Thursday, December 23, 2010

Anak muda usul warna hitam; lambang pertahanan 7 Kg Warisan

Oleh H FANSURI

“Sebelum ini, kami tidak pernah dihubungi oleh pihak pentadbiran tentang pembangunan di kampung kami. Kita tidak ditemui untuk berbincang,” kata ketua kampung Ishak Surin ketika memulakan cerita berhubung perjuangan penduduk setempat melawan kegiatan 'pembangunan' penguasa.

Beliau berkata demikian pada 1 Muharam (7 Disember) lalu sempena perisytiharan 7 buah Kampung Warisan berhampiran Madrasah Tarbiah Kg Bandar Dalam pada malam itu.

“Tiba-tiba mutakhir ini datang sekumpulan anak muda. Lalu mereka berkata kepada saya, pakcik, kami minta nak pasang kain hitam di kampung ini. Saya tanya mereka semula, kenapa nak pasang kain hitam ini? Lalu, mereka kata kain hitam itu lambang kita menyokong perjuangan ini.

“Saya pun 'dipaksa' memakai baju hitam ini. Dan, baju hitam itulah yang dipakai secara rasminya untuk menunjukkan bantahan kita bersama ke atas rancangan kerajaan di tujuh buah Kg Warisan ini.


“Jadi sebab itu juga malam ini saya berpakaian serba hitam dan kain rentang di sini semuanya berwarna hitam. Ini semua adalah lambang bahawa kita sama-sama bangkit mempertahankan kawasan ini,”
kata beliau lagi.

Kisah mahasiswa turun lapangan ini mirip kisah sekumpulan pelajar Sosialis Universiti Thammasart di Bangkok, yang membantu para petani di Thai dalam novel Rice Without Rain.

Mereka tidak hanya menyatu usaha dengan petani desa, malah turut turun bekerjasama menyusun masa di sawah bendang bersama mereka. Manakala, pada sebelah malamnya, mahasiswa ini akan menyusun mesyuarat di unggun api berhampiran rumah ibadat para penduduk kampung.

Dan, malam itu, seperti ketua kampung di Maekung, Inthorn Boonrueng, maka Ishak Surin nampaknya begitu berbangga ketika mengalu-alukan kehadiran anak-anak muda itu.

Menteri pun tidak tahu

Lalu, beliau melanjutkan isi ceramah alu-aluannya berkisarkan himbauan kisah-kisah yang lalu tentang awal-awal cadangan mahu meneroka pembangunan di kampung warisan tersebut.

“Pernah suatu ketika saya berbual dengan seorang pegawai tinggi yang terlibat dengan pembangunan di sini. Sedang berbual itu, saya bertanya adakah dato' tahu bahawa, kalau mengikut Draf KL 2020 (Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020), maka tanah wakaf di beberapa tempat itu akan turut diambil?

“Apabila saya bertanyakan hal itu, ternyata beliau geleng kepala. Sebab itu, saya rasa pegawai itu tidak tahu. Kalau dia pegawai bawahan tidak tahu, mungkin menteri sendiri pun tidak tahu,”
katanya lagi.

Menyentuh hal pembangunan di ibu kota yang tidak tersusun ini, Ishak turut menyelar sikap perancang pembangunan yang cuai di bawah janji-janji muluk Umno dan Barisan Nasional.

“Saya pernah meninjau para pelajar di Sekolah Kebangsaan Sri Perak, Bandar Baru Sentul. Mereka masih meneruskan persekolahan di bawah rumah pangsa 17 tingkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jadi kita buat bantahan ke atas hal persekolahan pelajar di rumah pangsa itu.

“Menteri akhirnya berjanji akan membina sebuah bangunan sekolah baharu, tetapi janji beliau itu sudah berlalu selama dua tahun,”
kata Ishak lagi. Mungkin, pendedahan beliau itu dimajukan sebagai ingatan kepada semua agar tidak terperangkap dengan janji-janji manis pembangunan di Kampung Warisan.

Jikalau pelajar itu masih lagi belajar di takuk yang lama walaupun menteri sudah berjanji mengubahnya maka, hal yang sama tidak mustahil berlaku ke atas para penduduk kampung warisan.

Menunggu anak muda bersikap

Sementara itu, Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said berkata, kunjungan beliau kali ini adalah ziarah kedua, apabila tiba di Kampung Bandar Dalam. Kali pertama beliau tiba di sini, katanya, desa ini masih lagi indah permai dengan rimbunan pelbagai tumbuh-tumbuhan.

“Air sungainya masih belum tercemar dan segala-galanya tenang,” kata beliau ketika membuka ucapan awal. Namun, semua gambaran kenangan indah itu perlahan-lahan luntur dan pudar ditelan zaman.

“Semua keindahan itu musnah kerana, hanya orang-orang seperti kita yang mengenal kampung sebagai kampung sedangkan para niagawan (saudagar, pemodal) datang melihat kampung ini sebagai kantung,”
tambah beliau lagi.

Bagaimanapun, hasrat yang menyala di dada sasterawan itu tetap sama tinggi seperti Ishak; beliau ingin melihat sejauhmanakah anak-anak muda itu menyatakan sikapnya terhadap rampasan kampung itu.

“Kami angkatan tua telah lama bersikap mengenai hal pengambilalihan tanah ini, maka angkatan muda itulah yang perlu disedarkan.

“Kita tahu orang muda itu marah, tapi kerajaan kena ingat juga bahawa marah mereka itu bersebab, ada puncanya. Dan punca marah orang muda itu ekoran kuasa sudah menjadi tidak siuman.

“Dan di sini letaknya peranan kita semua. Kita mesti memahami bahawa kuasa yang sombong itu perlu ditolak dengan kuasa,” kata A Samad Said lagi.

Tidak syak lagi, saham anak-anak muda ini memang ada di peringkat awalnya. Dengan pemakaian baju hitam, merekalah peneraju kepada syor itu. Mereka cuma perlu sedikit waktu agar angkatan lama dapat menumpahkan cerita perjuangan lalu, kerana tanpa lampu sejarah lalu, sulit kita menyuluh masa depan.

No comments: