Sunday, December 26, 2010

'Hijrah Pemikiran' lapuk Umno lebih afdal dan utama

Oleh H FANSURI

Atas nama Hijrah, maka kita harap Umno akan berubah cara berfikir lapuknya. Kemajuan harta benda bukanlah hal yang berat diperhatikan, tetapi kemajuan berfikir dan kemajuan jiwa rohani. 



"Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang beriman ketika Allah mengutus Rasul (Muhammad) di tengah-tengah mereka daripada kalangan mereka sendiri; yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan jiwa mereka, dan mengajarkan kepada mereka Kitab (al-Qur’an) dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Ali Imran: 164)

Maka, inilah yang sepatutnya difahami oleh semua orang, sesuai dengan semangat Hijrah kali ini. Apa yang cuba dibimbing oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah kemajuan jiwa, pembangunan akal fikir.

Kita sekadar mahu mengambil contoh yang boleh ditelaah, iaitu mengenai pemikiran Shahidan Kassim. Baru-baru ini, beliau berkata, Facebook perlu ditutup dan diharamkan terus di Malaysia.

Atas alasannya, laman sosial itu terlalu banyak menghina dan mengaibkan pihak tertentu. Dalam hal ini tentu sahaja beliau merujuk kepada kerajaan BN itu sendiri. Tetapi, beliau mungkin terlupa, penghinaan ke atas Anwar, fitnah liwat yang tersebar oleh Cyber Troopers Umno itu sendiri ada dalangnya.

Kenapa hal Umno mengaibkan dan memfitnah orang ini tidak mahu ditelaah, dikaji teliti dengan rinci?

Hijrah Pemikiran Umno suatu jihad pembaharuan

Cara berfikir ini tentu sahaja tidak memenuhi semangat hijrah yang kita mahukan. Ada banyak lagi hal yang perlu kita renungkan untuk melengkapkan hijrah kita ini.

Misalnya orang-orang Umno menyatakan Anwar sebenarnya bukan berjuang, tetapi berdendam dengan Umno. Wajib Umno berhijrah pemikiran mereka dengan memahami bahawa umat dan rakyat kini telah berdendam dengan Umno juga. Isu PPSMI dan lain-lain yang mengheret mereka ke jalanan, itu adalah lambang balas dendam rakyat terhadap kebebalan Dr Mahathir dan dasar Umno selama ini.

Bukan 'berapa' ramai berdendam, tapi 'kenapa' berdendam?

Umno perlu berhijrah pemikiran daripada memikirkan berapa ramai rakyat yang berdendam kepadanya kepada memikirkan 'kenapakah' rakyat berdendam kepadanya.

Umno cuma pandai tuding jari bahawa si fulan tertentu berdendam, tapi tidak bermuhasabah kenapakah pihak-pihak tertentu jadi berdendam dengan Umno. Inilah perkara-perkara asas perlu mereka hijrahkan.

Adakah Umno fikir rakyat tidak berdendam dengan mereka apabila Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia membuat keputusan menggantung Ketua Pembangkang dan lain-lainnya selama 6 bulan?

Penggantungan Ketua Pembangkang ini boleh jadi ada kaitan dengan kebocoran di Wikileaks. Anwar dengan tiba-tiba membangkitkan semula isu Apco setelah risikan Singapura bergabung dengan Utusan, Umno untuk merosakkan imej reputasi Anwar di khalayak umum dengan tuduhan dan fitnah liwat.

Anwar mangsa, musuh B'nai B'rith?

Ketika kejadian MV Mavi Marmara yang melibatkan pasukan kemanusiaan dari seluruh dunia, Anwar pernah mendedahkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru bahawa sebuah pasukan pelobi Yahudi tertua antarabangsa; B'nai B'rith telah mengisytiharkan bahawa beliau adalah musuh Yahudi.

Tindakan B'nai B'rith mengisytihar Anwar sebagai musuh Yahudi ini berlaku selepas beliau dedahkan isu Apco, 1Malaysia yang terkait dengan 1Israel di Dewan Rakyat. Maka, ekoran pendedahan itulah, segala kumpulan Yahudi berasa terancam dengan pendedahan ini.

Maka, timbul soalan lain, adakah unit risikan Singapura ini agen Yahudi yang ada kaitan dengan B'nai B'rith, sehinggakan mereka sudah melaporkan pertuduhan songsang ke atas Anwar ini?

Dan, agak-agaknya, sebab itulah Anwar bangkitkan semula hal Apco sejurus Utusan melaporkan hasil pendedahan Wikileaks ini di muka depan termasuk hasil laporan unit risikan Singapura.

Kumpulan ini saling berkaitan dan berhubungan untuk menjatuhkan imej reputasi Anwar di mata dunia.

Penggantungan langkah keselamatan, talian hayat Umno

Selepas Utusan Umno mendedahkan keburukan Anwar bersandarkan kebocoran Wikileaks dan laporan unit risikan Singapura, maka tiba pula giliran Najib berucap bagi menolak kritikan pimpinan Singapura yang berasal daripada kebocoran Wikileaks itu.  Jadi, siapa musuh Umno ini? Anwar atau Singapura?

Kebocoran Wikileaks kali ini ternyata lebih dahsyat daripada kebocoran empangan Maa'rib di Saba dan kebocoran empangan di Thailand yang mengakibatkan banjir besar di Kedah dan Perlis baru-baru ini.

Maka, Najib dan Pandikar Amin Mulia tiada jalan lain untuk menyekat soalan Anwar berhubung Apco ini, melainkan dengan cara menggantung Ketua Pembangkang termasuk beberapa ahli Dewan Rakyat.

Ya, inilah dia Hijrah pembangunan fikrah Umno; mengecilkan demokrasi dengan menyekat penyertaan suara wakil-wakil rakyat yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu!

No comments: