Friday, December 10, 2010

AJS: Jika sulit siasat Kak Ros, tahan pengamal ilmu sesat dulu

Oleh H FANSURI

Dalam muktamar Abim ke-25 (1996), presiden pertubuhan dakwah tersebut, iaitu Dr Muhammad Nur Manuty ada menyebutkan dalam ucapan dasarnya bahawa amalan ilmu hitam masih jua berlegar dalam kalangan pemimpin kita masih juga berleluasa.

Walaupun beliau menyentuh hal itu sekilas, namun ia menjadi besar kerana hal ini diamalkan oleh para pimpinan negara, khususnya Umno, walaupun beliau tidak menamakan Umno secara jelas.

Sukar digambarkan bahawa kegunaan ilmu hitam, tangkal wujud ketika berlakunya pemilihan di dalam parti lain selain Umno (walaupun kemungkinan itu mungkin ada). Lazimnya juga, penggunaan tangkal azimat ini semakin meriah ketika pilihan raya.

Kalau tidak salah, suatu ketika dahulu, sekitar 1990-an, majalah Dewan Masyarakat pernah membuat tinjauan lapangan dan laporan khas berhubung kedudukan pemimpin Melayu, bergelar Dato' yang telah terjebak dalam amalan gelap ini. Seperti biasa, nama penulis itu tidak diletakkan 'by-line' nama sebenar melainkan nama samaran atau pun 'Penulis Khas'.

Kempen: Sihir itu jenayah besar

Bagaimanapun, wacana mengenai ilmu sihir itu tenggelam timbul dan tidak berterusan. Jika dibanding dengan wacana berhubung riba, kewangan Islam, munakahat, undang-undang keluarga, wacana terkait dengan perkara itu sekejap timbul dan lama sekali tenggelam.

Walhal, paparan filem dan drama di televisyen jelas menunjukkan bahawa minat orang-ramai terhadap hal ini sentiasa ada. Akan sentiasa wujud filem-filem seram, drama-drama berkaitan pontianak, pocong, dan lain-lain lagi sehingga mengundang rasa kurang enak dalam kalangan ahli masyarakat kita.

Semua paparan drama, filem ini tidak banyak menawarkan fakta-fakta bermanfaat melainkan ia sebagai suatu santapan hiburan jiwa semata-mata, dan bukan santapan fikiran.

Penonton tidak boleh belajar sesuatu mengenai cara melawan ilmu pukau misalnya kerana penyelidikan kurang dipersembahkan dalam filem tersebut. Kalau ada, hanya sejumlah kecil sahaja drama dan filem seram yang boleh kita tumpang limpahan intelektual mereka.

Untuk mengelakkan karya drama, filem seram itu menjadi 'kosong', setidak-tidaknya ia mesti diangkat daripada kisah benar. Setidaknya, sambil menonton, kita boleh mencerap maklumat sambil bersantai.

Ambil satu contoh. Kenapakah buku Tamar Jalis diminati misalnya? Tentu banyak sebabnya. Tapi yang paling ketara ialah pengarang benar-benar meramu cerita pengalaman peribadi bersama datuknya yang mengamal petua orang Melayu lama. Daripada sini kita dapat mencerap beberapa ilmu sambil berhibur.

Bukannya tiada kisah benar. Cerita benar ini bukan cerita rekaan. Baru-baru ini saya terjumpa laporan berhubung gadis yang kerap dighaibkan makhluk halus di Terengganu.

Keadaan itu menyebabkan pengamal perubatan Islam yang dilantik Yayasan Islam Terengganu meminta keluarganya agar tidak menggunakan khidmat bomoh lain buat sementara bagi memastikan kerja mereka dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut laporan, sudah 12 jin di rumah gadis itu di itu yang ditangkap termasuklah jin yang dipercayai ditinggalkan oleh bomoh lain yang dipanggil untuk merawat gangguan ke atas gadis itu.

Namun, yang lebih menarik di sini ialah dasar YIT yang melantik beberapa pengamal rawatan alternatif Islam untuk menangani penyakit misteri dan histeria itu. Ini bermakna untuk membanteras amalan ilmu sihir dalam kalangan masyarakat hari ini, skuad pemantau perlulah disusun dengan rapi.

Kesedaran mengenai Akta Jenayah Sihir (AJS)

Dan secara perlahan-lahan juga, kesedaran bagi mensifarkan para pengamal ilmu sihir ini perlu bangkit dengan menyusun kempen tertentu dengan cara membanyakkan drama, filem yang bertujuan memberi pendedahan fakta-fakta berhubung ilmu dan amalan sihir ini.

Pada pertengahan Oktober lalu, dalam Seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di Kolej Antarabangsa IKIP di Kuantan, sudah ada seruan ke arah menggubal Akta Jenayah Sihir melalui perundangan sah.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa IKIP, Dr Mahyuddin Ismail, penggubalan itu, dengan sendirinya akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk bertindak menyelamatkan akidah umat Islam sekali gus menyelesaikan kematian membabitkan ilmu sihir ini.

"Langkah ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil sebarang tindakan perlu bagi mendakwa pengamal ilmu hitam," katanya.

Kata beliau, undang-undang sivil dan syariah boleh diguna pakai bagi mendakwa pengamal ilmu hitam, jika ia membabitkan kecederaan dan kematian mangsa.

Jabatan Siasatan Jenayah Sihir di bawah PDRM

Mahyuddin berkata, akta itu perlu juga mengandungi peruntukan untuk menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jabatan itu juga, menurut beliau, akan mempunyai kuasa dalam menjalankan segala prosedur termasuk siasatan berkaitan urusan membanteras kegiatan jenayah yang berunsurkan ilmu hitam itu.

Dr Mahyuddin menambah, dengan penubuhan jabatan itu, proses perundangan bermula daripada aduan sehinggalah siasatan, tangkapan, penggeledahan, pendakwaan dan perbicaraan akan terlaksana.

Pada masa akan datang, wacana dan forum berhubung jenayah sihir ini perlu lebih banyak diangkat di universiti dengan tujuan meningkatkan kesedaran umat terhadap bahaya gejala ini.

Walaupun ucapan dasar Abim ke-25 itu menyentuh sekilas perihal keterlibatan pimpinan negara dalam jenayah sihir, walaupun kita sedar imej 'wanita pertama' yang kerap dikaitkan dengan 'kepuakaan' akan menyulitkan tugas-tugas siasatan PDRM ke atas jenayah sihir, tapi kita jangan pernah berhenti bekerja.

Perjalanan masih panjang dan kemenangan itu akan berpihak kepada mereka yang sabar dan istiqamah. Kalau sukar siasat Kak Ros, tahan pengamal ilmu sesat pun jadilah buat sementara waktu. Kalau gagal memukat jerung, apa salahnya menjala ikan bilis dulu?

No comments: