Tuesday, December 07, 2010

Adik beradik Al-Attas antara pengasas terawal Gerakan?

Oleh H FANSURI

Perkataan orang-orang politik ini kita mesti selalu teliti kebenarannya. Dan, pada kebiasaannya, ucapan ahli akademik ini jauh lebih berguna dan bermanfaat buat kita semua, kecuali ahli akademik yang telah curang kepada pegangan dan terbabas daripada landasan iktikad akademik mereka.

Ahli akademik yang curang dengan ahli masyarakatnya barangkali samalah kedudukannya dengan alim ulamak yang curang dengan umat kerana dia sanggup menggadai ilmunya demi keredhaan pemerintah yang zalim. Jadi, hanya ahli akademik yang terus setia kepada kebenaran yang perlu kita ikuti.

Terbaru, bekas Presiden Gerakan Lim Keng Yaik berkata, “Dr Lim Chong Eu adalah pengasas Gerakan dan berjaya membimbing serta membangunkan parti berdasarkan ideologi dan prinsipnya. Chong Eu juga bapa Pemodenan Pulau Pinang.”

Dalam suatu temu bual bersama Keng Yaik tidak lama dahulu, beliau mengakui bahawa antara beliau dan Koh Tsu Koon jauh bezanya daripada segi kelayakan akademik.

“Dia (Koh) pensyarah universiti, saya ini cuma 'street fighter' (pejuang jalanan) sahaja,” kata beliau. Ini mungkin kerana latarbelakang Koh Tsu Koon sebagai pensyarah Universiti Sains Malaysia, sedangkan kedudukan beliau sebelum ini cuma demonstran sahaja.

Koh yang pernah mengajar di USM, Pulau Pinang sekitar 1975, kemudian diangkat sebagai Timbalan Dekan Pendidikan pada 1978 adalah antara mereka yang boleh dirujuk juga mengenai sejarah Gerakan kerana kata-kata ahli akademik yang terjun ke bidang politik jauh lebih berharga.

Sejarah awal Gerakan

Benarkah Lim Chong Eu pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia? Pengiktirafan Keng Yaik bahawa Chong Eu itu Bapa Kemodenan Pulau Pinang itu boleh dilanjut kemudian.

Hal ini kecil jika dibanding persoalan awal. Ini kerana, sesiapa pun boleh membangunkan Pulau Pinang jikalau diberi mandat, ruang dan peluang oleh rakyat Pulau Pinang itu sendiri.

Berasaskan apa yang kita dengar, Gerakan itu asalnya adalah pergerakan parti politik yang menjunjung idea-idea Sosialis, tidak seperti hari ini, parti itu kemudian bergabung dengan kumpulan kapitalis BN.

Berasas maklumat di laman (http://danpritchard.com/wiki/Parti_Gerakan_Rakyat_Malaysia), presiden Gerakan terawal adalah Professor Syed Hussein Alatas yang memimpin daripada 1968 sehingga 1969.

Kemudian barulah Lim Chong Eu diamanahkan sebagai presiden parti itu daripada 1969 sehingga 1980 diikuti Chong Eu (1969 - 1980), Keng Yaik (1980 - 2007) dan akhirnya Tsu Koon (2007 sehingga kini).

Syed Hussein seolah-olah dipinggirkan dalam Gerakan. Beliau hanya memimpin parti tersebut setahun sahaja. Oleh itu, beliau kemudiannya menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas).

Hal ini berlaku pada 1972 apabila Gerakan memutuskan mahu menyertai Perikatan (BN). Syed Hussein berundur daripada Gerakan lalu menubuhkan Pekemas yang meletakkan prinsip yang sama dengan idea Sosialis parti Gerakan sebelum ini. Usia Pekemas (parti jelmaan Gerakan sosialis ) itu tidak lama sebab ia kemudiannya hilang terus daripada arus perdana politik negara pada 1978.

Mungkin kerana itulah juga Konvensyen BN ditangguhkan bagi menghormati pemergian Chong Eu itu. Ini kerana, 'jasa' Chong Eu membawa semula Gerakan dalam wajah kapitalis ke dalam Perikatan (BN).

Idea Islam dalam parti Gerakan terawal?

Di sana, ada suatu kisah terpendam yang mungkin tidak ramai yang tahu. Syed Hussein Alatas dan juga adik beliau Syed Muhammad Naquib Al-Attas pernah menemui Mufti Pulau Pinang Harussani Zakaria, ketika pada awal-awal penubuhan Gerakan yang bercitrakan idea-idea Sosialis itu.

Hal ini, saya dengar daripada rakaman kaset temu bual antara Ahmad Lutfi Othman dengan Harussani sendiri. Dalam temu bual itu, mufti itu mengakui bahawa kedua-dua beradik Al-Attas ini mahu beliau menganggotai Gerakan. Mereka mahu tubuhkan Biro Agama dan meminta beliau mengetuai biro itu.

Barangkali, biro agama itu ditubuhkan bagi tujuan mengimbangi idea-idea Sosialis termasuklah dengan tujuan mengimbangi atau pun menepis kemaraan hujah-hujah juga ideologi kaum bukan Islam di dalam parti Gerakan tersebut. Namun, mufti itu kemudiannya menolak tawaran tersebut.

Bagaimanapun, kedudukan Biro Agama itu kemudiannya terzahir dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), di mana Dr Muhammad Nur Manuty diberikan amanah untuk memegangnya.

Akibat tiadanya biro agama di dalam Gerakan itulah barangkali, Gerakan sehingga ke hari ini, tidaklah lagi kelihatan bercitrakan Sosialis seperti zaman awal-awal penubuhannya. Ia lebih menonjolkan citra, wajah parti yang berteraskan kebangsaan bukan Melayu dan kapitalis juga.

Umno perlu jujur dengan sejarah parti mereka sendiri

Umno perlu jujur dengan sejarah parti politik gabungan BN sendiri. Sebelum Menteri Pelajaran, TPM, dan Timbalan Presiden BN Muhyiddin Yassin ingin mewajibkan mata pelajaran sejarah, beliau perlulah juga memberikan perhatian penuh kepada sejarah parti-parti dalam BN itu sendiri.

Hari ini, generasi muda tidak mengetahui banyak perkara dalam longgokan sejarah silam mereka. Yang jelas ternampak adalah Gerakan dalam wajahnya hari ini dan bukan pada awal kelahirannya pada 1960-an dahulu. Sejarah kelahiran parti-parti inilah yang mungkin perlu dimasukkan ke dalam matapelajaran sejarah di sekolah-sekolah?

No comments: