Thursday, December 09, 2010

Anak Bapak, salah Anak berpunca daripada jenayah Bapak

Oleh H FANSURI

Rupa-rupanya, wang $5,000 yang dikirim oleh Mahfiz Mahfiz kepada anaknya Harun Mahfiz telah pun dibayar kepada ceti. Bakinya, lagi $2,000 telah beliau gunakan sebagai belanja kahwin.

Pendakwa kemudian bertanya, kenapa Harun, seorang pengurus ladang getah yang luas, boleh terjebak dengan hutang, apakah tidak cukup gaji beliau selama ini. Lalu dijawabnya, gajinya tidak cukup. 

"Saya kalau pergi ke 'night club', saya belanja $50 satu malam. Sebulan sudah $1,500. Gaji saya $1,000 mana boleh cukup?"

Babak ini bolehlah anda saksikan dalam filem Anak Bapak, arahan P Ramlee. Harun seorang pengurus ladang getah yang berjaya di Kuala Lumpur. Ketika ini getah adalah komoditi ketika kelapa sawit baru diperkenal sebagai komoditi negara oleh bekas perdana menteri Abdul Razak.

Hari ini, baik getah dan kelapa sawit, kedua-duanya adalah komoditi dan aset terpenting negara kita.

Hari ini, suatu babak lawak dipentaskan oleh kalangan politikus kapitalis di negara kita. Apabila Bapak (Umno) lahir selepas Anak (PAS), maka filem klasik itulah yang terawal merentas fikiran kita.

Selalunya, anak akan lahir selepas bapa. Tetapi, dalam kes Felda, ia berlainan kerana Anak lahir dahulu selepas Bapak. Mungkin, kalau tiada Anak yang bangkitkan permasalahan peneroka Felda ini, mungkin Bapak (Biro Aduan Peneroka Kebangsaan) tidak akan wujud.

Operasi Bapak

Dalam suatu kenyataan, Timbalan Menteri di JPM Ahmad Maslan berkata, Bapak adalah biro di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang membantu menyelesaikan masalah lebih cepat.

Dengan itu, biro Bapak juga beroperasi dengan menerima aduan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu melalui faks, mel-e, sms, laman sesawang termasuk talian bebas tol. Dan, semuanya ini mencerminkan kesungguhan Bapak setelah kalah akibat gempuran Anak.

Sebagai biasa, kepentingan parti tetaplah ada di sebalik niat kononnya ingin membantu warga Felda itu. Ahmad selaku Ketua Penerangan Umno turut mengesyorkan supaya GWGF menjadi anggota gabungan BN agar atas alasan dapat berjuang menjaga kebajikan masa depan warga peneroka.

Masalah moral waris peneroka

Persoalan lain timbul, apakah Bapak ini suatu biro yang akan menggali permasalah moral dalam Felda itu sendiri? Jika dilihat kedudukan ladang getah British suatu ketika dahulu, ternyata wujud persamaan dalam ladang kelapa sawit tajaan kerajaan BN hari, iaitu daripada sudut masalah moral.

Kaum buruh India di ladang getah berdepan dengan masalah gejala ketagihan arak. Dalam masa sama, ladang kelapa sawit oleh bangsa Melayu kini berdepan dengan gejala ketagihan dadah khasnya dalam kalangan anak-anak kaum penerokanya.

Tetapi, adakah pihak pengurusan Felda menangani hal ini? Agensi ini tidak sepatutnya bertindak seperti kapitalis British yang menanam pelaburan dalam perusahaan ladang getah. British meminggirkan aspek kerohanian. Yang penting bagi mereka adalah wang dan keuntungan semata-mata.

Peranan sebenar Bapak

Ketika menjawab soalan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) mengenai bilangan anak muda Felda yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral, Ahmad berkata, peratusan warga Felda yang terlibat dalam gejala dadah sangat kecil; sekitar 2,000 orang.

"Walaupun melibatkan bilangan yang kecil, kerajaan akan terus berusaha ke arah mencapai sifar masalah sosial," katanya sambil menyebut nama anak-anak Felda yyang berjaya sebelum ini.

Antaranya, kata Ahmad, adalah Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan) dari Felda Sungai Koyan, Pahang yang terkenal dalam bidang masakan termasuk penyanyi popular Asmawi Ani (Mawi) dari Felda Taib Andak, Johor.

Tambah beliau, seramai 76,483 generasi baru Felda berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT termasuklah 28,737 orang di peringkat ijazah, dan 1,567 orang lagi di peringkat doktor falsafah (PhD).

Jawapan kita ke atas kenyataan Ahmad ini adalah, nama tokoh-tokoh yang berjaya itu secara kebetulan berada di Felda. Mawi dan Chef Wan akan berkembang dalam bidang nyanyian dan masakan kalau pun mereka ditakdirkan lahir di tempat lain juga. Perkampungan Felda hanya tempat kelahiran sahaja.

Kedua, jumlah 2,000 itu bukanlah sedikit. Walaupun seorang terjebak dengan dadah, itu sudah masalah negara dan jumlah puluhan ribu pemilik ijazah pendidikan tinggi Felda itu belum tentu dapat merawat ketagihan dadah di perkampungan Felda itu sendiri.

Jikalau Najib Razak dan Ahmad Maslan sempat menonton Laskar Pelangi, semoga mereka berasa insaf bahawa apa yang penting adalah ilmu itu bertujuan menyelesaikan masalah penduduk setempat.

Felda harus menginsafi sejauhmana ilmu-ilmu daripada pusat pengajian tinggi yang dicurahkan ke atas anak-anak Felda itu dapat membuatkan mereka turun ke lapangan untuk menyelesaikan masalah dadah di perkampungan masing-masing.

Demikian juga Harun Mahfiz, pengurus ladang komoditi getah yang terjebak dalam ketagihan berfoya-foya di kelab malam.

Hari ini, Najib Razak, anak Abdul Razak, pengasas komoditi kalapa sawit berura-ura mahu membuka kelab hiburan malam di negara kita. Masalah di ladang getah dan kelapa sawit belum selesai, pintu neraka dunia pula mahu dibukakan seluas-luasnya oleh beliau.

No comments: