Wednesday, December 08, 2010

Peranan puisi menyeru dan mengikat persatuan masyarakat

Oleh H FANSURI

Akhir November lalu, saya ke Hatyai, Thailand bagi mengikuti acara deklamasi puisi di Faculty of Liberal Arts di Prince of Songkhla University.

Rombongan ini terdiri daripada guru-guru sekolah rendah di Sabak Bernam. Walaupun acara itu berlangsung dalam tempoh singkat, namun yang utama ialah acara itu mewujudkan ruang saling berkenalan sekali gus mengeratkan ikatan antara Melayu serumpun.

Apakah ia membuahkan hasil lumayan? Soalan itu tidak boleh dijawab sekarang. Ia tergantung kepada sejauhmana usaha kita. Jika lebih giat usaha dilaksanakan, maka usaha penyatuan itu mungkin lebih kukuh. Begitu juga jika sebaliknya.

Sejak dahulu penglipur lara itulah yang menyatukan orang-orang desa untuk perubahan di dalam masyarakatnya. Mereka mengarang sajak, menggubah syair lalu menjemput orang-orang ikut menyanyikan syair dan melagukan sajak gubahan mereka.

Maka, secara tidak langsung, orang-orang desa akan menyanyikan lagu-lagu rakyat, lagu-lagu nasihat yang mereka gubah. Ketika mereka berburdah dan berzanji, secara tidak langsung akan terbina ikatan dalam beberapa siri pertemuan itu.

PENYAIR MERUNTUHKAN DINDING KOTA TEMBOK KEANGKUHAN

Tidak hanya sajak, syair mereka digunakan bertujuan menyatukan rakyat, malah peranan penyair itu juga menumbangkan kekuasaan yang sudah berlaku penyimpangan dalam urus tadbirnya.

Dalam filem The Hunchback of Notre-Dame, ada watak penyair Pierre Gringoire yang asalnya dihukum gantung oleh satu kesalahan. Bagaimanapun beliau tetap diberi pilihan; sama ada beliau mahu dihukum gantung atau menikahi seorang wanita Gipsi, Esmeralda. Demi menyelamatkan nyawanya, Pierre menikahi wanita gipsi itu.

Sebenarnya, Esmeralda tidak menyintainya kerana beliau mencintai Phoebus; pegawai tinggi kerajaan yang gila perempuan. Malang tidak berbau-Esmeralda dituduh membunuh Phoebus. Pierre tidak patah semangat merebut hati Esmeralda walau wanita itu dijatuhi hukuman mati akibat dituduh membunuh Phoebus. Pierre menemui gerejawan tertinggi untuk berunding bagi membebaskan isterinya.

Rundingan itu gagal. Gerejawan tetap mahu jatuhkan hukuman bunuh ke atas Esmeralda. Sebenarnya pada malam Esmeralda dituduh membunuh Phoebus, apa yang berlaku sebenarnya adalah - Phoebus cuba dibunuh gerejawan itu sendiri. Maka, Esmeralda dihukum bunuh agar dosa kecurangan gerejawan itu tidak diketahui umum.

Setelah rundingan bersama gerejawan itu gagal, maka Pierre mengucapkan suatu hal yang menggentarkan.

"Ketika aku tiba semula di Notre-Dame, akan kupastikan tembok-tembok kota ini rebah," ugut Pierre.

Pierre kembali ke pangkuan masyarakat. Dia berpidato di depan ketuanya, menyeru setiap ahli masyarakat bangkit memberontak ke atas hukuman ke atas Esmeralda, wanita Gipsi yang tidak bersalah atas 'kematian' Phoebus (yang masih hidup setelah dirawat).

Lalu, kota Notre-Dame itu runtuh dalam satu malam sahaja. Kekejaman dan kecurangan pemerintah, penyimpangan hukum di Perancis kini menjadi lagenda. Apakah cerita pemberontakan rakyat Perancis ini mirip dengan kebencian rakyat ke atas Marie Antoinette, Permaisuri Perancis yang mewah berbelanja seperti mana halnya Rosmah Mansur itu? Mungkin Najib Razak mampu menjawabnya.

ISLAM MENYATUKAN UMAT LEWAT PUISI (AL-QUR'AN)?

Sepertimana adat Arab Jahiliyah, syair yang terbaik digantung di dinding Kaabah dan rakyat berhimpun mendengarnya, maka Islam hadir tiba dengan 'puisi' azan dilaungkan ke udara dan 'puisi' Al-Fatihah yang digemakan dalam solat-solat berjemaah.

Kedua-duanya telah menyeru (azan) umat Islam ke masjid dan menyatukan (Al-Fatihah) hati manusia dalam saf yang sama. Tindakan menyeru dan menyatukan inilah kemudiannya membangkitkan ghairah menyanggah kepincangan, kecurangan dan penyimpangan dalam hal hukum-hukum dan pemerintahan.

Percubaan demi percubaan mesti dibuat selalu untuk memasyarakatkan sastera. Menyeru dan mempersatu khalayak mestilah dibuat atas rasa kesedaran menghidupkan hati yang mati.

Amalan membaca Yaasin setiap malam Jumaat di masjid-masjid mesti dikekalkan dengan nilai tambah baharu, dengan membuka kelas pengajian tafsir agar khalayak memahami Yasin dengan bacaan maknanya sekali.

Maka, sehingga catatan ini ditulis, ada lebih banyak rencana kembara puisi di selatan Thai termasuk di rantau Nusantara. Jika tiada aral, pada 14-17 Januari tahun depan mungkin akan dirancang acara puisi di Kolej Islam Yala. Yang berminat di lapangan puisi ini, bolehlah menghubungi Salleh Tahir (013-2450808) untuk mengetahui perkembangan acara tersebut.

Begitulah saudara, jika setiap kota di rantau Nusantara ini boleh diperluas menjadi Kota Budaya atau Kota Sastera, maka pesan hangat kemakmuran jiwa untuk mengikat persatuan umat ini dapat diluncur lebih mudah. Moga kelana puisi ini akan menjadi titik awal kepada matlamat itu. Amin.

No comments: