Oleh H FANSURI
Tiba-tiba sahaja Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) Hishammuddin Hussein melenting dengan kenyataan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail tentang ucapannya dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Tiba-tiba sahaja Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) Hishammuddin Hussein melenting dengan kenyataan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail tentang ucapannya dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Ucapan itu menyentuh Ketuanan Rakyat yang digelorakan gelombangnya oleh Pakatan Rakyat sekali gus menyanggah Ketuanan Melayu yang kononnya diperjuang oleh Umno.
Mungkin, buat pertama kalinya, Ketuanan Rakyat disebut secara tidak sengaja oleh Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru. Mungkin, sejak itulah seruan Ketuanan Rakyat mula didengungkan.
Ia seperti Dr Mahathir menyebut Wawasan 2020, lalu Mursyidul Am PAS Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut Wawasan Akhirat. Sanggahan ini terbentuk dengan sebab, niat untuk menunjukkan hal perbezaan antara mereka. Siapa yang betul dan salah, bukanlah hal yang akan dibahas di sini.
Apabila Anwar mula menyebut Ketuanan Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru, ini bermaksud di tempat bersejarah itulah juga semangat dan iltizam Melayu muncul. Maka, Ketuanan Rakyat itu tidak pula meminggirkan kepentingan Melayu.
Bagaimanapun, dalam keadaan Ketuanan Melayu disebut, maka sudah lebih 70 peratus kawasan pantai di Port Dickson sehingga ke Teluk Kemang telah dimiliki oleh kapitalis bukan Melayu, tepatnya kaum Cina. Sekali lagi, ini bukan soal perkauman, tetapi pertarungan antara kelas atasan dan bawahan.
Hishammuddin takut tegur MCA yang sanggah Ketuanan Melayu
Menjadi pengetahuan umum bahawa MCA juga adalah antara parti menentang Ketuanan Melayu sebab ketuanan ini, menurut mereka akan mengiktiraf bangsa lain sebagai hamba.
Mudah bagi Hishammudin memarahi Wan Azizah, tetapi adakah mudah bagi beliau untuk menyanggah MCA? Sudah tentu tidak, apatah lagi saat menunggu detik-detik tarikh pilihan raya umum diumumkan pada bila-bila masa sahaja mulai sekarang.
Sejak bilakah kalimat Ketuanan Melayu muncul? Ia muncul bukan lama, tapi sangat baru. Ia bukannya terbit pada zaman perdana menteri sebelum ini, tetapi terbit pada zaman pemerintahan Dr Mahathir.
Ia barangkali terbit dalam salah satu ucapan Dr Mahathir dalam Perhimpunan Agung Umno. Kemudian ia dibangkitkan sebagai wacana ilmiah. Maka, wujudlah tafsiran seperti apakah Melayu Baru.
Ketuanan Melayu ini banyak terikat atas segala hal yang bersabit dengan harta kekayaan; tanah, projek. Ini kerana, pengucap dan pelaung idea ketuanan jenis ini tidak jujur ketika bercakap.
Ketuanan itu tergantung kepada tanah dan agama
Sekurang-kurangnya, yang dinamakan tuan itu tergantung, terletak dan terikat kepada dua perkara, iaitu tanah dan agama. Pertama, kita yang memiliki tanah sebagai tempat tinggal akan digelar sebagai tuan tanah. Kedua, tuan itu gelar kepada khalifah, iaitu orang yang memegang teguh kepada agama Tuhan.
Hal yang kedua ini berasaskan kepada maksud Al-Baqarah: 30 yang memperihalkan kejadian manusia sebagai 'khalifah' di atas muka bumi. Maka, pengertian 'khalifah' di sini tentu saja terkait dengan orang yang terpilih atau dipilih menjadi penegak hukum Tuhan di atas dunia ini.
Ketuanan Melayu pada masa depan akan lebih banyak mengundang kekeliruan ramai pihak, apatah lagi ia banyak terkait dengan persoalan yang menjebakkan kita dengan faham kebendaan, juga menyangkut kepentingan peribadi yang kemudiannya dikatakan sebagai hak ketuanan Melayu seluruhnya.
Maka, sebab itu saya lebih tertarik dengan sebuah pantun Melayu yang meletakkan diri bangsa sebagai 'bangsa penghulu'. Pandun itu berbunyi seperti di bawah ini...
“Pilih-pilih tempat mandi,
esa teluk kedua pantai,
pilih-pilih tempat menjadi,
esa elok kedua pandai.”.
“Esa teluk kedua pantai,
ketiga dengan jamban di hulu,
esa elok kedua pandai,
ketiga baik 'bangsa penghulu'.”
Dalam rangkap pertama ini, nilai elok budi pekerti dan mutu akhlak menjadi keutamaan kepada bangsa penghulu jika ingin memerintah negara ini. Kedua selepas mutu akhlak, hal kepandaian sesuatu bangsa itu juga patut dijadikan sebagai kayu ukur juga bagi melengkapkan Melayu sebagai bangsa penghulu.
Maka gabungan nilai kebijaksanaan serta kebagusan pekerti adalah dua hal yang perlu untuk dipegang sebagai asas-asas pentadbiran negara.
Oleh itu, seruan bangsa penghulu ini jauh lebih baik, tidak terdedah kepada salah faham dan kekeliruan sebagai yang terjadi kepada Ketuanan Melayu yang akhirnya dikatakan sebagai alat perhambaan orang bukan Melayu di negara ini.
Tembok Ketuanan Melayu lemah?
Tapi, apakah kita sudah mencapai kebijaksanaan penuh (pandai) dan juga kehalusan budi pekerti (elok) untuk menjadi bangsa penghulu di negara ini? Jawapan ini tergantung kepada kekuatan kita sendiri.
Tipu daya Umno lewat kata-kata seruan Ketuanan Melayu ini sebenarnya lemah. Jika parti pengimbang di negara ini membariskan fakta-fakta yang membuktikan bahawa sudah banyak tanah Melayu yang telah diambil oleh kapitalis bukan Melayu, maka undi Melayu yang lari daripada Umno.
Apa yang berlaku hari ini, barangkali parti pengimbang berhaluan kiri tidak mahu atau pun tidak berani meletakkan diri mereka sebagai parti Melayu juga kerana bimbangkan undi bukan Melayu lari.
Kalaulah kedua-dua parti pengimbang Pakatan Rakyat boleh dedahkan kepalsuan Ketuanan Melayu itu sekali gus mengisytiharkan bahawa mereka juga adalah juara pembela Melayu, maka insya Allah orang Melayu akan yakin dan berubah sokongan terhadap mereka.
No comments:
Post a Comment