Oleh H FANSURI
Terlalu banyak rupanya kisah dan penemuan terbaru sepanjang minggu ini hingga sulit membuat pilihan untuk memilih kisah yang mana satukah yang sepatutnya dahulukan.
Seorang teman Facebook, memberitahu kehadiran lagu Rosmah Mansor yang berlegar beredar di karaoke Johor Bahru baru-baru ini; 'If Tomorrow Never Comes' (Ronan Keating). Liriknya agak menarik dikupas ulas. Saya sedang membuka kertas siasatan berhubung lagu dan lirik ini.
Tiba-tiba, datang berkunjung seorang rakan yang memperihalkan kewujudan Kelab An-Ni'mati. Maka, niat awal untuk mengupas ulas kisah cinta Rosmah Mansor terhadap Najib Razak lewat lagu 'If Tomorrow Never Comes' itu terhenti seketika.
Kita perlu mendahulukan keutamaan ke atas orang-orang mujahid dakwah. Kalangan politikus itu bolehlah kita abaikan bila-bila. Mereka tidak penting bagi kita. Tanpa mereka sesiapa pun boleh kita angkat sebagai pemimpin.
Contohnya, katakan Najib Razak ditangkap dilarikan pasukan tentera Mongolia, apakah Rosmah akan bertindak sebagai serikandi, sanggup menyamar sebagai lelaki sebagai Siti Zubaidah yang menyelamatkan suaminya Raja Darman Syah dari Campa (kini Vietnam) yang ditahan di China itu? Bak kata orang Venezuela, Amerika Latin, "Nada!" (Sekali-kali tidak!)
Jikalau Rosmah pun tiada berkehendak membantu suaminya yang ditangkap tentera Mongolia, apa lagi kita, rakyat yang menanggung azab bebanan oleh Belanjawan Seluar Dalam itu?
Ditakdirkan Najib Razak mati di Mongolia, seribu pemimpin bermutu akan tampil. Jadi, kita peduli apa? Selama ini pun, Najib Razak pedulikah rasa hati kita? Atau, dia hanya pedulikan Rosmah sahaja?
Jadi, kita tidak perlu khuatirkan dengan kematian Najib Razak. Tapi, kita perlu menyimpan banyak kesedihan dalam dada dengan pemergian hatta seorang pun orang soleh dalam kalangan kita. Lewat lisan sabdaan baginda Rasulullah s.a.w itu kita mengetahui bagaimana caranya Tuhan mengangkat ilmu daripada umat ini.
Ulamak dipanggil pulang, ilmu berkurangan, kesesatan berleluasa
"...Dengan cara mematikan ulama' (orang soleh, bijak pandai)," kata nabi. "Sehingga apabila tiada orang bijak pandai, manusia akan melantik orang jahil dalam kalangan mereka. Penguasa jahil ini akan diminta jawapan tentang persoalan hidup mereka, lalu jawapan mereka itu sesat dan akhirnya menyesatkan yang lain..."
Bagi mereka yang mengenali peribadi, perawakan sosok Al-Fadhil Ustaz Syeikh Ni'mat Yusoff ini, mereka tidak akan lepas bebas daripada Maahad Tarbiah Islamiah (MTI), Dehrang, Kedah.
Ruangan yang begitu terhad ini tidak mampu membariskan banyak hal mengenai kegiatan kesenian arwah Ustaz Ni'mat dalam dunia pementasan teater dan seni gubahan sajak. Beliau seangkatan dengan Shahnon Ahmad ketika zaman-zaman kegemilangan mereka.
Namun dengan sebab penumpuannya di dalam bidang dakwah itu terlebih banyak, maka kegiatan kesenian dan kebudayaan beliau pada zaman muda tampak tidak terserlah hari ini.
Sebuah sajak panjang Puzi Hadi barangkali boleh memberikan sedikit gambaran berhubung karya-karya puisi beliau yang tersiar di beberapa buah majalah dan akhbar pada suatu ketika dahulu.
Pada sajak Puzi Hadi ada beberapa tajuk puisi Ustaz Ni'mat yang terangkum di dalamnya. Saya pernah berkesempatan membaca buku kumpulan puisinya yang diberi judul; AN-NI'MATY.
Dan, baru-baru ini beberapa pendokong MTI di Dehrang baru-baru ini mengambil inisiatif untuk melancarkan penubuhan Kelab An-Niamati pada 5 November, 2:30 petang di Dewan Masjid Al-Husna, Bandar Sunway, Selangor.
Benar kata orang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Kata tokoh pemuisi sufi, Jalaluddin Rumi, apabila seseorang yang mulia itu mati, jangan dicari dia pada kuburnya, kerana kuburnya sudah ada pada dada manusia!
No comments:
Post a Comment