Friday, December 10, 2010

Kerana beza fahaman, negara pecah dua

Oleh H FANSURI

Antara Seoul dan Pyongyang memang tidak sehaluan kerana beza cara menyusun pentadbiran berasaskan faham blok politik. Walhal mereka sebangsa.

Ia seperti Jerman Barat dan Jerman Timur yang sebangsa tetapi berbeza faham politik sehingga mewujudkan dua buah negara. Hal inilah yang dikatakan sebagai suatu keajaiban yang menyanggah faham negara bangsa; 1 bangsa 1 negara.

Lalu, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak tampil merayu bantuan kuasa besar Amerika Syarikat dan China untuk berperanan dalam meredakan ketegangan yang memuncak di Semenanjung Korea berhubung serangan Korea Utara ke atas Pulau Yeonpyeong di Korea Selatan mutakhir ini.

"Kita sarankan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China memainkan peranan untuk meredakan keadaan supaya tidak menjadi lebih tegang," kata beliau. Itu baru sengketa Korea. Kalau ditakdirkan Mongolia bangkit kali kedua sebagai kuasa besar entah bagaimana agaknya Mohd Najib mahu mengangkat suara?

Namun dalam percekcokan begini parah, Malaysia masih belum dipecah dua dengan sebab perpecahan faham politik kepartian antara Umno, PAS, Dap, PKR dan lainnya. Entah bagaimanalah para pemimpin parti-parti (pemerintah dan pengimbang) di setiap peringkat dan cabang masih mengira bahawa ada perpecahan ini.

Walhal yang berlaku sebelum ini hanya pecah undi. Negara masih belum berpecah seperti Korea dan Jerman. Kalau pun ada, tanah-tanah kita yang berselerak jatuh ke Singapura seperti Pulau Batu Putih, telaga minyak jatuh ke Brunei. Hakikat bahawa pecah dan berseleraknya wilayah kita yang sudah jatuh diagih-agihkan dan dibedak-bedak ke negara lain, memang ada.

Tetapi, belum ada akhbar yang mengangkat wacana itu atas nama perpecahan juga. Perpecahan masih juga dilihat dalam pengertian yang sempit. Ini kerana, yang memonopoli pandangan awam, pendapat umum (public opinion) adalah orang parti secara ijmak.

Negara belum pecah walau retak parti

Tapi negara belum juga berpecah walau ada keretakan 'antara parti' dan 'dalam parti' di Malaysia berulangkali. Kita patutlah bersyukur dengan nikmat perpaduan ini, walaupun pimpinan parti pemerintah dan pengimbang kerap menyangka bahawa mereka sudah lama berpecah.

Kelantan misalnya masih bersabar, tidak akan bercerai dari Malaysia walaupun tuntutan hak nafkah royalti minyak negeri mereka itu sudah berada di dalam kawalan kerajaan persekutuan.

Mengikut undang-undang keluarga, jika si isteri tidak diberikan nafkah dalam beberapa tempoh, maka haknya menuntut cerai itu memang ada. Tapi, di sinilah keunikan yang ada. Walau kita menganggap parti itu sudah berpecah, ternyata Malaysia masih juga tidak pecah bercerai-berai dan tidak dibedak-bedakkan sebagai Korea dan Jerman itu.

Entah bagaimana mereka melihat wujudnya perpecahan itu, tidak pula diketahui. Hanya yang berdada sempit, fikiran dan jiwanya terhimpit akan melihat gejala-gejala mutakhir ini sebagai lambang perpecahan. Walhal perpecahan dalam parti, atau perpecahan antara sesama parti bukanlah kayu ukur yang sebenar.

Biduk berlalu kiambang bertaut, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga, air dicincang tidak akan putus adalah bidalan warisan Melayu yang menunjukkan bahawa rantau yang bernama Alam Melayu itu cukup sulit dipecahkan sebenarnya.

Ketika pepatah, bidalan yang peribahasa yang menunjukkan perpaduan itu tercipta, nenek moyang kita belum mengenal lagi parti, presiden, parlimen. Hatta, perang saudara merebutkan kekuasaan yang terkenal antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi di Kelang itu pun, belum juga disifatkan sebagai perpecahan.

Perpecahan ditandai oleh pecahnya wilayah persempadanan negara

Jadi, kenapakah yang bernama Melayu hari ini tergamak menyebut bahawa kekecohan dalaman parti dan percekcokan 'chaos' antara parti ini adalah lambang hakikat sebenar perpecahan Melayu? Sejak bila pula mengalir masuk dalam fahaman kita bahawa, pecah parti itu ertinya pecah bangsa? Kita sudah celaru dan keliru dalam pemikiran.

Pimpinan parti menjadi sesat lalu menyesatkan orang-orang bawahan (fadhallu wa adhallu). Kita perlu muhasabah, menilai semula apakah yang kita yakini sebagai benar selama ini, sebenar-benarnya benar pada hakikatnya?

Ini kerana, parti boleh wujud dan boleh untuk tidak diwujudkan. Undi boleh wujud dan boleh untuk tidak diwujudkan. Dahulunya, kita menggelarnya sebagai bai'ah (persetujuan, mandat, 'mandate'). Maka, dengan berlalunya masa, bai'ah diganti dengan undi.

Undi, tetaplah usaha dalam kalangan rakyat untuk memberi mandat kepada seseorang atau sesuatu perkumpulan untuk bekerja untuk menyusun tadbir segala keperluan mereka (rakyat).

Tindakan mengukur menyukat perpecahan dengan hal 'tidak kekal' (boleh ada dan boleh tiada) tidak boleh dinilai sebagai ukuran tepat lagi jitu. Kita hanya boleh menyatakan sudah ada keretakan dan perpecahan ketika ia melibatkan kedudukan persempadanan negara yang ternyata lebih bersifat kekal dibandingkan parti.

Parti dicipta manusia. Parti berkubur dengan sebab kematian tokoh-tokoh tertentu. Dinasti-dinasti dan pemerintahan bani-bani di sesebuah negara dan empayar boleh berakhir bila-bila masa sahaja lalu diganti dengan bani dinasti lainnya di negara itu.

Demikianlah jatuhnya bani dinasti BN di tangan bani dinasti PR adalah lanjutan sunnatullah jua adanya. Yang sempit fikiran, terhimpit dada, jiwa dan perasaan enggan terima hakikat ini semua. Lalu dikembangkan wacana-wacana atas nama helah perpaduan kononnya bagi memastikan kekuasaan bani dinasti BN kekal sampai akhirnya. Tapi, Tuhankah mereka?

No comments: