Monday, October 25, 2010

Wahabi Umno pertahan busana muslimah Rosmah. Apa peranan Dr Maza?

Oleh H FANSURI

Akar kepada penentangan terhadap busana muslimah naungan Rosmah itu, ialah kerana wujud kalimah Nabi Muhammad pada busana' muslimah. Lalu, ia ditamsilkan sebagai penghinaan. Sebenarnya jikalau kalimah itu tidak wujud sekali pun, demonstrasi itu mesti dilaksanakan juga.

Ini kerana, akar penentangan yang sebenarnya terletak ke atas batang tubuh Rosmah itu sendiri. Kalau tidak sebab itu (kalimat nama Nabi Muhammad s.a.w), mungkinkah demonstrasi tidak dilaksanakan?

Maka, oleh sebab itulah kita perlu suatu hujah yang lebih kuat untuk mengesahkan betapa perlunya kita menolak Rosmah. Sebenarnya, sejak dahulu lagi demonstrasi ini perlu dilaksanakan.

Dasar Campurtangan Rosmah Dalam Hal-Ehwal Negara

Akar penentangan terhadap Rosmah itu berbunyi – bahawa yang ditolak itu adalah dasar campurtangan Rosmah dalam hal-ehwal dasar, siasah politik dan peruntukan kewangan negara.

Rosmah mengguna perbelanjaan awam ketika berpergian ke Amerika Syarikat untuk beri syor kepada Michelle Obama mengenai busana muslimah. Tanpa Najib, Rosmah tidak pergi Amerika. Juga, dengan sebab itu, Rosmah menjadi penaung acara busana muslimah itu.

Manakala Hendon, isteri bekas PM Abdullah Ahmad Badawi pernah juga menaungi, menaja kebaya di peringkat antarabangsa, tapi kita lihat umat tidak sampai berdemonstrasi menolak kegiatan Hendon itu.

Kenapa? Mungkin ada yang berkata, kerana busana Hendon itu tidak berkaitan penghinaan ke atas nabi juga. Tapi, isu sebenarnya di sini, Hendon juga tidak pernah campurtangan urusan negara dan kerajaan atas nama dirinya 'Wanita Pertama'.

Beliau bukan seperti Rosmah, berpergian ke Amerika, berhubungan dengan Michelle Obama atas nama dirinya sebagai wanita pertama. Di atas nama wanita pertama, beliau membuat sidang wanita pertama termasuklah pertunjukan fesyen busana muslimah itu.

Mengulas sekilas pendirian Fathul Bari

Hal ini sekali gus menolak hujah Fathul Bari di Perhimpunan Agung Umno yang berkata, "Sepatutnya bantahan itu ditujukan kepada penganjur sedangkan beliau (Rosmah) penaung semata-mata.".

Agamawan muda Umno itu perlu siasat; idea itu terbit daripada siapa asalnya; penganjur atau penaung (Rosmah)? Tersiar di media sebelum ini, Rosmah yang membawa idea itu untuk Michelle Obama. Jadi, mahu dibebankan kesalahan itu ke atas penganjur atau penaung? Tanpa idea itu, tiadalah penganjurnya.

Selain itu, Fathul Bari berkata, kita terus serang dan hukum tanpa menyiasat dan ini tidak melambang sikap muslimin yang membawa hukum Allah. Tambahnya, sikap ini tersasar dari Islam yang mengajar etika menasihati seseorang.

Kita jawab, dalam hal ini Perlembagaan Persekutuan memberi ruang, hak untuk rakyat berhimpun bagi menyatakan 'nasihat' secara aman dan menunjukkan demonstrasi secara marah-marah itulah nasihat dan ia bukan pendekatan menghukum kerana kita ini rakyat biasa yang bukannya ada hakim dan mahkamah untuk menghukum Rosmah itu.

Kata Fathul Bari lagi, "Kalau mereka ikhlas (menasihati) mengapa tidak tarik tangannya, bersendirian tanya dengannya lebih dahulu (perkara sebenar)."

Rasanya, dalam hal ini, yang terlebih awla, menasihati Rosmah adalah Fathul Bari kerana beliau akrab dengan Najib - Rosmah. Bukankah beliau juga tidak menyetujui acara itu? Sebelum ini, dalam tempoh Rosmah berura-ura mahu jalankan acara busana itu sehingga kini, apa yang telah Fathul Bari buat bagi tujuan menasihati Rosmah?

Fathul Bari juga berkata, penguasa patut didoakan dengan kebaikan dan bukannya dengan maki hamun dan caci maki. "Saya cuma tekankan soal adab menasihati pemimpin," jelas beliau lagi.

Selain terkeliru kerana melihatkan Rosmah sebagai pemimpin, maka pada masa depan, mungkin beliau patut menyusun doa dalam khutbah Jumaat supaya muslimin mendoakan pemimpin diberi hidayah buat Najib. Dan jika penguasa berdegil, maka rakyat diberi kekuatan pula untuk menolak penguasa itu.

Musa Hassan jatuh, ancaman JI tiada, kenapa agamawan Wahabi belum keluar Umno?

Agamawan Umno Wahabi sepatutnya boleh keluar Umno kerana ancaman Jemaah Islamiyyah (JI) itu sudah tiada dengan kejatuhan Musa Hassan.

Apakah Dr Mohd Asri Zainul Abidin dapat bermesyuarat semula dengan 40 agamawan Umno Wahabi bagi memutuskan apakah agamawan Umno itu masih mahu kekal atau tidak di dalam Umno itu?

Menurut laporan, Dr Mohd Asri terlibat juga dalam mesyuarat dahulu saat ugutan Musa Hassan masih ada. Dr Mohd Asri tidak terlepas dengan kenyataan bahawa beliau tidak akan memasuki Umno kerana 'saham' beliau ada ketika merestui pemergian rakan-rakannya dalam Umno. Mereka pergi itu atas 'restu' beliau juga.

Di akhirat kelak, jika agamawan Umno Wahabi ditanya kenapakah mereka mendokong penguasa zalim itu, maka mungkin 40 agamawan itu akan menuding jari ke arah beliau juga.

Jadi, cara beliau mahu 'bersihkan' kesilapannya adalah dengan menyeru semula rakannya supaya keluar Umno kerana ancaman JI oleh Musa Hassan sudah tiada lagi setelah rakyat berhasil menjatuhkan Musa Hassan dengan izin Allah s.w.t.

Jika ada yang keluar Umno selepas seruan itu, itulah yang terbaik, tapi jika masih ada yang terus kekal di dalam Umno maka Dr Mohd Asri sudah tidak tanggung lagi bebanan, kerana hal itu sudah keputusan mereka sendiri. Wallahu'alam...

No comments: