Monday, November 08, 2010

Kelaparan penulis dan syor baharu atasi perlanggaran hak cipta

Oleh H FANSURI

Kaum penulis sejak dahulu hingga kini sering dilihat sebagai kelompok manusia bukan kaya. Namun, pandangan itu perlahan-lahan sudah berubah. 
Bagaimanapun, keadaan itu masih juga tetap berlaku. Diriwayatkan bahawa Karl Marx, pengarang Das Kapital, juga dianggap 'nabi' pengasas aliran mazhab komunis adalah juga seorang miskin yang mengarang dalam keadaan perut lapar!

Kelaparan yang berpunca daripada kemiskinan sangat berbahaya. Hadis nabi menyebutkan bahawa kemiskinan itu menjerumuskan kita ke lembah kekufuran. Maka, usaha membasmi kemiskinan itu adalah juga usaha membasmi kelaparan. Sebab itu, kalangan khalifah adil terdahulu sanggup mengendong gandum ke rumah orang miskin untuk membasmi kemiskinan dan kelaparan ini.

Barangkali, sebuah sajak W S Rendra di bawah ini boleh ditinjau mengenai betapa bahaya dan azabnya kelaparan ini. Ia dikutip daripada kumpulan puisi, 'Sajak–sajak Sapatu Tua' (Pustaka Jaya – 1995).




DOA ORANG LAPAR

Kelaparan adalah burung gagak
yang licik dan hitam
jutaan burung-burung gagak
bagai awan yang hitam.

Allah!
burung gagak menakutkan
dan kelaparan adalah burung gagak
selalu menakutkan
kelaparan adalah pemberontakan
adalah penggerak gaib
dari pisau-pisau pembunuhan
yang diayunkan oleh tangan-tangan orang miskin.

Kelaparan adalah batu-batu karang
di bawah wajah laut yang tidur
adalah mata air penipuan
adalah pengkhianatan kehormatan.

Seorang pemuda yang gagah akan menangis tersedu
melihat bagaimana tangannya sendiri
meletakkan kehormatannya di tanah
karena kelaparan
kelaparan adalah iblis
kelaparan adalah iblis yang menawarkan kediktatoran.

Allah!
kelaparan adalah tangan-tangan hitam
yang memasukkan segenggam tawas
ke dalam perut para miskin.
Allah!
betapa indahnya sepiring nasi panas
semangkuk sop dan segelas kopi hitam.

Allah!
kelaparan adalah burung gagak
jutaan burung gagak
bagai awan yang hitam
menghalang pandangku
ke sorga-Mu.

W S RENDRA

Penulis miskin dan tamak boleh dibeli kapitalis

Golongan penulis miskin mungkin boleh dibeli. Tapi, bukan semua mereka yang bersikap begitu. Masih ada penulis miskin tetapi hidupnya berfalsafah dan berprinsip. Yang boleh dibeli adalah penulis yang tamak. Penulis yang tamak dalam kalangan si miskin dan kaya sekali pun boleh dibeli untuk kepentingan pemodal kapitalis.

Seorang pemilik akhbar atau pemegang lesen akhbar yang hidupnya tidak berprinsip dan tidak bermoral akan sanggup membiar diri mereka dibeli. Lalu, lidah akhbar mereka akan menyebarkan laporan yang berkaitan dengan keuntungan peribadi kapitalis itu.

Penulis itu menjadi kaya mungkin juga disebabkan sikap penerbit yang tidak membayar hak mereka. Maka, setiap penulis perlulah selalu mengemaskinikan pengetahuan mereka berhubung isu-isu yang terkait dengan hak cipta.

Kebetulan baru-baru ini, saya menghadiri kolokium berhubung hak cipta di Pagoh anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ). Maka di dalam ucaptamanya, antara yang disebut oleh Ketua 1 PPJ Amiruddin Md Ali Hanafiah ialah kaum penulis di negara ini mempunyai peluang untuk menjadi kaya.

Tapi, oleh sebab kekeliruan antara mereka berhubung hak cipta ini, maka ramailah yang tidak dapat menuntut hak mereka semula dengan cara yang sepatutnya.

Antara syor yang menarik perhatian saya ialah kira-kira lapan syor baharu yang beliau timbulkan lewat ucapannya itu ialah hal yang berkaitan dengan pendedahannya berhubung kedudukan teks khutbah imam dan khatib yang juga dilindungi akta hak cipta.

"Jadi, saya rasa mungkin pada suatu masa nanti perlu diadakan Kursus Hak Cipta Kepada golongan Khatib dan Imam," kata beliau.

Selain itu beliau turut menyarankan para penulis supaya membuat salinan ke atas karya mereka dengan meletakkan nama, catatkan tarikh pada karya. Perkara ini perlu kerana tarikh adalah kayu aras yang boleh dijadikan hujah di mahkamah seandainya ada pihak yang mencuri harta intelek kita kemudian hari.

Untuk itu, tambahnya pelajar-pelajar sekolah boleh menjilid hasil tulisan itu dan menyerahkannya kepada pustaka sekolah.

Antara lain, beliau mencadangkan penubuhan Sekretariat Pendaftaran Hak Cipta Penulis melalui kementerian yang ada kaitannya dengan hak cipta. Bagi mempertahankan hak penulis yang memiliki tempoh sepanjang 50 tahun, maka beliau mencadangkan agar para penulis mewujudkan Penama, Pemegang Amanah atau Pewaris kepada pemunya hak cipta.

Dengan cara ini, semoga hasil karya itu tercurah buat keluarganya selepas 50 tahun itu. Selain itu, Amiruddin turut cadangkan penubuhan Badan Penguatkuasaan Hak Cipta Penulis di Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Beliau turut menyentuh hal kewujudan tribunal yang khas bagi menyelesaikan tindakan berhubung undang-undang.
"Saya fikir, (dalam hal ini) perlu ada pertemuan dengan badan penulis tanah air dan penerbit bagi memperjelas fungsi tribunal ini agar diketahui oleh penulis..." kata Amiruddin yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena).

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan Skim Pelesenan Hak Cipta Penulis. Akhirnya, beliau mengesyorkan agar diwujudkan Badan Hak Cipta Penulis yang akan membantu penulis memungut bayaran daripada penerbit yang menerbitkan karya-karya mereka.

Beberapa pendapat baharu itu mungkin ada sebahagiannya yang boleh didebatkan kemudian jika penulis di negara ini berasa tidak serasi dengannya. Apa yang paling penting, jika syor-syor ini diterima, maka kepentingan penulis akan terbela dengan baik.

Syahadan, demikianlah kisahnya. Penulis di negara ini bukan boleh menikmati peruntukan belanjawan negara. Mereka bukan isteri PM yang dengan mudah mengambil karya lagu dan lirik If Tomorrow Never Comes.

Penulis mengerahkan bahan fikiran, memaku gagasan, memahat kata-kata ucapan bicara dengan segenap bancuhan tenaga fikirnya tertumpah tercurah di balik coretan garis dan baris cerita derita. Itu beza dengan Rosmah. Hal menyanyikan lagu If Tomorrow Never Comes hanya melibatkan 'pitching' suara dan bukan akal fikir yang diperah!

No comments: