Saturday, December 25, 2010

Raja Melayu tolak 'Ketuanan Melayu' Mahathir dan idea Umno?

Oleh H FANSURI

Nampaknya, mungkin sultan-sultan dan raja-raja Melayu masih menaruh dendam ke atas Dr Mahathir. Ingatan mereka masih terpahat kepada sikap bekas Perdana Menteri itu yang sudah banyak menderhaka kepada mereka. Tetapi, raja-raja Melayu ini terpaksa melawan dengan berdiam diri.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pernah berhadapan dengan Dr Mahathir dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan imuniti raja-raja. Tentu sahaja penderhakaan Dr Mahathir yang dibuat dengan 'cara bersih' melalui perundangan dan perlembagaan ini dikutuk keras oleh raja-raja Melayu.

Tapi bagai menyimpan bara dendam dalam sekam, baginda bersikap berdiam diri ke atas penderhakaan Dr Mahathir tersebut. Mereka hanya perlu menunggu waktu yang sesuai untuk melancarkan perang ke atas Dr Mahathir dan Umno itu sendiri.

Hal itu kelihatan jelas dalam titah ke bawah duli tuanku Sultan Johor. Dalam perasmian Multaqa Ulama Darul Ta'zim di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru baru-baru ini maka Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa 'Kedaulatan Melayu' itu lebih sesuai digunakan.

Kedaulatan Melayu lebih agung berbanding Ketuanan Melayu

Sebenarnya, dalam ayat yang lebih jelas ialah istilah Kedaulatan Melayu lebih agung, mulia berbanding 'Ketuanan Melayu' yang hina dina itu. Kenapa Ketuanan Melayu itu istilah hina? Banyak sebabnya.

Antaranya, perkataan tuan adalah lawan kepada hamba. Walaupun Dr Mahathir berkata, beliau tidaklah berniat bermaksud begitu, tapi daripada segi bahasanya, hal itu adalah sah; kata 'tuan' adalah lawan kepada kata 'hamba'.

Hujah ini tentunya tidak begitu kukuh. Maka, kita perlu melihat kedudukan Dr Mahathir ketika beliau mula-mula membangkitkan seruan itu. Sebagai termaklum, Dr Mahathir sedang berdepan dengan rakan-rakan politik 'kapitalis bukan Melayu' dalam Barisan Nasional.

Kapitalis bukan Melayu khasnya MCA inilah yang telah menggugat beliau sepanjang pemerintahannya selama ini. Jadi, Dr Mahathir perlu slogan dan seruan untuk menangkis seterunya dalam BN itu sendiri.

Ia seperti seruan 'Hidup Melayu' untuk Umno untuk kononnya merebut kemerdekaan. Tetapi, Tunku Abdul Rahman akhirnya menyedari bahawa seruan itu tidak kuat seperti seruan Merdeka yang dilaungkan oleh Ahmad Boestamam, lalu Tunku pun mengubahnya kepada seruan Merdeka.

Hari ini, umat Melayu termasuk raja-raja Melayu melihat betapa lemahnya seruan Ketuanan Melayu, laungan Dr Mahathir dan Umno itu sendiri. Mereka sedar, bahawa seruan itu datang daripada Dr Mahathir yang sedang berperang dengan 'cukong kapitalis bukan Melayu' dalam MCA.

Jadi, demikianlah hina dinanya Ketuanan Melayu itu kerana ia bukan seruan untuk Melayu dan Islam, tetapi ia adalah senjata kata Dr Mahathir secara peribadi dan kaum Umno khususnya untuk melawan seterunya dan musuh Umno, iaitu kapitalis bukan Melayu dalam BN.

'Kedaulatan' merujuk Raja-Rakyat, 'Ketuanan Melayu' merujuk saudagar, kapitalis

Maka, atas dasar itu, Sultan Johor menggesa orang Melayu bermuhasabah untuk memilih 'Kedaulatan Melayu' kerana ia mencakupi kedudukan Raja-Raja Melayu dan rakyatnya, bukannya soal antara 'tuan' dan hamba'.

Dalam penjelasan itu, baginda bertitah, bahawa perihal Kedaulatan Melayu itu mencakup perihal raja-raja dan rakyatnya sebagai tuan atau pemilik kepada negara ini.

“Apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.

“Awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri Melayu belum dijadikan Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagai tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta bersama membangunkan Tanah Melayu.


'Kedaulatan Melayu' Raja Melayu akrab kepada 'Ketuanan Rakyat' PR

“Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak kaum lain terus dijaga dan dihormati serta dijamin Perlembagaan,” titah baginda lagi. Maka, pendirian baginda ini jelas bahawa Kedaulatan Melayu ini ada rujukan dan sandaran kepada hubungan raja dan rakyat.

Sekali gus, ini bermaksud Kedaulatan Melayu yang dipelopori oleh Kesultanan Melayu sudah menolak Ketuanan Melayu tajaan Dr Mahathir dan kaum Umno yang bertujuan mengangkat kedudukan mereka (Umno) selama ini sebagai pemodal dan saudagar Melayu bagi melawan kaum kapitalis dan cukong MCA.

Dan, oleh sebab Ketuanan Rakyat itu memperihal kedudukan rakyat sebagai tuan, maka hal 'Kedaulatan Melayu' Raja Melayu itulah yang ternyata jauh lebih akrab kepada Ketuanan Rakyat tajaan Pakatan Rakyat.

No comments: