Monday, November 08, 2010

Antara Paul, ilmu gelap sihir dan Rosmah

Oleh H FANSURI
 
Sotong kurita Paul The Octopus (Paul) ditemui mati dalam akuariumnya di Oberhausen, Jerman pada usia dua tahun setengah.
Paul mula melonjak terkenal pada musim Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dengan ramalan tepatnya mengenai pasukan bola sepak yang bertanding. Rupanya ia cuma mampu meramal kemenangan masa depan pasukan bola sepak tapi tidak mampu meramal kematian sendiri. 
 
Lalu hati orang pun dipalingkan rasa kasihnya ke atas haiwan itu. Selepas kejohanan Piala Dunia misalnya, sebuah zoo Sepanyol membuat tawaran pertukaran untuk Paul, tetapi pemilik Jerman enggan menjualnya.
 
"Paul akan disimpan dalam bekas simpanan sejuk sehingga pusat itu memutuskan bagaimana mengenangi kehidupan luar biasa haiwan itu," kata mereka.

"Kami mungkin menyediakan tempat bersemadi kekal untuk Paul dan membangunkan sebuah makam khas."

Barangkali, beginilah cara bagaimana benih-benih kepercayaan mitos jahiliyyah bercambas tunas sejak awal kewujudan tamadun. Dan, ia kemudian berakhir dengan ukiran patung haiwan itu untuk dipuja sembah.

Tilikan Paul itu pernah menyebabkan permintaan bagi bon Kerajaan Sepanyol melonjak naik. Tidak cukup dengan itu, kakitangan Pusat Kehidupan Laut Oberhausen di Jerman Barat dalam satu kenyataan, berkata, mereka 'amat sedih' ketika mengetahui kematian Paul ketika ke pejabat baru-baru ini.

Kematian Nabi Sulaiman a.s
 
Kematian Paul dikatakan berlaku sebelum final Piala Dunia. Semua spekulasi ini tumbuh sebagai suatu usaha untuk menjawab hal-hal yang tidak mampu mereka jawab sebelum ini.

Kematian Paul mengingatkan kita terhadap cara kewafatan Nabi Sulaiman a.s yang mati dalam keadaan berdiri. Jin juga tidaklah mengetahui tarikh sebenarnya kematian baginda. Kata mereka, jika mereka mengetahui kedudukan nabi itu, nescaya mereka boleh melarikan diri daripada tugas itu.

Antara cakap-cakap lain yang berlegar dengan kerap merayap ke dalam lubuk pemikiran jahiliyyah ialah haiwan itu mati sebelum itu lagi. Kita sendiri tidak mengetahui secara tepatnya bagaimana dan bilakah kematian sotong peramal itu.

Peramal yang berakhlak baik mungkin wali-wali dan orang soleh. Manakala ramalan yang dibuat peramal soleh yang didasari mimpi itu ada kaitan dengan nabi-nabi.

Tetapi, peramal Paul seekor sotong tetaplah seekor haiwan yang tidak boleh diangkat sebagai ahli sihir. Apa yang menyebabkan dengan tiba-tiba haiwan itu boleh meramalkan masa depan pasukan bola sepak itu tetap menjadi pertanyaan.

Kahin-kahin peramal

Disebutkan juga mengenai kedudukan kahin-kahin; wanita peramal pada zaman dahulu. Gelar kahin itu akrab kepada manusia Yahudi yang mampu membuat ramalan. Hampir kebanyakan mereka adalah wanita-wanita penyihir.

Dengan berlalunya masa, kahin-kahin ini mungkin sudah bertukar rupa parasnya sesuai dengan arus kemodenan. Adalah dipercayai, bahawa nama-nama Yahudi seperti 'Cohen' (keluarga Cohen) ini ada kaitannya dengan kahin-kahin wanita peramal daripada bangsa Yahudi itu.

Kaum wanita pengamal ajaran sesat yang banyak berdampingan dengan jin inilah yang paling banyak mendapat maklumat dari alam ghaib lalu menyebarkan ramalannya ke atas manusia guna menyesatkan mereka sendiri.

Meramalkan kejatuhan Rosmah Mansur

Mutakhir ini, sudah ada gerakan menubuhkan Akta Pencegahan Sihir. Ini suatu perkembangan baik. Di sekolah-sekolah perubatan, perlu ada dua ijazah kedoktoran; kedoktoran yang merawat penyakit zahir dan kedoktoran yang merawat penyakit batin.

Seperti di UIAM yang menawarkan dua bentuk ijazah perundangan; undang-undang sivil dan undang-undang syariah maka demikianlah juga halnya dengan pusat-pusat pengajian yang menawarkan kursus ijazah ilmu kedoktoran perubatan.

Jadi, jika pesakit itu tidak dapat dikenalpasti penyakit melalui peralatan moden, maka doktor yang mendapat bimbingan latihan dalam ilmu kerohanian, rawatan alternatif boleh menggunakan kaedah kedua untuk memeriksa jika pesakit ada gangguan rohani.

Polis-polis penguatkuasa untuk menangkap ahli sihir yang membuat ilmu tuju-tuju dan santau perlu juga diwujudkan sebagai satu langkah persediaan. Dalam Muktamar Abim ke-26 (1996) Presiden Abim ketika itu Dr Muhammad Nur Manuty pernah menyebut di dalam ucapan dasarnya berhubung masalah pemimpin politik kita yang masih juga terjebak dengan amalan sihir ini.

Mereka ini mungkin membuat pelbagai onar dan masalah dalam negeri; menjatuhkan orang dengan santau, menyekat undi orang lain dengan sihir dan lain-lainnya. Mutakhir ini, serangan ke atas isteri PM terlalu berat khasnya dalam isu melibatkan sihir ini.

Atas nama cinta dan kasih sayang kita kepada beliau, maka hendaklah dijatuhkan hukuman terhadapnya jika benar beliau terjebak dalam amalan itu. Akta pencegahan Sihir sedang dirangka. Apakah isteri PM akan turut menerima hukuman berdasarkan akta ini?

Kita pun tidak mahu menjadi seperti sotong Paul yang meramalkan kejatuhan isteri PM gara-gara onarnya ini. Bagaimanapun, kita teringat bagaimana seorang agamawan di Rusia yang meramalkan kejatuhan Tzar di negara itu.

Juga, kalau pun bukan isu ilmu sihir, isteri PM tentunya membaca sejarah kejatuhan Permaisuri Perancis yang mewah berbelanja, Marie Antoinette yang dijatuhkan rakyat selepas berkata, "Kalau tidak ada roti, maka makanlah kek!"

Isteri PM cuma boleh memilih dua cara untuk jatuh. Sebagai peramal masa depan, kita cuma mahu bertanya, adakah isteri PM mahu dijatuhkan dengan dakwaan berhubungan ilmu hitam atau pun dijatuhkan rakyat dengan sikap membazir dan mewah berbelanja?

No comments: