Tuesday, November 30, 2010

Mimpi Kota Sastera bukan dosa, kampung sastera bagaimana pula nasibnya?

Oleh H FANSURI

Seorang sahabat pernah bermimpi. Dalam impiannya, dia mimpikan Kuala Lumpur akan menjadi naga dengan ekor perkasanya tangkas menggelepar membunuh wajah-wajah kemunafikan manusia. 


Wajahnya kota kuala ini mahu dimartabat menjadi Kota Sastera. Di dunia ini, mimpi adalah bahagian daripada kehidupan. Membunuh mimpi adalah membunuh kehidupan.

Tiada kehidupan bagi mereka yang tidak menyukai mimpi dan angan-angan. Mimpi juga adalah sejenis hidangan santapan jiwa insan yang sedang hanyut dibuai arus nyenyak pada malam hari. Seperti mana orang yang sedang berjaga akan ada makan minumnya, maka mimpi itu bagaikan juadah santapan jiwa manusia yang sedang tidur.

Mimpi itu akan disesuaikan dengan keadaan kesesuaian rohani manusia. Mungkin mimpi itu kadangkala mengandungi zat-zat nutrien yang disesuaikan dengan keperluan jiwa manusia itu sendiri.

Mimpi adalah ruji, akan menjadi makanan jiwa dan apabila manusia bangun dia akan menjadi ceria dengan mimpinya. Tapi ada juga manusia yang terpaksa menelan makanan mimpinya yang menggerunkan. Mimpi itu akan membunuh jiwanya dan dia akan menjalani kehidupan yang tidak bermaya akibat terkesan dengan mimpi seram semalam.

Demikianlah betapa hebatnya kuasa dan pengaruh mimpi itu yang tidak disedari orang-orang. Firaun, Namrud dan Herod mengalami mimpi yang sama; seorang anak kecil naik ke singgahsana mereka, lalu membuang mahkota.

Nujum peramal memberitahu, akan lahir anak lelaki yang merebut kekuasaan mereka. Ditakdirkan Tuhan, Musa a.s telah menyanggah Firaun, Ibrahim a.s menentang Namrud dan Isa a.s melawan kekuasaan Herod.

Mimpi Al-Malik Mesir ditafsir oleh Yusuf a.s, lalu baginda pun menawarkan formula; "Hendaknya Mesir menyiapkan bekalan gandum selama 7 tahun yang subur ketika akan menghadapi tujuh tahun kegetiran hidup di Mesir selepas tahun-tahun kesuburannya."

MIMPI MEMBINA NEGARA DAN KOTA

Demikian ajaibnya kuasa mimpi. Hakikat ini jarang-jarang disedari orang-ramai. Ketika mengikuti Mastera di Samarinda, saya belajar daripada penyair Indonesia, Sutardji Calzoum Bachri dalam kuliahnya.

Beliau dengan kerap mengingatkan bahawa ucapan perjanjian yang diikrar saat penubuhan Indonesia itu adalah puisi. Itulah juga mimpi-mimpi anak bangsa. Beliau merujuk kepada ucapan ...

    "... tanah air kita satu
    bangsa kita satu
    bahasa kita satu
    bendera kita satu! ..."


Saat itu, beberapa buah wilayah berpecah lalu disatukan dalam angan-angan, mimpi dan cita-cita menubuhkan negara dengan satu bahasa, bangsa di bawah kibaran satu bendera.

Betapa hebat kuasa mimpi sebagai zat santapan jiwa, dan sebagai mana sunnah nabi yang tidak mencela mana-mana hidangan, maka kita tidak boleh mencela mimpi orang lain kerana mimpi itu adalah hidangan dan santapan jiwanya ketika dia berhubung dengan Tuhannya. Ingatlah, Martin Luther terjulang namanya menjadi terkenal setelah berpidato dengan laungan I Have A Dream!

Tuhan mencipta alam buana ini dengan ayat-ayat puitis; Kun Fayakun. Ketika wujud angan-angan mencipta manusia, perisytiharan Tuhan dihebahkan dengan ayat puitis - "Aku Pencipta Khalifah di atas muka bumi."

Maka, terbit seluruh isi alam yang dikatakan 'Ayat-Ayat' (isyarat lambang kuasa Tuhan). 'Ayat-Ayat' itu terbit terbina hasil ucapan Kun Fayakun.

Begitu dengan ayat 'mengkotakan kata-kata'. Mana yang terbit lebih awal? Kota atau kata? Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata (W S Rendra) menunjukkan bahawa sebelum berjuang, maka obor perjuangan itu dinyalakan dengan hembusan nafas kata-kata.

Tanpa roh (rih, angin, oksigen) tidak akan hidup nyalaan api (matahari) yang menerangi alam.

Juga, jangan dilupakan bahawa kita ada falsafah mengenai pembangunan kota. Kota, menurut Ibnu Khaldun dalam Al-Mukaddimah, adalah tempat pengembangan ilmu. Kebanyakan wali Allah tinggal di kota kelahiran ilmu pengetahuan.

Contohnya, Hasan Al-Basri di kota Basrah, Junaid Al-Baghdadi dari kota Baghdad dan Ibnu 'Athaillah Al-Askandari dari kota Iskandariah adalah wali-wali Allah yang mendiami kota dan bandar.

Hari ini, Mohd Najib dan Ng Yen Yen sudah membawa sekarung guni mimpi kemakmuran; mahu menjadikan kota sebagai pelabuhan, hub hiburan malam. Kota-kota kita di bawah tadbiran Mohd Najib adalah mimpi ngeri buat kita.

Negara kota ini akan menjadi tempat simpanan pelacuran, arak dan berlabuhnya kegiatan yang bercanggah dengan mimpi kota-kota yang kita cita-citakan, iaitu kota milik para wali, milik para penyair.

Mengendong mimpi Najib ertinya menjadikan membawa lebih ramai wanita murahan dan kaum lelaki yang liar dari ceruk dunia, dari merata pelosok alam, dari Perancis sehingga Mongolia.

Makna dan falsafah mimpi pembinaan kota dalam tafsiran kapitalis Najib adalah, kota itu tempat pentadbiran dan pusat kegiatan iktisad, ekonomi sahaja.

Sedangkan peradaban Islam kita menawarkan faham kota sebagai tempat pengaliran dakwah dan ilmu. Atas dasar ini Empayar Melayu Melaka menempa namanya sebagai tempat berkembangnya dakwah, sama seperti sifat negara-negara Melayu terdahulu sebelum tibanya pengaruh penjajah. Semuanya kerana kita ada falsafah yang kuat mengenai kedudukan kota itu sendiri.

MENUNGGU LIMPAHAN PROTES PENYAIR

Begitu juga dengan cita-cita menyelamatkan kampung sastera di ibu kota ini. Jika tidak dipertahan, kawasan ini akan dipugar untuk orang-orang liar.

Dengan wujudnya manusia liar di kota, maka wali-wali sudah berhijrah ke pergunungan, beruzlah jauh daripada pandangan manusia di desa pinggiran kerana tidak tertahan dengan deruan godaan kota yang dihuni orang liar.

Namun, kampung warisan ini yang dihuni manusia baik akan tertimbus oleh rancangan pembangunan yang falsafahnya tidak memihak kepada kebaikan. Apakah penyair kota akan tinggal berdiam atau akan melimpahkan protes tanpa bertangguh?

Kita mesti beri mereka pilihan, apakah mahu tenggelam dalam curahan darah rakyat atau direntung hangus dalam bahang sengketa umat?

No comments: