Oleh H FANSURI
Kisah lama ini berlaku pada 2005 ketika mahasiswa Aspirasi berentap dengan Pro Mahasiswa di USM. Ketika ini, editor Berita Kampus menugaskan saya menemubual Dr Fatimah Busu.
Kisah lama ini berlaku pada 2005 ketika mahasiswa Aspirasi berentap dengan Pro Mahasiswa di USM. Ketika ini, editor Berita Kampus menugaskan saya menemubual Dr Fatimah Busu.
Bagaimanakah gerakan kemahasiswaan di USM bermula? Institusi pendidikan itu bermula sekitar 1969 ketika zaman-zaman peralihan antara mahasiswa Sosialis dan Islamis sedang mula berlaku.
Ini kerana, sejak masuknya 1970-an, gerakan mahasiswa Islam mula mengambil tempatnya, menggantikan faham Sosialis di kampus. sampai sekarang saya berasa senang mengenangkan rencana yang berdasarkan temubual bersama Dr Fatimah Busu yang mana saat itu, novel beliau The Missing Piece sedang dalam percetakan.
Rasa senang itu berlaku kerana memikirkan kemungkinan nama Perpustakaan Hamzah Sendut itu berawal daripada sentuhan nama Hamzah Sendut di dalam rencana itu.
Jadi, apabila menemubual Fatimah Busu itu, maka beliau pun bercerita mengenai kenangannya yang lalu; watak-watak mahasiswanya termasuk Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM sekarang ini. Juga, perihal mahasiswa zaman dahulu yang kini sudah pun menjadi pensyarah di universiti berkenaan.
"Sampai, ada orang cakap, kalau ada tiga mahasiswi yang bergabung semasa itu adalah Fatimah Sham, Fatimah Busu dan Zurinah Hassan, maka memang sukarlah nak dikawal," kata Fatimah Busu lagi. Itu kisah lima tahun lalu ketika saya masih berkuliah.
Dan, apabila Dialog Orang Muda (Dom) yang berlangsung di Rumah Pena baru-baru ini membawa tajuk mengenai kedudukan penulis kaum wanita, hal yang sama saya ceritakan dalam serba ketidaksempurnaan ingatan terhadap peristiwa lama. Jadi, inilah cerita yang lebih lengkap sedikit.
SURAT DARI MINDEN - FATIMAH BUSU
Kedudukan Fatimah Busu sebagai cerpenis yang menegur hal dalaman USM dengan cerpen berjudul 'Surat Dari Minden' amat dihargai Naib Canselor USM Hamzah Sendut. Fatimah Busu dipanggil dan diberikan maklumat sebaik-baiknya tentang hal USM yang serba daif saat itu.
"NC Hamzah Sendut, memuji cerpen saya lalu memberikan penjelasan mengenai kekurangan USM yang saya sebutkan dalam cerpen itu. Ketika itu, memang USM masih baharu diwujudkan," kata Fatimah lagi.
Membandingkan sikap NC dahulu dan sekarang, saya terfikir juga, apalah salahnya jika UKM4 dan kes 'Bini Puaka' itu diberi layanan sewajarnya seperti itu. Dipanggil dan dimarahi seperti biasa, tapi bukan dihukum. Marahlah mereka kalau mahu. Tapi, Kenapa sampai dihukum sedemikian rupa sehingga yang berhak mendapat anugerah dekan pun tidak diberikan?
Tapi kita ingin bercerita mengenai penulis wanita di sini, bukan UKM4 dan 'Bini Puaka'. Begitulah bagaimana kedudukan Fatimah Busu dengan cerpen 'Surat Dari Minden'.
SAJAK PROTES ZURINAH HASSAN
Kemudian, apabila mengetahui bahawa Zurinah Hassan turut terlibat dalam gerakan persuratan kemahasiswaan, maka saya hubungi beliau. Dalam telefon, beliau membacakan sajak protes beliau dan saya mencatatnya kembali ke atas sehelai kertas. Ketika jiwa rasa kosong ditekan HEP, naluri pun keluar memberontak menagih pengisian dan mengemis perhatian.
Maka, sajak Zurinah itu saya renung setiap hari sebelum ke kuliah dan memoir Said Zahari Meniti Lautan Gelora itu saya baca ketika waktu-waktu yang senggang tersisa. Kedua-duanya adalah resipi ramuan yang mesti dibaca untuk menaikkan semangat juang supaya tidak rasa sendirian ketika itu. Ya, saya terhutang budi kepada bahan-bahan bacaan begini.
Dan, inilah sajak yang digubah seorang penyair wanita dalam tempoh-tempoh keramat kebangkitan mahasiswa USM 1970-an itu; Kita Perlu Bersuara Setelah Diam Yang Lama.
KITA PERLU BERSUARA SETELAH DIAM YANG LAMA
Hujan telah turun,
tutuplah semua jendela,
mari kita bicara sekuat suara di luar,
mencurahkan kata-kata selepas dendam yang lama.
Hujan telah tiba kita tidak perlu berdusta,
kekaburan sedang memangku bagai ibu,
melindungi dari mata-mata yang mengawasi gerak laku.
inilah waktunya,
rumput-rumput yang dilecuri ketakutan,
bangun kembali mengumpul kata-kata,
yang terbiar bergantungan,
di ujung bibir yang lebam,
bangun kembali mengurut dada,
yang hampir pecah oleh rahsia.
Biarlah hujan berburu ke bumbung,
kita telah menutup jendela,
dari malam yang sombong.
Sajak ini termuat di dalam buku puisi; 'Di Sini Tiada Perhentian' (1977). Ia dirakam pada Disember 1974 ketika Rusuhan Baling pada tahun yang sama.
Di sini hujan dinisbahkan sebagai pihak atasan. Manakala rumput-rumput itu pula mewakili kelas bawahan termasuk kaum mahasiswa. Tapi, tunggu dulu. Rupanya, Zurinah pernah terhimpit dan cuba dibatasi kegiatannya di dunia penulisan sejak awal-awal pembabitannya di sekolah lagi. Kisah beliau dipandang serong oleh pihak sekolah ini diungkap sebagai berikut:-
"Pada sangkaan saya, saya telah menjadi seorang remaja yang berguna dan tahu menghargai masa serta bakat yang dikurniakan oleh Allah. Tetapi agak malang kemudiannya apa yang terjadi tidaklah seperti yang saya sangkakan. Saya telah dipanggil dan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah kerana dituduh sengaja meletakkan nama dalam akhbar untuk mencari populariti. Ini berikutan banyaknya surat peminat yang sampai ke sekolah. Saya ditegah sama sekali daripada menulis lagi dan menghantar karya ke ruangan akhbar. Saya berasa amat sedih dan kecewa..." --- [Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, 2003:25]
PENDIRIAN SUTARDJI
Tapi, mutakhir ini, kebanyakan pengarang wanita dilihat asyik menulis hal-hal cinta, kurang menyentuh kemasyarakatan, politik. Kalau pun ada, sangat sedikir. Keadaan inilah yang barangkali menyebabkan penulis wanita dinilai berbeza berbanding penulis lelaki.
Sekali peristiwa, ketika berkuliah menekuni puisi di Samarinda, saya mendengar pennyair Indonesia Sutardji Calzoum Bachri, berkata, bahawa kaum penulis wanita sejak zaman ini memang menukang novel cintanya dengan rasa malu. Hal ini tidaklah seperti lelaki yang lama benar bergelumang dalam penulisan novel erotis.
Mulanya, saya tidak pasti ia ditujukan kepada siapa. Sehinggalah, bisik-bisik orang sastera yang sampai ke telinga lalu menyebutkan nama Ayu Utami dengan novel Saman. Bagaimanapun saya selesa dengan kritikan halus Happy Salma, juga penulis wanita Indonesia.
Demikianlah perjalanan hidup kaum penulis wanita yang masih panjang. Saya secara peribadi sedang menunggu penulis wanita yang boleh menulis Surat Dari Minden seperti Fatimah Busu yang akhirnya dipanggil NC USM berhubung cerpennya itu.
Saya sedang menyemak kalau-kalau ada penulis wanita yang sejak zaman pelajarnya pernah dipanggil mengadap oleh pihak sekolah oleh sebab banyaknya surat peminat yang hadir tiba di sekolah, seperti yang dilalui Zurinah.
Atau, kita sedang menantikan kiriman sajak protes seperti 'Kita Perlu Bersuara Setelah Diam Yang Lama' seperti Zurinah itu.
Kita tidak boleh mencetak keberanian, kita hanya boleh mencetak fakta-fakta dan mencetak manusia yang bijak melalui sekolah dan universiti. Keberanian hanyalah tercipta melalui nyalaan iman yang dicucuh iltizam dan dibancuh warna penderitaan yang mereka lalui sendiri dengan penuh kefahaman. Ya, keberanian itu bukannya boleh direka-reka.
Kita juga menantikan sajak, cerpen pengarang wanita yang boleh mengupas ulas 'Belanjawan Seluar Dalam' yang dibentangkan Najib Razak. Sebagai termaklum, belanjawan itu membangun panasaran dalam kalangan umat kalau-kalau belanjawan itu berawal daripada nasihat Rosmah.
No comments:
Post a Comment