Monday, October 25, 2010

Peniruan filem, baik buruknya dan masa depan filem negara

Oleh H FANSURI

Ramai orang tahu bahawa Fast and Furious (Hollywood, Amerika) dan kemudian Tokyo Drift (Jepun) telah membidankan Evolusi KL Drift. Di sini, kita mahu bertanya juri. Kita ini berhak bertanya.

Rakyat di negara ini pernah menyumbang wangnya untuk filem-filem itu sebagai usaha meningkatkan mutu perfileman negara. Pertanyaan kita berbunyi begini - adakah peniruan boleh diangkat sebagai yang terbaik?

Inilah pertanyaan kita dan ia tidak salah dan bukan jenayah. Rasanya kurang munasabah juga diberikan penghargaan.

Pujangga Italy bermadah, "Perilaku baik yang ditiru tidaklah menyebabkan peniru tadi akan mencapai darjat setinggi peniruan itu. Manakala perilaku buruk yang ditiru akan menyebabkan peniru akan menjadi lebih buruk berbanding amalan yang ditiru."

Contohnya, ketika ISA akta buruk lapuk ditiru Amerika, Umno bersorak riang kerana USA meniru kita. Kononnya kita lebih jauh terkehadapan.

Presiden PAS Fadhil Noor ketika itu, sebaliknya menyelar sikap ini kerana Amerika tiru akta buruk. Natijahnya Akta Patriot yang ditiru dari ISA Malaysia menyebabkan Malaysia dicap sebagai negara menyimpan pengganas dan aktiviti keganasan.

Manakala, akta buruk lapuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) ini tidak pula mahu dimansuh ganti dengan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act - FOIA), sebuah akta yang baik untuk perjalanan hidup negara demokrasi.

MAGIKA CUMA MENGOLAH SEDIKIT

Syahadan, Magika akhirnya dinobatkan sebagai filem terbaik. Memang boleh disuluh juga kelemahan Magika dari sudut tertentu. Magika, misalnya istilah bukan Melayu, sedangkan filem itu mengangkat watak-watak kisah rakyat purba Melayu.

Tetapi, kita mahu bercerita mengenai peniruan. Magika juga 'meniru' tetapi mengolahnya dengan bijaksana dan ia tergolong di dalam hal peniruan yang baik. Ini ditambah dengan sikap mahu mengangkat cerita-cerita purba dalam negara.

Peniruan ke atas cerita baik adalah baik walaupun ia tidak menyamai mutu cerita asal. Sementara peniruan ke atas cerita buruk adalah buruk dan ia akan makin membuatkan mutu cerita itu bertambah buruk berbanding cerita buruk yang asal.

Jadi, timbul persoalan, apakah asas dan kayu ukur oleh pihak juri bagi menilai filem?

Ketepikan hal emosi sebak tangis Shamsul ketika menaiki pentas saat merangkul anugerah itu. Perasaan tidak boleh dinilai. Hakim dan juri membuat keputusan berdasarkan akal fikiran. Hukuman dan penilaian pula tidak dibuat berdasarkan hati perasaan.

Ya, walaupun ada ramai pengkritik novel Lagenda Budak Setan (LBS) yang kemudian sudah diangkat sebagai filem, namun setidak-tidaknya ia adalah cerita asal dari negara ini.

Seburuk-buruk filem dan novel LBS, ternyata ia masih juga karya anak tempatan yang mengutarakan tema cinta dan bukan hidup berpeleseran dan keganasan daripada Amerika dan Jepun.

Sedongeng-dongeng watak Nenek Kebayan, Pak Pandir, Puteri Gunung Ledang, ia masih juga sebuah karya sastera lisan nenek moyang kita dari Nusantara ini. Ia pula sarat dengan pesan-pesan nasihat.

Estet misalnya yang ada kesan pengaruh bahasa bukan Melayu masih juga memperihal wajah sebenar yang akrab dengan gaya hidup kita.

Bagaimanapun, bersyukurlah. Estet, hasil sentuhan seni Mamat Khalid itu berjaya meraih pengiktirafan khas juri.

Apa sebabnya juri memberi anugerah itu, tidak diketahui. Apa pun, ia sudah memperlihat wajah 1Malaysia, masyarakat berbilang bangsa, resam dan budaya. Mungkinkah juri hanya cuba menyantuni Najib Razak? Wallahu'alam...

PEMASARAN FILEM MALAYSIA DI NEGARA-NEGARA ISLAM

Pada masa akan datang, kita perlu fikirkan bagaimana mahu pasarkan filem-filem negara Islam ini sesama negara Islam. Kita perlulah mengenali Iran, Pakistan, Mesir dan lain-lainnya berdasarkan paparan budaya hidup mereka yang diresap lewat perfileman mereka.

Filem-filem ini perlu diputarkan dalam rangkaian stesen televisyen di negara Islam masing-masing sebagai suatu usaha bersama bagi saling mengenali saudara mereka menurut acuan filem di negara-negara Islam itu sendiri.

Misalnya, jika TV3, RTM menyiarkan filem Iran, Pakistan, Mesir, maka di negara-negara itu juga, rangkaian televisyen mereka perlu siarkan filem-filem Malaysia. Perjanjian perlu dibuat sebagai usaha saling mengenali antara umat di negara Islam masing-masing.

Tapi, bagaimana mahu tayangkan filem KL Drift di rangkaian stesen televisyen Pakistan, Iran jika rakyat di negara itu pernah menonton Tokyo Drift dan Fast and Furious?

Merebak kekhuatiran di benak fikiran kita jika rakyat Iran dan Mesir berkata, "Astaga, daripada menonton KL Drift, lebih baiklah ana tonton cerita Hindustani atau Mongoliani sahaja!"

Jikalau menonton filem Estet dan Magika, mungkin kisah ini belum dibuat oleh mana-mana negara. Jadi, kita tiada malu kerana pemikir filem di sana belum pernah tonton filem begini. Mungkin mereka boleh mengulas dan belajar sesuatu mengenai negara kita juga.

Filem kita wajah kita, itu tema yang selalu bergema dan seruan yang didendang. Marilah kita belajar menjadi juri untuk tidak mengiktiraf kepada karya yang tidak memperlihat wajah kenegaraan kita yang sebenar.

Ini bermaksud, kita bukanlah menghalang mana-mana pembikin filem berkarya, tetapi kita cuma tidak mahu mengiktiraf dan memberi anugerah kepada hasil sentuhan seni mereka.

Orang akan berkata, selepas rumah siap, paku masih menyanyi. Tapi demi maruah negara, kita berhak menyanyi. Demi maruah rumah (harga diri ummah) yang dipahat dengan kaedah tidak betul, paku-paku yang retak berhak bangkit menyatakan pendapatnya kerana mereka juga membeli tiket dan menyumbang ke arah perfileman negara ini!

Lagi pun, pepatah Mongolia ada menyatakan, "Berdebat dengan sabar itu lebih afdal jika dibandingkan dengan berdamai secara berpura-pura."

No comments: