Friday, December 10, 2010

AMCP: Biarkan Anwar bercakap, bukan kayu ukur kebebasan akhbar

Oleh H FANSURI

Apabila Dr Mahathir ditanya apakah wajar kerajaan menyekat Anwar Ibrahim daripada keluar negara untuk berterusan menghina negara, beliau menjawab sekatan itu tidak diperlukan.

"Kita tak patut halang dia keluar negara. Saya tak fikir kita patut takut kepada dia. Kita buat macam itu, orang lagi jadi marah kepada kita, benci kepada kerajaan. Nanti mulalah orang cakap kerajaan itu dan ini," katanya kepada pemberita ketika mengulas sikap kerajaan yang mahu sekat Anwar ke luar negara.

Tambah beliau lagi, kerajaan tidak perlu risau memberi peluang kepada Anwar untuk bercakap kepada pihak luar kepada mereka sudah tidak percayakan kata-kata Ketua Pengimbang itu.

Ada banyak hal yang boleh diterokai daripada sepotong perkataan bekas Perdana Menteri ini. Pertama, hal ini bermaksud, jika Anwar  bercakap hal yang benar maka baharulah Anwar perlu disekat atas sikap mahu 'menghina' negara itu. Maka, ruang menyekat Anwar untuk bercakap itu masih ada.

Dr Mahathir pada hakikatnya tidak pernah membenarkan musuh seteru politiknya terlepas bebas untuk bercakap sesuka hati sebenarnya. Jika ada yang anggap Dr Mahathir demokratik dengan membenarkan Anwar bercakap di luar negara, maka sila periksa dan semak semula kedudukannya kini sebagai bekas perdana menteri.

Dengan kedudukan beliau sebagai bekas perdana menteri, maka Anwar bukanlah lagi ancaman besar ke atas kuasa politik beliau. Anwar adalah ancaman buat Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri hari ini. Najib mahu sekat Anwar bukan dengan alasan menghina negara, tapi mengaibkan Najib sendiri.

Dan, jika kita masih ingat detik-detik kejatuhan Anwar, bekas perdana menteri itu kerap menggelarkan beliau sebagai agen asing. Hal ini barangkali juga terkait dengan sikap Anwar yang banyak utamakan media antarabangsa sehingga kenyataan Anwar banyak tersiar dalam akhbar-akhbar luar negara.

Desas-desus yang mendesak supaya Anwar tidak diizinkan ke luar negara ini berlaku ekoran beberapa penyokong kerajaan mencadangkan hal itu dalam perbahasan Dewan Rakyat mutakhir ini.

Langkah ini menurut mereka dapat mengelakkan beliau daripada terus memburukkan Malaysia di mata dunia. Pandangan dangkal seperti ini mungkin berasas suatu masa dahulu. Tapi, dengan perkembangan teknologi Facebook, Twitter, YouTube, tele-sidang dan sebagainya, gesaan ini seperti tidak munasabah.

Dengan kehadiran wakil agensi berita luar negara dan wakil koresponden akhbar luar yang dibenarkan berada di negara ini, syor itu sendiri nampaknya tidak masuk akal. Akan selalu ada usaha menemubual Anwar. Adakah gesaan itu cuma kesan daripada temu bual sebuah media di Australia baru-baru ini?

Kayu ukur ke atas tahap kebebasan akhbar
Semua kejadian sekatan ini akan membawa kita kepada suatu persoalan lain pula iaitu bagaimana mahu mengukur tahap kebebasan akhbar di negara ini?

Adakah dengan membenarkan Anwar ke luar negara, dan membenarkan akhbar menemubual beliau itu sudah cukup membuktikan bahawa negara ini bebas daripada kongkongan ke atas akhbar?

Jawapan ke atas hal ini masih dikaitkan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) itu sendiri. Setidak-tidaknya, gesaan agar Anwar dilarang keluar negara itu dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Dan, ada ruang untuk dibantah Dr Mahathir yang berasakan dirinya sudah tidak terancam oleh Anwar lagi setakat ini. Apatah lagi, mahkamah sudah membatalkan saman malu bernilai RM100 juta Anwar ke atas dirinya pada akhir November lalu.

Saman itu batal setelah Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu. Ini bermaksud, Dr Mahathir kebal, tapi Najib akan sentiasa terdedah kepada bahaya ancaman yang cuba dihidupkan Anwar. Najib ada sebab untuk terus hidup dalam ketakutan bayangnya.

Maka, langkah menyekat Anwar daripada terus keluar negara ada pro dan kontra, namun AMCP tidak akan ada pro dan kontra lagi sebab ia adalah akta yang sudah sah digazetkan dan akan selalu digunakan untuk menjebak dan memerangkap para pemilik akhbar di negara ini.

Dr Mahathir boleh menunjukkan watak soleh dan waraknya dengan berkata kepada pemberita, bahawa Anwar perlu dilepaskan untuk bebas berbicara dan semua rakyat mungkin tertipu dengan sandiwara Dr Mahathir buat kali yang seterusnya. Bagi yang faham dan fasih dengan karenah bekas perdana menteri itu, mereka akan terus merujuk kepada AMCP sebagai penanda aras kebebasan akhbar di negara ini.

Bukan berapa banyak permit ditarik, tapi berapa banyak permit tidak diluluskan?

Bagaimanapun, saya tertarik dengan pendapat Pengerusi KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) Ahmad Lutfi Othman yang kerap melontar pandangan sebagai berikut:-

"Jangan dilihat kebebasan akhbar ini kepada berapa jumlah permit penerbitan yang ditarik. Tetapi, lihat kepada berapa banyak permit penerbitan yang tidak diluluskan oleh KDN," kata beliau.

Pandangan yang seperti inilah yang kerap beliau lontarkan dalam mesyuarkat KAMI dalam beberapa pertemuan sebelum ini. Lojik terhadap sikap KDN ini memang ada.

Kata Ahmad Lutfi Malaysia kurang dilihat sebagai negara yang menarik balik permit penerbitan kerana pihak yang meminta permit penerbitan itu sukar diberikan lesen penerbitannya.

"Jika permit penerbitan tidak diberi maka sudah tentu tiada sebarang pemansuhan dan penarikan permit penerbitan itu. Permit pun tidak diberi, jadi secara tak langsung memang kurang kes penarikan permit.

"Jadi, kita perlu nilai tahap kebebasan akhbar di negara ini melalui berapa banyakkah permit penerbitan yang tidak diluluskan KDN. Jangan dinilai tahap kebebasan akhbar itu daripada segi, berapa banyakkah permit penerbitan akhbar yang ditarik balik oleh KDN itu," katanya lagi.

Begitulah antara sikap klasik KDN yang diwarisi sejak zaman beliau mengemis permit penerbitan pada era pentadbiran Dr Mahathir lagi. Dan, hari ini Dr Mahathir tunjukkan aksi soleh lagi warak; menyeru kerajaan benarkan Anwar bercakap kepada akhbar luar negara atas nama beliau demokratik, atas nama kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar kononnya.

Macamlah rakyat tidak tahu beliau itu siapa? Ya, sikap beliau yang merelakan Anwar keluar negara itu belum juga dapat memadamkan kedudukannya sebagai jagoan dalam menindas akhbar di negara ini.

No comments: