Oleh H FANSURI
Pada 3 Oktober, 1993 tentera kita pernah membantu suatu operasi ketenteraan dengan menyelamatkan beberapa orang tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang di Mogadishu, Somalia.
Pada 3 Oktober, 1993 tentera kita pernah membantu suatu operasi ketenteraan dengan menyelamatkan beberapa orang tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang di Mogadishu, Somalia.
Tetapi, dalam filem Black Hack Down, peranan tentera kita dipadamkan. Pasukan Delta Force Amerika adalah wira yang bertindak mengeluarkan rakan sepasukan mereka yang terperangkap di kawasan dua buah helikopter Black Hawk terhempas di sebuah pasar di Somalia itu.
Delta Force dipaparkan sebagai wira daripada awal hingga akhir, dan tiada kelibat pasukan tentera kita. Malah, orang akan melihat ini sebagai 'perjuangan' tentera Amerika melawan Somalia sedangkan yang berlaku adalah tentera Amerika ini dibantu oleh pasukan pengaman PBB yang disertai tentera Pakistan dan askar Malaysia.
Kumpulan Pengaman Malaysia; 'Malbatt' diberi tugas yang penting juga bersama tentera Amerika. Ada duan peristiwa yang dilakukan Malbatt hingga menaikkan imej negara di kalangan pasukan pengaman PBB.
Pertama, peristiwa di mana berlakunya pemberontakan militan Somalia ketika menghalang penubuhan Mahkamah Agung Benadir. Dalam peristiwa itu, Malbatt tetap mengenepikan saranan militan supaya menyerahkan tiga orang pegawai Unosom (United Nations of Somalia).
Kedua, adalah tugas yang terkenal sebagai Black Hawk Down itu sendiri. Dalam peristiwa itu, mereka perlu menyelamatkan tentera marin Amerika yang terperangkap dan membawa Delta Force ke tempat kejadian dengan kereta perisai. Ia menelan korban yang bukan sedikit dalam kejadian itu.
Hingga kini, rakyat Malaysia kecewa dengan filem itu. Kita mengirim askar untuk membantu Amerika lalu kita kehilangan tentera kita dengan sebab itu sahaja sementara filem yang ditayangkan pada tahun 2002 itu cuma menyebutkan peranan mereka saja.
Wajarkah penglibatan batalion Malaysia yang bertugas di bawah mandat PBB di Somalia itu terpadam begitu sahaja? Regimen Askar Melayu Diraja yang menyelamatkan orang askar Amerika perlulah dirai kerana telah mengorbankan nyawa kumpulannya sendiri di samping kumpulan askar Pakistan itu.
Sikap tidak peduli AS ini secara tidak langsung sudah menggambarkan bahawa operasi PBB adalah hal perjuangan peribadi Amerika semata-mata atau dalam makna lain; Amerika itulah PBB dan PBB itulah Amerika. Apakah ia ada dan sihat sebagai suatu bentuk ikatan ketenteraan antarabangsa?
DARAH TENTERA KITA MENGALIR UNTUK PIHAK LAIN
Sebagai termaklum, sejak dahulu Barat selalu menceduk pengetahuan menimba hikmah daripada selaut khazanah kita tanpa memberitahu masyarakat dunia dari mana sumber pengetahuan itu berasal.
Maka, dalam hal yang sama ini pun, sikap pendirian Barat dan Amerika juga masih tetap sama. Mereka yang tidak jujur ini juga tetap memadamkan sejarah bantuan tentera kita ke atas mereka.
Najib Razak selaku bekas Menteri Pertahanan dan kini Perdana Menteri seharusnya insaf sedar ke atas hal ini, bahawa sejak dahulu sehingga kini, darah tentera kita selalu tumpah demi orang luar dan bukan untuk rakan-rakan tentera muslimin kita sendiri.
Sejak dahulu ketika British menjajah Tanah Melayu, tenaga para pemuda muda Melayu dikerah supaya diserap dalam tentera demi memelihara kekuatan empayar British itu sendiri.
Darah tentera kita juga sejak dahulu banyak tercurah di rimba hutan belantara untuk membunuh seteru British ketika itu; komunis yang cuba mengusir British daripada penjajahannya di Malaya.
Bagaimanakah Najib Razak sampai hati melupakan tentang apa yang berlaku kepada beberapa tahanan kita yang hidup terseksa sebagai tahanan dan banduan di penjara Guantanamo itu?
Lupakah Najib bahawa Abdullah Ahmad Badawi pernah ke Amerika bertemu Bush, lalu beliau tidaklah menyentuh langsung kedudukan tahanan, banduan rakyat kita di sana. Baik Abdullah dan Najib, kedua-duanya adalah sama sahaja dalam hal ini.
PUTUSKAN HUBUNGAN KETENTERAAN KITA DENGAN AMERIKA
Entah ada berapa banyak isi perjanjian lagi yang tidak kita ketahui antara Malaysia – Amerika. Ketika mencoretkan tulisan ini, dunia sedang ghairah dengan Sukan Komanwel (asal namanya Sukan Empayar British) di Delhi, India. Ia bukan semata-mata sukan, tapi bermotifkan lanjutan daripada penjajahan.
Di Malaysia hari ini, mungkin kita telah mencapai suatu tahap agung juga kerana ruang pertahanan kita kini telah diberi pelbagai keistimewaan hingga sebuah institusi pengajian tinggi dibangunkan untuknya.
Kita telah wujudkan Universiti Pertahanan. Barangkali, di sana telah kita rumuskan penciptaan beratus-ratus peralatan ketenteraan dan barangkali juga telah ada bermacam rencana untuk kuatkan pertahanan.
Dengan segala cerdik pandai yang berada di universiti pertahanan di sana, kita tertanya-tanya juga, apa rencana mereka dalam usaha menyatukan tali persaudaraan antara tentera antara negara-negara Islam?
Atas nama kesedaran bahawa Sukan Komanwel yang bermotifkan penjajahan itu, Tidak bolehkah pula kementerian pertahanan atau pun Universiti Pertahanan menyelia dan mengelola sukan antara pasukan tentera negara-negara Islam bagi tujuan mengeratkan hubungan antara mereka?
Hal yang paling mudah dilaksanakan ialah membina liga bola sepak yang mana pasukan tentera negara Islam akan dipertemukan atas nama persaudaraan saban tahun. Semoga ia memupuk persaudaraan yang akhirnya boleh mencapai tahap perancangan Liga Ketenteraan Muslim Sedunia suatu ketika nanti.
Kita di pihak bawahan hanya boleh merancang. Menteri pertahanan tolong buat keputusan yang tepat kerana kita tidak ingin lagi darah tentera kita tercurah buat orang lain sebagai yang berlaku dalam kisah Black Hack Down itu berulang kembali.
No comments:
Post a Comment