Thursday, October 21, 2010

Dr M perlu sukat kediktatorannya dengan Mugabe, Zimbabwe

Oleh H FANSURI

Kedudukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) ini masih juga samar-samar di pihak sesetengah kita. Keburukannya tidak dirasakan menjalar ke dalam ruang kehidupan semua orang.

Orang sulit memahami kenapakah kita perlu memerangi akta ini sekali gus memansuhkannya walhal, ia ada kebaikannya juga, demikianlah menurut pendapat sesetengah orang.

Sesetengah pihak menganggap, hanya wartawan dan kalangan editor sahaja yang terperangkap dengan akta ini. Padahal, jika ditinjau daripada hak mendapatkan maklumat dalam sesebuah negara demokrasi, ternyata AMCP telah merampas hak seluruh rakyat tanpa mereka sedar.

Tugas wartawan dan editor misalnya, menyajikan ramuan berita menarik dan melaporkan kedudukan hal-ehwal iktisad kewangan dan perkembangan siasah politik tanahair.

Tetapi, dengan perlesenan akhbar ini, maka editor akhbar mesti bersikap 'baik', tidak bersikap garang di dalam tempoh tiga ke enam bulan untuk mengambil hati Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tidak dinafikan bahawa pemerintahan Dr Mahathir adalah yang paling lama di Malaysia dan dalam hal ini, patut kita iktiraf bahawa beliau adalah watak yang paling banyak bekerja untuk menamatkan media sebagai alat menjulang demokrasi dan kebebasan akhbar di negara ini.

Hatta, selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri sekali pun, dia masih juga setia mempertahan pendapatnya tentang kedudukan kebebasan akhbar di negara ini. Ia suatu hal yang tiada pada PM yang lain.

Kediktatoran Mahathir di Malaysia dan Mugabe di Zimbabwe

Bagi mengesahkan pendapatnya, Dr Mahathir berkata, pemerintahan diktator, boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

"Malaysia dikatakan pernah diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun. Saya menikmatinya (gelaran itu). Tapi sekurang-kurangnya kita semakin maju. Bangunan ini (PWTC) dulu tidak pernah ada di sini," kata beliau.

Dr Mahathir kemudiannya memberi contoh China yang menurutnya bercorak pemerintahan autokratik. Dan, oleh sebab itu, ia lebih berjaya daripada negara demokrasi yang dipilih oleh rakyat.

"Tiada demokrasi di China tapi sistem kerajaannya boleh memberi banyak manfaat kepada rakyatnya," katanya.

Selain itu, tambah beliau, pertukaran tampuk kepimpinan di negara itu lebih aman berbanding negara demokrasi lain.

Harapnya, Dr Mahathir bersikap adil ketika membuat perbandingan dengan meneliti beberapa negara lain yang mengamalkan sikap diktator, autokratik dan kuku besi. Salah satu contoh yang boleh dinilai di sini ialah pemerintahan kuku besi Robert Mugabe di Zimbabwe.

Dalam The Shackled Continent: Africa's Past, Present and Future, Robert Guest, editor The Economist, berkata, Mugabe harus dipersalahkan oleh sebab merudumnya ekonomi Zimbabwe.

"Pada 1980, secara purata, pendapatan tahunan di Zimbabwe mencapai US$950, dan 1 dolar Zimbabwe bernilai lebih daripada satu dolar Amerika. Pada 2003, secara purata pendapatan tahunan sudah kurang daripada US&400. Dan ekonomi Zimbabwe masih juga merudum."

Mugabe, dengan sikap autokratik dan diktatornya telah pun memerintah Zimbabwe selama hampir tiga dekad dan dalam tempoh itu kita telah menyaksikan betapa banyaknya kejatuhan ekonomi.

China juga bergolak oleh sebab kepemimpinan

Apabila Dr Mahathir menyebut bahawa pertukaran tampuk kepemimpinan di China itu lebih aman jika dibandingkan dengan negara autokratik lain, maka harapnya, kita tidaklah melupakan perjuangan siswa bersama kelompok intelektual di Medan Tiananmen itu.

Beberapa pelajar dan intelektual yang berjuang melalui jalan raya itu percaya bahawa reformasi belum dapat diterjemahkan dengan matang dan China, menurut mereka, perlu mengubah sistem politiknya.

Mereka juga bimbang tentang kawalan sosial yang dilaksanakan oleh Parti Komunis China. Protes itu bermula dengan kematian mantan Setiausaha Agung Hu Yaobang, yang berundur daripada jawatannya pada 1987. Jadi, masih berlaku kekecohan dengan sebab pertukaran iklim politik.

Pendek kata, helah-helah Dr Mahathir ini boleh dipatahkan jika kita menguasai banyak perkara. Kelemahan Dr Mahathir terletak pada sikapnya yang sering berbolak-balik pada tiap-tiap kenyataannya, berdasarkan kedudukan tertentu.

Misalnya, ketika menyerang Abdullah Ahmad Badawi dahulu, media dan akhbar disifatkan beliau sebagai tidak lagi bebas lantaranbeliau tidak lagi diberikan ruang dan peluang untuk menegur kepemimpinan Abdullah itu.

Cuma selepas Abdullah meletakkan jawatan, maka barulah Dr Mahathir mendapat kedudukan yang sedikit selesa ketika suara beliau terpahat di akhbar-akhbar. Beliau tentunya berasa senang hati terhadap perkembangan ini.

Maka, kini tiada lagi rungutan di pihaknya berhubung akhbar yang dikawal Abdullah dahulu. Dr Mahathir sudah jadi lupa daratan dan inilah 'the true colour of Dr Mahathir'.

Kita perlu menilai pendirian, kedudukan, sifat dan sikap seseorang ketika dia senang. Ketika dia susah, maka hal itu bukanlah lagi watak dirinya yang sebenar kerana orang yang susah akan bercakap dalam keadaan tidak sempurna kewarasannya.

Dan, inilah watak dan pendirian Dr Mahathir yang sebenar ketika Abdullah sudah tidak lagi menyekatnya - Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih kekal relevan, kerajaan berhak mengawal akhbar dan yang terbaru - perlu ada pilihan raya untuk pilih editor akhbar. 'Gila' ke apa?

No comments: