Oleh H FANSURI
Baru-baru ini, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) telah mengumpulkan beberapa penggiat media termasuk para penggiat masyarakat bagi membincangkan halatuju Geram (Gerakan Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan).
Baru-baru ini, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) telah mengumpulkan beberapa penggiat media termasuk para penggiat masyarakat bagi membincangkan halatuju Geram (Gerakan Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan).
Banyaklah hal-hal yang diutarakan, diselatankan, sama ada ditimur atau dibaratkan lewat bincangan itu. Persoalan penggunaan 'mansuh' atau 'pinda' masih juga dibincangkan. Bagaimanapun, ada suatu hal yang menarik perhatian saya.
Tiba-tiba saja, entah dari celah mana, timbul persoalan mengenai istilah apakah yang lebih sesuai dan lunak kedengaran? Iaitu Ketua Pembangkang atau oposisi?
Dzulkarnain Taib daripada Suara Keadilan berkongsi pandangannya berhubung hal itu. Lalu beliau pun menyatakan kalimat oposisi lunak lunak kedengaran berbanding Ketua Pembangkang.
"Hal ini datang daripada kajian oleh beberapa pihak sarjana sains politik sendiri," tambah Dzulkarnain lagi. "Mereka syorkan supaya digunakan kalimat opisisi."
Menurutnya, oposisi tidak melambangkan pembangkang, tetapi sebagai usaha 'check and balance' terhadap kerajaan.
"Maka, kita akan menjadi kuasa pengimbang kepada beberapa dasar kerajaan," tambah beliau lagi.
"Kalau begitu Ketua Pengimbanglah," celah Tarmizi Mat Jam. Bagaimanapun, ini bukanlah rumusan yang tercatat dalam mesyuarat KAMI baru-baru ini. Saya pilih pengimbang kerana ia lebih bercitra Melayu berbanding kalimat 'oposisi'.
ANAK MELAYU PANTANG DERHAKA
Dalam sejarah-sejarah penentangan dan pergolakan anak-anak Melayu sejak dahulu sebagai yang termuat dalam karya kesusasteraan Melayu klasik; Sulalatus Salatin, memanglah tabiat orang Melayu ini susah marah. Dan, kalau sudah kering marahnya, maka jiwa pemaafnya itu akan lebih terkehadapan pula berbanding bangsa-bangsa lain.
China dan Jepun masih berbalah ketika mengenangkan kisah babak pertarungan lama sedangkan Malaysia sudah memandang ke Timur (Dasar Pandang Ke Timur) ketika Malaysia cuba melarikan diri daripada diburu oleh kesan pengaruh Barat pada zaman Britain diperintah Margaret Thatcher itu.
Dalam kisah Hang Jebat menderhaka, derhaka Melayu dan sikap melawan, membangkang, kurang ajar dan biadapnya bersebab. Semua ini berpunca daripada ketidakadilan ke atas saudaranya Hang Tuah.
Dalam kisah penentangan Megat Seri Rama dalam kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, hulubalang yang asalnya setia itu hanya melawan ketika isterinya dibunuh kerana mengidamkan nangka diraja.
Dalam kisah Sang Rajuna Tapa mengkhianati negaranya sehingga membuka pintu agar musuh dapat menyerang dalam negara, hal yang demikian juga berawal daripada sikap penguasa yang zalim kerana tergamak membunuh anaknya sendiri. Rajuna Tapa hanya membela darah dagingnya sendiri.
Samada kita bersetuju atau tidak dengan penentangan Hang Jebat, Megat Seri Rama dan Sang Rajuna Tapa, kita tetap tidak boleh menafikan bahawa mereka memberontak ke atas kezaliman penguasa.
Lojiknya, jika penguasa tidak zalim, maka tiadalah berlakunya penentangan itu. Maknanya, warisan genetik Melayu ini memanglah sesuai dicampakkan Islam ke dalam dadanya dan dengan sebab itulah Allah memilih mereka sebagai 'bangsa penghulu' di Nusantara ini untuk mengamalkan sekali gus menyebarkan tatacara hidup Islami.
Pilih pilih tempat mandi
Esa telok kedua pantai
pilih pilih tempat menjadi
Esa elok kedua pandai.
Esa elok kedua pantai
Ketiga dengan jamban di hulu
Esa elok kedua pandai.
Ketiga baik 'bangsa penghulu'
Bangsa penghulu yang disebut lewat pantun yang santun ini diikat kemas dengan persoalan akhlak dan nilai-nilai baik. Sebelum Islam tiba, maka Melayu sudah menitikberatkan ketertiban dan moral yang tinggi. Maka, atas sebab inilah Allah memilih Melayu sebagai bangsa pilihan Tuhan untuk menyebarkan dakwah agama ini.
Jadi, berdasarkan rumusan awal itu, kita pun mahu berpantunlah juga sekali sekala...
Anak Melayu pantang derhaka
kalau derhaka pasti berpunca
rakyat patuh ada puncanya
punca patuh, kasihnya raja.
Syahadan, ada pun anak-anak Melayu itu, kalau mahu menderhaka sekali pun dia akan memohon keizinan; 'sembah derhaka' namanya. Dan, kalimat ini pun bukanlah menunjukkan aksi derhaka dalam erti kata yang sebenarnya.
Yang bernama penguasa perlu beringat, bahawa ketaatan dan kepatuhaan kepada Tuhan terletak pada kalimah bismillah ir rahmaan ir rahiim - "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang."
Bahawa kasih sayang itu punca ketaatan. Ketaatan isteri terhadap suami adalah berkat kasih sayang suami ke atas isteri, maka dari situ terjuntailah tali kesetiaan isteri yang terikat kejap dan kemas sepanjang akhir hayat.
Demikian juga kepatuhan rakyat ke atas penguasanya, ia berpunca daripada kasih sayang penguasa. Kalau ratu zalim, mengenakan Auku, ISA, OSA, Akta Mesin Cetak & Penerbitan (AMCP) guna menghukum wartawan, bagaimanakah rakyat mahu simpan rasa kasih dan taat di dalam dada, melainkan mereka menjadi pengkhianat juga adanya.
Arakian, demikianlah syor kita hingga terbawa-bawa ke era purba pula adanya. Kita menulis ini sekadar ingin bertanya kepadamu ya maulana. Adakah kita bersetuju mengalihkan kalimat Ketua Pembangkang kepada Ketua Pengimbang?
Kasihan juga kepada Najib Razak kalaulah beliau akan dinobatkan sebagai Ketua Pembangkang nanti. Rosmah, 'Wanita Pertama' itu mahu digelar 'pengimbang' apa pula? Bukankah makin tiada keruan fikiran dan tidak seimbang jadinya nanti antara gabungan yang mantap antara Najib dan Rosmah itu?
No comments:
Post a Comment