana ia panjang dan sulit dikupas di sini. Kita sentuh sedikit kalau-kalau Pemikir Umno itu ingin menelaahnya.

Selain itu, rasanya, jika Pemikir Umno wujud, maka ia baik diletak di bawah Timbalan Presiden Umno. Ini kerana, Timbalan Presiden Umno adalah juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang merangkap kedudukannya sebagai Menteri Pelajaran.

Pendidikan negara dirumuskan oleh perwakilan Umno?

Apa-apa yang dirumuskan oleh Timbalan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno itu adalah juga yang akan menjadi dasar pendidikan negara kelak. Sedar tidak sedar, sama ada kita bersetuju atau pun tidak, maka inilah hakikat yang sedang berlaku sekarang.

Iaitu kebanyakan dasar pendidikan dirumuskan oleh para perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno. Terus terang sahaja, saat menulis ini pun, kita meragui, adakah Umno (atau pun Pemikir Umno tajaan Khairy) ini bersedia menerima kehadiran tokoh falsafah ulung; Prof Al-Attas bagi menjernihkan kembali kedudukan sistem pendidikan kita yang rapuh selama ini.

Jika wujud Pemikir Umno itu dan ia berfungsi bagi menyusun rumusan berhubung hala tuju pendidikan negara, maka saya ingin tahu apakah pendirian Pemikir Umno mengenai dua perkara ini, iaitu...

1. Adakah ujian dan peperiksaan bagi setiap kelas, darjah itu suatu keperluan atau pun tidak?

2. Dan adakah Sejarah Islam itu penting bagi Umno (dan Pemikir Umno) selain usaha mewajibluluskan mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah?

Ujian & sejarah Islam, kedua-duanya penting

Untuk menjawab kedua-dua hal di atas secara ringkas maka saya ulas hujah ini secara ringkas juga buat Pemikir Umno, Khairy Jamaluddin dan Muhyiddin Yassin.

Pertama, ujian itu adalah sangat penting bagi tujuan peningkatan pendidikan. Ia bagai roh dan jasad, isi dengan kuku dan aur dengan tebing. Tanpa ujian, bubarkan saja pendidikan. Oleh itu secara ringkasnya, jika mahu dibubar (ujian) PMR, UPSR, makanya bubarkan sahaja pendidikan di negara ini.

Atau, kalau mahu bubar ujian (PMR, UPSR), maka hendaklah digantikan dengan ujian lain bagi tujuan gantian terhadap kedua-dua jenis ujian itu. Itu saja pilihan yang ada dan yang dapat dihujahkan secara ringkas di sini.

Kedua, tentang usaha mewajibluluskan mata pelajaran Sejarah. Dalam ruangan terbatas kita tidak perlu komen panjang mengenai usaha mewajibluluskan hal itu. Yang terlebih utama, kita mahu melantunkan pertanyaan...

Apakah ada usaha mewajibkan mata pelajaran Sejarah Islam di sekolah-sekolah? Kalaulah Umno telah sepakat bahawa Malaysia Negara Islam dan Fathul Bari sudah sahkan negara ini Islam, maka apa pula pendirian Pemikir Umno, Khairy, Muhyiddin dan Fathul Bari tentang keperluan mata pelajaran Sejarah Islam di sekolah-sekolah ini?

Abu Lahab, sindir Najib - Rosmahkah?

Syahadan, baru-baru ini juga, Zahid Hamidi ada menyentuh sedikit hal Abu Lahab dalam Perhimpunan Agung Umno. Jadi skuad Pemikir Umno perlu membuat sedikit tugasan untuk meneliti kedudukan Abu Lahab dalam Umno ini.

Adapun sejahat-jahat Abu Jahal itu, beliau pernahlah jua didoakan nabi agar memeluk Islam. Abu Talib pula berada di sisi nabi ketika nabi diganggu.

Abu Jahal dan Abu Talib, walaupun tidak memeluk Islam, tetapi tidak tercela seperti Abu Lahab. Bahan fikiran Zahid ini amat baik direnung sebagai tugasan pertama skuad Pemikir Umno tajaan Khairy ini.

Meninjau Surah Al-Masad yang ditujukan buat Abu Lahab, maka skuad Pemikir Umno perlu telaah apa itu Al-Masad? Apakah ia seperti ketumbukan pasukan skuad pemusnah, penyiasat Mossad Israel?

Tetapi, yang jelas, al-Masad itu adalah sejenis hukuman khas ke atas isteri Abu Lahab, walaupun celaan ke atas nabi itu asalnya terbit dari lidah Abu Lahab sendiri.

Timbul persoalan yang perlu dirungkai oleh skuad Pemikir Umno; adakah Abu Lahab kuat dipengaruhi oleh isterinya ketika memerangi seruan Islam?

Dan, skuad Pemikir Umno tajaan Khairy perlu juga meninjau, adakah ini bererti Zahid sedang melihat Najib Razak (Abu Lahab Umno) dipengaruhi Rosmah dalam banyak hal seperti gangguan atau 'chaos' terhadap belanjawan seluar dalam negara baru-baru ini?

No comments: