Monday, November 01, 2010

Karya sastera menghebah gambaran kehancuran negara bangsa

Oleh H FANSURI

Ketika berpergian ke Singapura, saya ke Masjid Sultan. Ada gambar masjid itu yang runtuh separuh atau sebahagian kecil gara-gara diserang bom oleh tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Kebinasaan boleh hadir di mana-mana, tapi siapa yang mencatatnya? Jawapan mudah setakat ini, mereka yang mencatat itu adalah kelompok manusia bijak, penyair, pendeta. Dari belahan dunia Barat, ada Nostradamus yang meramal jatuh bangun bangsa dan perang masa depan. Tiba-tiba, hasil renungan peramal sastera itu diangkat jadi 'wahyu'.

Al-Quran adalah 'karya agung' yang mengungkap sastera tinggi hingga dengan kekuatan itu ia mencabar kewibawaan penyair Arab. Ia tidak hanya mencabar, malah menggali khazanah pengetahuan tidak terjangkau dalam alam fikiran para penyair.

Misalnya, adakah penyair Arab mengetahui kedudukan Kota Ubar (Kota Iram) yang dihuni kaum 'Aad yang ingkar ke atas dakwah Hud a.s? Mereka tidak mengetahui garis kehidupan masa lalu.

Tapi Allah meriwayatkannya dengan bahasa sastera tertinggi guna merebakkan keinsafan. Ini suatu petunjuk bahawa karya sastera juga berperanan meriwayatkan cerita kejatuhan manusia dan peradaban dengan tujuan membangkitkan keinsafan agar manusia tidak memilih jalan kehidupan yang sama dengan peradaban yang pernah musnah itu.

Kota Iram misalnya adalah kota yang dipenuhi warna-warni oleh wajah kemasyhuran yang terkait dengan bangunan tinggi. Dan, hal inilah yang perlu diingatkan kepada PM Najib Razak dan BN yang ghairahkan menara. Jangan diulangi kesilapan sama!

Singapura terbakar

Selain Al-Quran yang memperihal kisah Iram yang terkenal dengan kehebatan bangunan menara tinggi, ada karya yang sentuh hal kemusnahan negara. Menyaksikan Masjid Sultan runtuh diserang bom Jepun, teringat kita kepada Sajak Singapura Terbakar dan keruntuhan Iram.

Semua ini melahirkan lebih banyak persoalan bersifat falsafah. Misalnya, adakah wajar C4 digunakan bagi meletupkan Altantuya walhal bom lazimnya digunakan dalam peperangan untuk menentang ancaman musuh luar yang ramai. Adakah Altantuya musuh negara atau cuma musuh seorang pemimpin negara yang enggan membayar komisennya?

Kita tinggalkan soalan falsafah itu buat Najib dan Rosmah. Yang mustahak diperihal di sini adalah syair Singapura terbakar. Ia gubahan Abdullah Munsyi yang meriwayatkan kebakaran besar di Singapura pada zaman kolonial. Beliau menulisnya pada 1830 namun baharu menerbitkannya pada 1843.

Ia diterbitkan sekali gus dalam Latin dan Jawi pada 1843. Dalam syair ini, beliau menceritakan kebakaran dahsyat di Singapura pada 1830. Syair ini juga disebut sebagai Syair Kampung Gelam Terbakar.

Pembunuhan Tun Jana Khatib

Singapura pernah dihukum dengan kepungan ikan todak. Hal ini berlaku ekoran pembunuhan seseorang yang dipercayai wali Allah; Tun Jana Khatib dari Pasai yang menyebarkan dakwah di pulau berkenaan.

Ditinjau hadis qudsi, "Jika ada yang memusuhi wali-wali-Ku, maka Aku mengisytiharkan perang ke atas mereka", maka kita faham perihal kedudukan sebenar Tun Jana Khatib itu.

Sementara itu, di Acheh, amalan dan fahaman dan buku-buku keagamaan pengetahuan mistik Hamzah Fansuri dan rakan-rakan ulamak seangkatan dengannya dibakar. Acheh juga dilanggar Belanda.

Masih saya ingat kata-kata Ustaz Wan Mohd Saghir berhubung hal membakar karya-karya ulamak Acheh. Katanya, "Mungkinkah dengan sebab ini, maka timbulnya tsunami di Acheh?"

Itu kali pertama dan terakhir saya menemubualnya. Kita sememangnya tidak tahu sikap dan pendirian Tuhan dan bagaimana Tuhan mahu bertindak. Tapi, masing-masing kita berhak mencetak pendapat dan menerbitkan buah fikiran kita sendiri.

Hari ini, Padang dilanggar tsunami, dan sebelumnya gempa di Tasekmalaya dan saya melihat ketakutan orang-orang yang rumahnya bergegar dilanda gempa di Jogjakarta. Penghuninya tidak berani tidur dalam rumah, melainkan di laman sahaja kerana bimbangkan atap rumahnya runtuh buat kali kedua.

Melewati sebatang lorong kecil di balik puing-puing runtuhan itu, seorang gadis menegur agar tidak lewat di situ. "Nanti runtuh, mas," katanya. Saat bersolat dalam surau retak sekali pun, seorang penduduknya mengingatkan agar tidak bersolat di dalamnya. Memang mereka sendiri solat berjemaah di luar surau itu.

Tidak diketahui bentuk petaka semacam apa yang menggoncang dada sehingga terancam trauma. Ketakutan mereka sulit dirakam kata-kata. Tapi, kisah 2007 itu sudah berlalu.

Yang perlu kita sedia ialah mencari peramal untuk menulis syair Malaysia dilanggar gempa seperti Nostradamus, atau penyair Abdullah (Singapura terbakar) atau Tun Seri Lanang (Singapura dilanggar todak). Paling tidak, ia jadi catatan ke atas kezaliman Najib yang mahu Menara Warisan, warisan keangkuhan rakyat Iram. Boleh kita letak di arkib jika Umno dimuziumkan.

No comments: