Tuesday, October 12, 2010

Hang Tuah lima bersaudara memang Melayu, bukan Cina

Oleh H FANSURI

KRU Studio telah mengeluarkan suatu filem yang boleh dibanggakan kerana ia mencetak watak-watak yang pernah kita dengar dalam riwayat-riwayat lisan. 


Magika nama filem itu. Mungkin ada setengah pihak yang menyifatkan filem itu sebagai salinan daripada The Wizard of Oz, Alice in Wonderland ditambah pula dengan nama filem itu bercorak kebaratan.

Ada baik dan buruknya yang boleh kita bincangkan kemudian. Tetapi, dalam ruangan yang serba terhad ini, marilah kita bincang suatu hal yang tidak kalah menariknya di sini, iaitu kedudukan kebangsaan laksamana Melayu lima bersaudara itu; adakah mereka itu benar-benar berbangsa Melayu atau pun Cina?

Polemik Hang Tuah sebagai Cina ini pernah hadir suatu ketika dahulu dan sekali-sekali ia disentuh sedikit dalam beberapa blog dan tulisan tertentu. Pendek kata, hal kebangsaan lima hulubalang bersaudara ini tidak pernah jemu dikupas ulas.

Maka di dalam filem itu, terbit suatu dialog yang agak lucu kedengaran. Pelakon Saiful Apek memanggil Hang Lekiu sebagai Hang Loke Yew. Loke Yew adalah nama sebuah jalan yang menuju ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
 

Sebenarnya Loke Yew adalah seorang saudagar berasal dari Guangdong, China dan kemudiannya berpindah mencari kehidupannya di Malaya.

Dalam Magika juga, digambarkan dialog percakapan kelima-lima hulubalang itu sebagai peranakan Kedah, Pulau Pinang, konon hal itu berlaku disebabkan kebanyakan orang-orang utara akan menggunakan ungkapan 'hang' sebagai kata ganti diri kedua.

Contoh ayat: "Hang nak pi mana tu Najib? Ke Mongolia ka? Cari sapa tu? Altantuya ka?"

'Hang' di sini adalah kamu, anda, awak, anta (Arab) dan ia bukanlah gelar kepada panglima, pendekar dan hulubalang Melayu.

Apa pun, gelaran 'hang' itu yang disandar kepada Cina itu adalah 'kesan' daripada polemik, debat lama yang berawal daripada pandangan yang menyatakan bahawa - gelaran 'Hang' itu mirip kepada nama Puteri Hang Li Poh.

Maka, bersandarkan itu, ramailah yang beranggapan bahawa lima hulubalang bersaudara itu sebenarnya pengiring puteri China.

Dalam ruangan serba terhad ini, kita menganggap bahawa, nama sebenar puteri itu mungkin juga Han Li Poh. Dan, mungkin sekali para pembesar Melaka pada saat itu berasa miang gatal juga adanya kerana belum terserempak dengan puteri Mongolia pada zaman ini.

Jadi, bagi mengelakkan gangguan dan kacauan ke atas puteri itu, maka diletakkan, digubah olah nama puteri itu daripada Han Li Poh menjadi Hang Li Poh. Lalu dibicarakanlah oleh sekalian orang-orang Melaka saat mereka berlabun di warung 'parlimen' kedai kopi itu.

"Cis, lahabau sungguh dikau ini. Mahu diganggu lagi akan tuan puteri itu. Tahukah dikau bahawa dia itu adik-beradik Hang Tuah dan segala hulubalang perhangan di Melaka ini," kata Lang Ali kepada Hang Najib. "Namanya itu Hang Li Poh, adik kepada segala hang-hang yang berkawal di istana Melaka itu. Mahukah dikau mencari nahas!?"

SISTEM GELAR DI MELAKA

Oleh itu, marilah kita perturunkan sedikit catatan untuk direnung, dimenung dan ditenungkan bersama. Moga kita semua beroleh faedah ilmu daripadanya.

Sebagai termaklum, gelaran 'HANG' itu adalah julukan bagi laksamana, hulubalang. Contoh, Hang Najib, Hang Anwar.

Selain 'HANG', ada gelaran bagi wanita cantik kelas atasan atau perempuan kelas bangsawan, iaitu 'DANG'. Contoh nama, Dang Wangi, Dang Rosmah, Dang Altantuya, Dang Anum.

Juga, ada sejenis gelar dan panggilan lain lagi bagi wanita; 'YANG'. Hal ini masih lagi diperingkat kajian awal. Kemudian, gelar 'Lang'. Mungkin, inilah yang membentuk nama tempat Langkasuka, Langkawi. Juga, ada filem berjudul Lang Buana. Mungkin gelar ini untuk kepala desa atau penguasa.

Selain itu, ada gelar 'SANG' untuk negarawan, ketua negara, pemerintah, penguasa, raja, orang cerdik dan bijaksana, pendeta, cendekia dan ratu. Contoh nama-nama ini seperti yang ditemui dalam Sulalatus Salatin adalah Sang Nila Utama dan Sang Sapurba.

Apakah nama tempat 'Sanglang' di Perlis pun ada kaitan dengan kesan pengaruh sistem gelar-gelar di Melaka? Wallahu'alam...

Juga, ada gelaran 'KANG' (kakang) seperti panggilan kepada orang yang dihormati. Contoh Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazy.)

Juga, ada gelar 'NANG' atau 'NENG' (untuk wanita, kaum lelakinya dipanggil Nik) Contoh: Neng Yatimah (pelakon Singapura).

Kesimpulan awalnya maka demikianlah kemungkinan sistem-sistem gelaran untuk kelas-kelas atasan yang berpengaruh di Melaka itu dan 'hang' bukanlah nama bagi Cina.

Tetapi, gelar 'hang' itu sebaris dengan nama yang disusun atur mengikut kadar kedudukan manusia-manusia ternama (selebriti) saat purbakala seperti juga 'dang', 'yang', 'sang', 'kang', 'lang', 'nang' dan mungkin ada lagi gelaran yang belum sempat ditemui.

Juga, dengan penerangan ini, bukanlah Hang Tuah lima bersaudara itu yang mengikuti gelar Hang Li Poh. Tetapi, nama Han Li Poh itulah yang disandarkan kepada 'perhangan' di Melaka menjadikan namanya digelar sebagai Hang Li Poh jua adanya. Wallahu'alam.

No comments: